Danial Zaini fokus komedi solo


Juara program Lawak Solo, Danial ingin menjadi artis serba boleh dan tidak hanya terbatas sebagai pelawak.

Memegang obor sebagai juara program realiti Lawak Solo, Danial ketika ditemui pada satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini ternyata teruja memasuki fasa baharu dalam kehidupan bergelar seorang pelawak dalam dunia hiburan tanah air.

Begitupun, Danial atau nama sebenarnya, Mohamad Danial Mohd. Zaini yang dahulunya betugas sebagai juruvideo di syarikat Utusan Melayu tidak mahu hanya dikenali sebagai pelawak tetapi ingin menjadi artis serba boleh.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan saya sekarang. Walaupun orang mengenali saya sebagai seorang pelawak tetapi saya tidak mahu mengehadkan kemampuan dalam cabang komedi sahaja.

“Saya mahu berkecimpung dalam bidang lakonan, pengacaraan dan pengarahan. Saya mahu dikenali sebagai artis serba boleh. Insya-Allah perlahan-lahan saya akan melangkah ke arah itu. Lagipun, kerjaya seni saya baru bermula,” ujar jejaka berusia 24 tahun itu.

Bercerita lebih lanjut tentang minatnya dalam bidang komedi, Danial mula mengasah bakat komedi dengan meniru (impersonate) suara artis-artis popular sejak kecil.

“Saya masih ingat semasa kecil, saya suka impersonate suara Mawi. Dengan kemampuan itu, saya banyak memenangi pertandingan. Ibu dan bapa turut memberi galakan untuk meneruskan minat dalam bidang ini.

“Ketika menuntut di Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) dalam bidang Penyiaran dan Filem, saya banyak bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai loghat berbeza.

“Melalui persahabatan itu, saya belajar mengembangkan bakat impersonation dengan memuat naik video-video kelakar di aplikasi Vine,” cerita jejaka berkulit hitam manis itu.

Komedi solo

Bagaimanapun Danial memberitahu, bakat komedi dimilikinya berkembang ketika terlibat dalam pementasan-pementasan teater anjuran Persatuan Teater Resdong’s Pulau Pinang.


Danial yang mula bertatih dalam dunia seni hiburan tanah air bersyukur kerana diterima oleh orang ramai.

Menyambung bicara, Danial menambah, dia merasakan perkembangan komedi solo di Malaysia masih lagi berada pada tahap sederhana berbanding negara-negara lain. Dia berharap corak senario sebegitu dapat bertukar ke fasa positif pada masa hadapan.

“Nak buat komedi solo bukan perkara mudah, apatah apabila beraksi berseorangan. Masalahnya, di Malaysia peluang untuk pelawak komedi solo amat terhad kerana sentiasa terikat dengan budaya, adat resam atau kemelut politik yang disentuh boleh menyebabkan kontroversi.

“Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, pelawak-pelawak bebas untuk membikin komedi seperti apa yang mereka mahu kerana masyarakat di sana tidak ‘makan hati’. Apabila sesuatu komedi yang menyentuh sensitiviti dibikin, mereka akan lupakan pada keesokan harinya.

“Bukan saya minta pelawak diberi ruang besar untuk berkarya, cuma saya rasa sudah tiba masa masyarakat Malaysia bersikap lebih terbuka dengan sesuatu perkara dihidangkan di atas pentas komedi,” tegas Danial.

Dia menjelaskan, komedi solo di Malaysia masih berkembang walaupun masih ketinggalan dengan negara jiran seperti Indonesia.

Danial menambah, masyarakat di negara jiran benar-benar berseronok dengan pelawak-pelawak kesayangan mereka dan sanggup beratur panjang semata-mata ingin membeli tiket persembahan.

Bercakap mengenai penglibatan dalam bidang seni yang semakin membuahkan hasil, dia bersyukur kerana mendapat sokongan dan perhatian orang ramai.

“Kalau dulu saya berjalan di pusat beli-belah orang tidak kenal. Baru-baru ini, ada peminat menjerit nama saya dengan kuat. Dia dari Singapura dan begitu minat dengan komedi yang saya tampilkan di Lawak Solo,” tuturnya yang merancang untuk membawa orang tuanya mengerjakan ibadah haji hasil kemenangan sebanyak RM80,000 daripada program berkenaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post