Siti Elizad habiskan banyak masa dengan kerja


MINGGU ini, genap enam tahun ibu kepada pelakon Elizad Sharifuddin, Nazariah Mohd. Salleh pergi menghadap Ilahi. Tanggal 4 April 2011 semestinya masih segar dalam ingatan pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu apabila satu-satunya insan yang paling disayangi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya.

Selepas ibunya disahkan menghidap parkinson, seluruh masa dan tenaga pemilik nama Siti Elizad Mohamad Sharifuddin dicurahkan khas buat insan teragung dalam hidupnya itu. Biarpun ketika itu namanya mula dikenali, Elizad tekad meninggalkan dunia hiburan seketika untuk menjaga arwah ibunya.

Apa yang pasti, tiada rasa penyesalan bertandang apabila rakan seperjuangannya sudah jauh pergi meninggalkannya dalam menempa nama di persada dunia seni tanah air. Pengorbanan yang dilakukan terhadap arwah ibunya itu sebenarnya lebih membuka luas pintu rezeki buat Elizad sendiri.

“Keputusan untuk berhenti seketika waktu memang sesuatu yang tidak pernah silap. Saya rasa puas dapat menguruskan ibu sebelum dia meninggal dunia. Mandikan dan suap makanan kepadanya setiap hari. Itulah momen paling berharga yang diperoleh sebagai anak.

“Sesungguhnya, aturan Allah itu cukup sempurna. Hari ini, saya dapat semula apa yang pernah ingin dicapai satu masa dahulu. Syukur Alhamdulillah, Allah beri lebih lagi daripada apa yang saya mahu sekarang. Dapat jaga arwah mak dan kejar impian saya dalam lakonan. Macam tak percaya apa yang saya peroleh kini,” kongsi pelakon drama Papa Ricky yang sedang ditayangkan di saluran Astro Prima itu kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.


HEROIN drama Papa Ricky ini bersyukur dikurniakan suami yang memahami kerjayanya sebagai artis.

Tak berehat

Pelakon berusia 33 tahun itu memberitahu, dia kini tidak ada masa untuk menoleh ke belakang. Baginya, peluang yang ada di depan mata perlu digunakan sebaiknya. Maka tidak hairanlah, Elizad kini banyak menghabiskan masanya di set penggambaran.

Baginya, biar penat mana sekali pun, dia tidak akan pernah merungut dalam mencari rezeki. Ini kerana, apa yang dinikmati sekarang, itulah yang dikejarnya selama ini. Sungguhpun punya tanggungjawab lain sebagai isteri, dia bersyukur kerana dikurniakan suami yang cukup memahami rutin kerjanya.

“Adakalanya, keluar pagi, malam baru saya balik. Apatah lagi sekarang ini sibuk menghabiskan baki penggambaran drama 80 episod, Papa Ricky yang masih lagi berbaki. Jadi, memang hari-hari di set penggambaran nak kejar tarikh akhir.

“Banyak masa saya habiskan untuk keluar pergi kerja. Saya tidak mahu berehat sekarang. Peluang tengah ada,” kata isteri kepada kakitangan syarikat permotoran antarabangsa, Shamsul Baharin Rahman, 45, itu.

Biarpun sudah berkecimpung dalam industri hiburan sekitar tahun 1994, menurut Elizad, dia tidak pernah berasa puas. Baginya, setiap karakter yang digalas itu merupakan satu bentuk pelajaran baharu buatnya.

“Mungkin sebab lakonan ini memang sudah jadi sebahagian daripada jiwa saya. Jadi, kalau ada jadual kerja yang tidak putus-putus, bukan satu masalah. Bahkan, untuk drama Papa Ricky, saya sendiri tak cukup tidur,” kongsinya yang cukup mengagumi lakonan aktres berbakat besar, Elly Suriati.

Prinsip Elizad mudah. Sekiranya dia diberi kepercayaan untuk melakukan sesuatu, dia akan memberikan komitmen sehabis baik. Justeru, dia akan pastikan hasil kerjanya benar-benar berkualiti dengan memberikan fokus 100 peratus dengan tugas yang digalas.

“Sekiranya tawaran yang datang itu menuntut komitmen tinggi, saya terpaksa tolak tawaran lain. Prinsip saya bukan melihat kepada kuantiti, tetapi lebih kepada kualiti. Semahunya, dalam satu drama itu saya ingin karakter yang dibawa benar-benar meninggalkan kesan.


Pelakon ini memikirkan idea baharu bagi single keduanya selepas keluar dengan lagu Haiyaya.

“Untuk terlibat dalam drama Papa Ricky, saya terpaksa menolak tawaran lain. Bukan apa, saya tak mahu kalau terima banyak sangat tawaran serentak, bimbang akan menimbulkan masalah.

“Maklumlah, kita berlakon ini kadang-kadang akan ada perubahan tempat dan masa. Jadi, saya tak mahu kalau kita menyusahkan rakan-rakan yang lain,” ceritanya.

Mahu jadi penghibur

Bukan sekadar dalam dunia lakonan, Elizad yang juga juara program realiti nyanyian, Gempak Superstar itu memberitahu, seboleh-bolehnya dia mahu dikenali sebagai seorang penghibur. Baginya, sama ada lakonan atau nyanyian, dua bidang itu masih lagi di bawah bumbung yang sama.

“Kalau ikutkan memang kecintaan saya lebih kepada lakonan. Bagaimanapun, jika ada rezeki dalam bidang nyanyian mengapa tidak untuk saya tonjolkan bakat yang ada. Lagipun, sebelum ini saya pernah buktikan yang pelakon juga sebenarnya boleh menyanyi dalam program Gempak Superstar.

“Hobi saya memang menyanyi. Saya sukakan lagu-lagu yang santai. Lagi seronok kalau ada lagu sendiri yang digunakan untuk menjadi runut bunyi bagi drama lakonan saya,” ujarnya yang mempunyai single berjudul Haiyaya yang diterbitkan pada Oktober tahun lalu.

Menurutnya lagi, dia juga kini sedang mencari material terbaharu bagi single keduanya nanti. Sungguh pun begitu, Elizad belum mendapat bayangan mengenai komposer yang bakal bekerjasama dalam single itu.

“Mungkin akan cari lagu berbentuk akustik selepas ini. Tidak banyak instrumen dan mod lagunya kedengaran santai-santai sahaja,” kongsinya.

Dalam pada itu kongsi Elizad, dia juga kini sibuk menceburi bidang perniagaan apabila merancang untuk mengeluarkan baju raya pada bulan puasa nanti.

“Saya sasarkan untuk keluarkan koleksi Aidilfitri nanti. Insya-Allah, saya mahu tampil dengan koleksi baju kebaya. Selalunya orang hasilkan baju kurung, jadi saya mahu kelainan untuk beri orang bergaya dengan kebaya pula,” kongsinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post