Biarpun sudah mencipta nama dalam bidang lakonan di Indonesia, Farali Khan tidak melupakan tanah kelahirannya, Malaysia.
NAMA pelakon Farali Khan mungkin masih kedengaran asing dalam industri hiburan tempatan. Sungguh pun begitu, heroin drama Black Belt Kaler Pink yang digandingkan dengan pelakon Kamal Adli itu sebenarnya terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia lakonan di negara jiran, Indonesia.
Tidak keterlaluan jika dikatakan perjalanan karier seni Farali tidak jauh beza dengan abangnya, pelakon Miller Khan yang cukup popular di Indonesia. Bagaimanapun, menurut Farali, dia tidak pernah mengambil kesempatan atas populariti abangnya itu untuk memasuki pasaran di negara tersebut.
“Saya ambil masa setahun untuk bertapak di Indonesia dan berusaha sendiri untuk memperkenalkan diri di sana,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jika diikutkan, pembabitan awal Farali sebenarnya bermula di bumi kelahirannya. Sebelum ini, anak kedua daripada empat adik-beradik itu pernah menjayakan watak sebagai pelakon pembantu menerusi drama Bukan Cinta Malaikat dan Transit Terakhir.
Bagaimanapun, siapa sangka, permulaan langkahnya itu akhirnya membawa pemilik nama sebenar Norfara Ali Dad Khan itu ke gerbang yang lebih besar di Indonesia. Maka, di situlah dia menapak apabila diberi kepercayaan menggalas peranan dalam filem 3 Dara pada tahun 2015.
Sepanjang berada di negara orang, sudah banyak dia diberi peluang membintangi drama popular yang kemudian mengukuhkan lagi namanya. Berkelana hampir tiga tahun di hadapan kamera, kali ini pelakon berusia 28 tahun itu mewarnai semula kaca televisyen tempatan apabila diberi kepercayaan menggalas watak utama.
FARALI KHAN tidak kisah untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta demi mencari rezeki.
“Cara bekerja di Malaysia dan Indonesia tidak banyak beza. Cuma kadang-kadang, saya ada terlepas sedikit loghat dalam bahasa Indonesia apabila berlakon dalam drama Black Belt Kaler Pink. Barangkali sebab sudah terbiasa berbahasa Indonesia apabila berada dalam set di sana. Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah buat saya.
“Seronok apabila diberi peluang bergandingan dengan pelakon Kamal Adli dan beberapa pelakon popular lain. Lebih teruja sebab dalam drama itu saya dapat tunjukkan kemahiran seni mempertahankan diri yang dimiliki,” katanya yang memegang watak sebagai Timora dalam drama di saluran Astro Warna itu.
Justeru, buat masa sekarang, menurut Farali, dia akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta bagi memenuhi tuntutan jadual kerjanya.
“Saya bergantung kepada tawaran kerja yang datang. Jika ada di Indonesia, saya akan ke sana, manakala jika ada tawaran di sini, saya akan pulang ke Kuala Lumpur. Pada saya, ia tidak menjadi masalah kerana perjalanan antara dua negara itu ambil masa dalam dua jam sahaja,” kata pelakon yang mempunyai darah campuran Cina pada sebelah ibu dan Pakistan sebelah bapa itu.
Biarpun terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk berulang-alik, kata Farali, situasi itu tidak pernah menjadi penghalang buatnya.
Bagi Farali, setiap tawaran yang datang itu perlu digenggam dan dilakukan sebaiknya. Ini kerana, itulah peluang keemasan untuknya terus menggilap bakat yang ada untuk dibuktikan kepada umum.
“Saya amat mengagumi aktres Datuk Michelle Yeoh. Saya harap dapat mengikut jejak langkahnya.
“Mungkin, kalau ada rezeki saya teringin sangat kalau dapat berjumpa dengannya. Saya suka dengan lakonannya dan menjadikan dia sebagai idola kerana beliau lebih kepada genre aksi,” katanya.