Muaz Mohamed cabar diri


Pengalaman selama sembilan tahun bekerja sebagai pengacara dan penyampai radio di RTM akan dijadikan rujukan oleh Muaz Mohamed sepanjang bekerja di Kool FM.

Bertukar tempat kerja adalah lumrah buat kebanyakan orang. Biasanya, ia terjadi kerana ingin menambah pengalaman, mencuba sesuatu yang baharu atau ingin beralih arah daripada selesa berada pada takuk lama.

Bagi penyampai radio dan pengacara Muaz Mohamed, pengalaman selama sembilan tahun bergelar pengacara di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan penyampai radio Muzik FM sebelum ini bukan penghalang untuk keluar dari zon selesa.

Mula bergelar penyampai radio Kool FM secara rasmi sejak awal Februari lalu, Muaz, 32, kini mengendalikan segmen Petang Kool bersama Liza yang bersiaran setiap hari pukul 3 petang hingga 7 malam.

Bertukar tempat kerja bermakna Muaz atau nama lengkapnya, Muazanazzudin Mohamed harus pantas menyesuaikan diri dengan suasana serba baharu.

Ditemui pada Majlis Lepak Santai Hot FM dan Kool FM baru-baru ini, Muaz bercerita panjang tentang pengalaman dan cabaran yang harus dihadapi bagi meneruskan karier penyampai radio yang sudah berakar di jiwa.

KOSMO!: Selama dua bulan bergelar penyampai radio di stesen Kool FM, apakah pengalaman baharu yang anda belajar?

MUAZ: Sejujurnya, kerja saya tidak banyak berbeza berbanding di tempat kerja lama sebab ini memang bidang saya.

Cuma, persekitaran, rakan kerja dan syarikat baharu memberi suntikan kelainan terhadap kerja ini.

Apa yang saya lihat, cara kerja di sini (Kool FM) lebih sistematik dan saya diberi cabaran menaikkan jumlah pengikut dan pendengar dengan kreativiti sendiri.

Sebelum berpindah majikan, adakah sukar untuk anda membuat keputusan?

Mulanya memang timbul kerisauan. Saya bimbang pandangan orang yang akan mempersoalkan macam-macam perkara. Namun, situasi itu dapat dihadapi dengan tenang sebab selama sembilan tahun bekerja sebelum ini pun, saya sudah lalui banyak dugaan. Pendek kata, saya sudah cukup kuat untuk membuat keputusan sendiri.

Sebab itu, saya langsung tidak memberitahu sesiapa tentang tawaran yang diterima kerana bimbang akan berdepan bermacam-macam pertanyaan. Saya ambil masa selama tiga minggu untuk membuat keputusan menyertai Kool FM selepas disokong keluarga dan isteri.

Sayang memang sayang, tetapi saya berpegang kepada prinsip, kalau terlalu selesa dengan sesuatu kerja atau perkara, lambat-laun ia akan menjatuhkan reputasi sendiri.

Saya tidak mahu melepaskan peluang sebab kalau tidak mencuba, saya tidak akan tahu kemampuan diri.

Adakah sukar untuk anda mengikis imej lama kerana pada mata khalayak, anda sangat sinonim dengan RTM?

Alhamdulillah, setakat ini peminat dapat menerima peralihan karier saya dengan baik.

Lagipun tiada banyak perubahan yang berlaku kerana ketika bekerja di RTM, saya membawa identiti sendiri dan tidak terikat dengan sebarang imej di sana. Biarpun sudah berpengalaman selama sembilan tahun dalam bidang ini tetapi saya tidak pernah meletakkan diri sebagai orang lama. Saya tetap orang baharu dan banyak perkara perlu dipelajari. Saya akan gunakan pengalaman yang ada sebagai rujukan, itu sahaja.

Anda kini sebumbung tempat kerja dengan isteri di Media Prima, apa pro dan kontra tentang hal tersebut?

Kalau orang cakap saya berpindah kerja kerana isteri, itu sama sekali tidak benar sebab saya seorang yang tidak suka bekerja bawah satu bumbung dengan pasangan.

Bekerja bawah satu bumbung dengan isteri sebenarnya sangat susah tetapi memandangkan dia (Nor Ediana Ab. Aziz) seorang yang sangat memahami antara skop kerja dan soal peribadi, saya beranikan diri dengan situasi sekarang.

Jika ada segelintir pihak mendakwa pengunduran anda daripada RTM dibuat atas faktor bayaran, apa komen anda?

Sejak dari dahulu, saya tidak pernah meletakkan soal bayaran sebagai fokus utama sewaktu menerima sesuatu tawaran kerja. Saya percaya, kalau bekerja dengan ikhlas dan hati gembira, soal bayaran jadi nombor dua.

Paling penting, saya tidak bekerja dalam keadaan tertekan kerana ini bidang yang saya minat.

Bayaran bukan soal utama kerana saya suka mencabar diri dan membuktikan kemampuan dengan melakukan perkara baharu.

Post a Comment

Previous Post Next Post