Noraniza Idris tidak lelah perkasa irama Malaysia


MAJLIS pelancaran produk Mewangi dilancarkan oleh Pengerusi syarikat Olicell Group Sdn. Bhd., Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj (kanan) bersama pengasas Nizayu Prima Marketing, Ayu Azmera dan Noraniza Idris di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

AGAK lama tanpa perkembangan terkini, ratu irama Malaysia, Noraniza Idris ternyata tidak pernah menyisihkan diri daripada lapangan seni. Terbaharu, penyanyi bersuara lunak itu bakal muncul dengan sebuah program khas demi mempromosi genre irama Malaysia kepada masyarakat terutama golongan muda.

Bagaimanapun, Noraniza, 48, berkata, program tersebut hanya akan bersiaran sebanyak satu episod sahaja buat permulaan. Ia berikutan pihak penerbitan perlu melihat terlebih dahulu sambutan daripada penonton sebelum merancang meneruskan program tersebut pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan kerjasama daripada sebuah stesen televisyen untuk menerbitkan program tersebut pada tahun ini.

“Penerbitan program tersebut merupakan salah satu usaha saya untuk memartabatkan irama Malaysia kepada masyarakat terutama golongan muda untuk lebih mendekati genre ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Melihat perkembangan dunia muzik masa kini yang diserikan dengan banyak genre, Noraniza bagaimanapun mengakui dia tidak pernah berasa kecewa, malah memandang senario tersebut sebagai persaingan sihat.


BIARPUN berbeza haluan dalam pemilihan genre muzik, Noraniza tetap menyokong karier anaknya, Fee Haiqal dalam bidang nyanyian.

“Saya sedar genre irama tradisional agak tenggelam kerana terpaksa bersaing dengan banyak genre lain yang lebih mudah menarik minat masyarakat masa kini.

“Begitupun, ia tidak menimbulkan perasaan kecewa kerana yakin melalui penggunaan teknologi seperti media sosial, sedikit sebanyak mampu membantu mengangkat kembali genre ini ke kedudukan asal seperti suatu masa dahulu,” ujarnya.

Pada masa sama menyedari peranan dan tanggungjawab sebagai ikon dalam genre tersebut, Noraniza semakin galak melibatkan diri dengan aktiviti luar apabila acap kali mengadakan siri jelajah di seluruh negara dengan misi menyemarakkan lagi irama tradisional pada mata masyarakat.

“Berbanding genre lain, saya sedar irama tradisional mempunyai pasang surut dalam industri. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan turun padang dalam menjayakan siri jelajah ke seluruh negara untuk mendekati masyarakat.

“Tidak guna kalau orang gelar saya sebagai ratu irama Malaysia tetapi gagal memainkan peranan sewajarnya untuk memelihara dan memperkasa genre ini supaya tidak luput dek peredaran zaman,” katanya.

Dalam pada itu, berbicara mengenai salah seorang anaknya, Fee Haiqal yang mengikuti jejak langkahnya dalam bidang nyanyian, Noraniza mengakui perkara tersebut tidak memberi jaminan legasinya akan mempunyai pewaris daripada darah daging sendiri.

Hal ini kerana, penyanyi berusia 30 tahun itu tidak menunjukkan sebarang minat untuk menyanyikan lagu irama Malaysia dan lebih meminati genre R&B.

“Saya mengaku agak sukar mencari pelapis kerana penyanyi baharu masa kini lebih cenderung dengan genre muzik yang catchy kerana ia mudah didengar dan lirik pula bersifat ringan.

“Ia termasuk anak saya sendiri yang membawa haluan berbeza apabila memilih muzik R&B. Begitupun, kewujudan program seperti 3 Juara sedikit sebanyak mengubat keresahan saya kerana masih terdapat golongan muda yang cintakan irama Malaysia.

“Sebelum ini, platform untuk mengetengahkan bakat mereka sangat terbatas,” tutupnya yang ditemui usai pelantikan sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan, Mewangi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi kontrak pelantikan tersebut, Noraniza akan turut serta mempromosi Mewangi di seluruh negara bersama pihak Nizayu Marketing Prima dan pengasas produk, Ayu Azmera.

Post a Comment

Previous Post Next Post