Liza Abdullah profesional dalam kerjaya


WATAKNYA sebagai Mak Leha di dalam drama yang pernah mencipta fenomena beberapa bulan lalu, 7 Hari Mencintaiku di samping Siti Saleha dan Shukri Yahaya diakui meninggalkan kesan mendalam buat pencinta drama tempatan.

Barangkali atas tiket pengalamannya dalam dunia seni lebih tiga dekad membuatkan kredibiliti pelakon versatil, Liza Abdullah diakui penggiat seni, sekali gus memberi ruang buatnya mengatur langkah jitu dalam dunia lakonan.

Ditanya apakah rahsianya dalam memastikan namanya kekal relevan, aktres yang berasal dari Kuala Lumpur ini mempunyai alasannya tersendiri.

“Tiada apa rahsia yang saya amalkan. Cukup sekadar memberikan yang terbaik dalam apa sahaja peranan yang diberikan pengarah, sama ada watak itu besar atau tidak, itu tidak penting.

“Saya percaya, meski hanya satu atau dua scene saja, tapi kalau anda bawakan watak tersebut dengan all out, Insya-ALLAH, penonton tetap akan ingat kita.

Jangan terkejut kalau penonton akan lebih mengenali watak pelakon pembantu berbanding pelakon utama, hanya kerana watak itu benar-benar memberi kesan kepada mereka,” katanya.biarlah watak atau scene kita sikit, kalau tidak ada yang sikit ini, ia tidak akan menjadi banyak.

“Lebih penting, kita kena profesional dalam lakonan. Kena jujur dengan setiap watak yang dibawakan. Pada masa sama, ketika berada di set penggambaran terapkan nilai yang baik. Usah campur adukkan personal dan kerja.

“Cuba serap nilai positif dan elak daripada bercakap atau berkongsi hal-hal yang tidak baik kerana akan beri impak tak elok pada kualiti lakonan,” ujar Liza.

Trofi adalah bonus

“Saya memulakan kerjaya lakonan pada tahun 1982. Pada waktu itu saya masih mentah dan berlakon hanya sekadar suka-suka selain mahu tambah duit poket namun lama-kelamaan, kecintaan terhadap lakonan itu kian bercambah.

“Mungkin kerana pengalaman, secara tidak langsung saya rasa setiap watak itu satu amanah.

“Soal menang anugerah atau tidak, itu bukanlah matlamat utama saya. Sebaliknya, lebih seronok kalau penonton suka dengan lakonan saya. Itulah anugerah paling bermakna,” terang Liza panjang lebar.

Sambil menyifatkan kredit yang diberikan penonton sebagai anugerah, aktres hebat yang dilahirkan pada 12 Julai 1962 ini juga menambah, sebagai anak seni, bohong andai tidak pernah tersemat impian untuk menggenggam trofi pelakon terbaik.

Baginya, trofi yang diraih itu satu refleks dan penghargaan buat penggiat seni selain bonus kerana kerja keras mereka.

“Tipu kalau saya kata tidak pernah teringin untuk raih anugerah. Meskipun sebelum ini nama saya pernah tercalon. namun saya percaya rezeki untuk genggam trofi itu belum ada.

“Tapi seperti yang saya beritahu tadilah, anugerah paling bermakna adalah apabila orang suka dengan lakonan kita. Terima kasih buat semua yang tidak putus-putus berikan sokongan.

“Cuma apa yang boleh saya lihat, bila kita sudah cuba berikan yang terbaik itulah, tawaran berlakon tidak pernah putus dan pastinya, saya ambil ini sebagai satu ujian untuk kita tidak alpa dengan apa yang dicapai. Pada masa sama, rasa terharu dan dihargai kerana masih ada yang ingat,” akhiri Liza.

Post a Comment

Previous Post Next Post