Hanez Suraya, Kami masih bahagia


BERITA pergolakan rumah tangga Hanez mula bertebaran secara meluas sejak beberapa bulan lepas sebelum dilaporkan memfailkan tuntutan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SUHU termometer hiburan tanah air sepanjang minggu ini dilihat hangat seketika rentetan pergolakan rumah tangga yang didakwa berlaku antara aktres berkaliber, Hanez Suraya bersama suaminya, Romie Razin Adilha Abd. Rais.

Ia ekoran, Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 32, dilaporkan memfailkan permohonan tuntutan fasakh terhadap Romie, 37, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Isnin lepas.

Berita pergolakan rumah tangga pelakon jelita itu mula bertebaran secara meluas sejak beberapa bulan lepas, namun pasangan itu difahamkan sedang mencuba mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan rumah tangga mereka.

Mengambil pendekatan untuk tidak berbicara secara terbuka berhubung perkara itu sebelum ini, teraju utama drama Love You Mr Arrogant itu memiliki alasannya tersendiri seperti mana yang diluahkan menerusi Instagram peribadinya,

@hanezsuraya baru-baru ini.

Getus Hanez, tindakannya mendiamkan diri bukan bermaksud untuk mengiyakan atau menafikan segala yang berlaku, sebaliknya memerlukan ruang untuk mencari ketenangan.

“Tiada apa yang ingin saya jelaskan terhadap apa yang terjadi. Saya memohon maaf kepada semua pihak sekiranya mengambil langkah untuk berdiam diri.

“Sememangnya kami hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” tulisnya di laman Instagram berkenaan.

Cuma, Hanez menafikan rumah tangganya bergolak seperti mana yang bertebaran secara meluas sebelum ini.

“Apa yang penting kami masih bahagia bersama dan tiada apa-apa yang berlaku.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami masih kekal, apa yang terjadi biarlah kami berdua selesaikan dan tidak perlu ada sebarang spekulasi dan tokok tambah daripada pihak tertentu,” jelasnya.


AKTRES ini memuat naik gambar bersama suaminya, Romie serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku.

Pada masa sama, Hanez juga memanjat rasa syukur kerana sentiasa mendapat sokongan penuh Romie bagi mengendalikan situasi berkenaan.

“Alhamdulillah, suami sentiasa tenang di atas apa yang berlaku. Terima kasih juga buat sokongan kuat keluarga, rakan-rakan rapat, media dan peminat di luar sana yang sentiasa memberi semangat dan mendoakan yang baik-baik untuk kami,” ujarnya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Puteri Aleesya yang kini berusia setahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post