Miera Liyana kini kembali solo


Biarpun usianya baru menginjak 23 tahun, Miera Liyana bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mengarah telemovie pertama berjudul Lat Talilat Tali Tam Plom.

Pernah menjalin hubungan cinta dengan Shahrizal Jaszle dan Afiq Muiz, Miera Liyana kini lebih selesa hidup solo tanpa kekasih.

Biarpun hidupnya kadangkala sunyi, namun pelakon berusia 23 tahun itu mengaku lebih tenang tanpa lelaki di sisi.

Ini kerana, langkahnya dalam memilih kekasih selalunya berakhir dengan episod perpisahan, meskipun hubungan itu dianyam indah pada mulanya.

“Sejujurnya buat masa sekarang saya belum mempunyai kekasih. Memang saya akui kadangkala berasa sunyi, tetapi jika ada kekasih dan berakhir dengan penyesalan buat apa,” ujarnya yang secara tidak langsung menyimpulkan hubungannya dengan Afiq sudah berakhir ketika ditemui pada majlis 1001 Skyline Nite anjuran produksi Skyline Studios di Puchong, Selangor, Ahad lalu.

Terdahulu, selepas putus dengan Shahrizal, timbul gosip mengatakan Miera bercinta dengan Afiq. Pelakon kacak itu akhirnya tampil membuat pengakuan sekitar Februari tahun lalu bahawa Miera merupakan kekasihnya.

Pasangan itu dikatakan intim selepas berlakon bersama dalam drama Memori Cinta Suraya yang ditayangkan di Astro pada tahun 2015.

Pengarah

Pada masa sama, Miera tidak mempunyai sasaran untuk berkahwin sementelah usianya baru menginjak 23 tahun.


Miera mengaku sunyi tanpa kekasih, namun dia tidak mahu terburu-buru mencari lelaki.

Pun begitu, usianya yang baru setahun jagung itu tidak membuatkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) Anugerah Skrin 2013 itu menurut sahaja acuan yang ditentukan untuknya.

Ironinya, Miera menyahut cabaran penerbit Mohd. Noor Kadir untuk mengarahkan telemovie buat julung-julung kalinya.

“Sebenarnya agak terkejut juga bila Mohd. Noor meminta saya mengarahkan telemovie di bawah syarikatnya, Kuasatek Pictures Sdn. Bhd.

“Lagi gementar bila nama Eman Manan disebut bakal membintangi telemovie terbabit. Memang saya mengambil masa juga untuk menerima tawaran tersebut. Namun, selepas diberi dorongan dan kata-kata semangat daripada Mohd. Noor, akhirnya saya menyahut cabaran beliau,” katanya yang akan memulakan penggambaran telemovie tersebut pada 10 hingga 18 April di London dan Paris.

Bukan sahaja bertindak sebagai pengarah, bahkan Miera turut berlakon dalam telemovie yang berjudul Lat Talilat Tali Tam Plom itu.

Dia sedar kepercayaan yang diberi Mohd. Noor kepadanya tidak harus dilepaskan sementelah sudah banyak kali berlakon di bawah terbitan penerbit tersebut.

“Saya bersyukur juga sebab anak beliau, Aliff Rizall turut bertindak sebagai pengarah bersama untuk telemovie bergenre komedi itu,” kongsinya.

Sebagai persediaan, kata Miera, dia juga banyak mempelajari teknik pengurusan dan permainan kamera, termasuk meminta tunjuk ajar daripada beberapa pengarah yang pernah mengarahnya sebelum ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post