Kelangsungan etnik kreatif Noraniza Idris


Noraniza Idris dan Tyka (kiri) kini menjadi regu duet terbaharu menerusi lagu Wangikanlah Hatimu.

Selama lebih 20 tahun dalam industri muzik tanah air, ratu irama Malaysia, Noraniza Idris tidak pernah berputus asa mempertahankan genre tersebut agar tidak hilang ditelan zaman.

Sesekali, Noraniza bagaimanapun turut berasa lelah untuk meneruskan misi seninya, biarpun sehingga ke hari ini kerana masih tiada seorang pun pelapis muda yang mampu memikul tanggungjawab sama sebagaimana yang telah diperjuangkan.

Menurut Noraniza, dia tidak akan selama-selamanya berpijak di lantai muzik tanah air, namun pada masa sama enggan melihat perjuangannya mati begitu sahaja.

Tidak mahu sekadar beromong kosong, pelantun lagu Dikir Puteri itu gigih melakukan pelbagai cara untuk memastikan irama berkenaan kekal di hati rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, Noraniza sempat melancarkan Kempen #saveiramaMalaysia sebagai salah satu usaha membangkitkan kesedaran umum betapa penting meneruskan kelangsungan irama Malaysia atau disebut sebagai etnik kreatif dalam kalangan pencinta muzik generasi baharu.

“Menerusi kempen ini, saya cuba mengumpulkan seberapa banyak pihak yang berminat untuk bernaung bawah persatuan baharu yang bakal ditubuhkan iaitu Persatuan Penggiat Seni Irama Malaysia (IRAMA).

“Menerusi IRAMA, saya mahu pastikan etnik kreatif menjadi antara lagu yang paling menyerlah dalam industri,” katanya ketika ditemui usai pelancaran Kempen #saveiramaMalaysia baru-baru ini.

Pada majlis sama, Noraniza turut melancarkan single terbaharunya Wangikanlah Hatimu duet bersama bekas peserta 3 Juara, Tyka.

Regu duet

Bercakap tentang single tersebut, penyanyi berusia 49 tahun itu berkata, ia sebahagian daripada strateginya bagi menarik minat golongan muda kembali menikmati lagu etnik kreatif.

Sedar variasi selera muzik dan perubahan zaman menyebabkan lagu-lagu irama Malaysia semakin terpinggir, Noraniza juga berevolusi mengikut masa dengan menyuntik elemen ‘muda’ menerusi lagunya.

Tambah pemenang tiga kali kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif Anugerah Juara Lagu itu, single Wangikanlah Hatimu hasil ciptaan komposer muda iaitu Amir Jahari dan AG Coco, manakala lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya itu diharap mempunyai nilai komersial yang menepati kehendak pendengar.

“Saya tahu stesen radio sukar memutarkan lagu irama Malaysia kerana terikat dengan piawaian dan kriteria yang menentukan lagu mana layak dimainkan.

“Jadi, saya ikut kehendak peminat dengan mengkomersialkan sedikit lagu etnik kreatif tanpa membuang lenggok asal irama berkenaan,” jelasnya.

Ditanya pula tentang pemilihan Nur Amierazatyka atau Tyka yang merupakan anak didik Pak Ngah menerusi program 3 Juara sebagai regu duet kali ini, penyanyi kelahiran Kampung Majidee, Johor Bahru itu sangat yakin dengan bakat dan kesungguhan pendatang baharu berusia 22 tersebut.

Potensi yang dimiliki Tyka menyentuh perasaan Noraniza, lantas melamarnya menjadi salah seorang artis naungan syarikat rakaman Noraniza Idris Production Ventures.

Terharu bahkan turut berbesar hati atas kepercayaan yang disandarkan, Tyka berazam membuktikan percaturan Noraniza tidak tersasar meskipun pertaruhan bakatnya menerusi 3 Juara tidak sampai ke peringkat akhir.

“Sebelum saya menandatangani kontrak sebagai artis naungannya, Noraniza sudah berpesan bahawa tidak mudah bergelar penyanyi etnik kreatif. Saya juga perlu bersedia jika nama tidak popular.

“Bagi saya, itu semua tidak penting kerana diberi peluang berguru dengan Noraniza sudah cukup memadai,” ujar Tyka.

Post a Comment

Previous Post Next Post