Fouziah, Zarul komen isu Fathia


Fouziah memberitahu, hanya penumpang kurang kemampuan sahaja dibantu kru penerbangan untuk diangkatkan beg mereka ke tempat penyimpanan barang.

Sebelum ini, penyanyi Ainan Tasneem pernah mencetuskan amarah orang ramai kerana menyelar seorang pramugara yang didakwa bersikap kasar apabila sepupunya meminta pertolongan untuk memasukkan beg ke tempat penyimpanan barang. Bagaimanapun, penyanyi lagu Aku Suka Dia itu sudah membuat permohonan maaf.

Terbaharu pelakon jelita, Fathia Latiff pula memuat naik gambar seorang pramugari yang enggan mengangkat begnya di Instagram. Tindakan pelakon berusia 29 tahun itu turut menimbulkan kemarahan ramai orang.

Namun, ada juga segelintir pihak yang membela Fathia dan tidak menyalahkan pelakon drama Darah Panas itu kerana pernah menerima nasib dilayan sombong oleh pramugara atau pramugari syarikat penerbangan. Bahkan, ada yang enggan menuding kesalahan ke atas mana-mana pihak kerana tidak berada di tempat kejadian.

Ironinya, tindakan Fathia menyalahkan pramugari berkenaan mendapat reaksi daripada beberapa rakan artis yang pernah dan masih bekerja sebagai kru kabin penerbangan.

Pelakon Fouziah Gous yang pernah bekerja sebagai pramugari syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dari 2002 hingga 2007 ketika dihubungi Sensasi Bintang tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang lima tahun bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut, memang bukan tugas kru kabin penerbangan untuk mengangkat mana-mana beg penumpang kecuali yang kurang berkemampuan sahaja.

“Tugas untuk mengangkat beg penumpang ke dalam tempat penyimpanan barang tiada dalam prosedur skop kerja kru penerbangan. Jadi, kru kena mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penerbangan. Tambahan pula memang banyak berlaku kejadian kru penerbangan yang mengalami sakit belakang sebelum ini,” jelasnya.

Namun begitu, Fouziah memberitahu, kru penerbangan akan membantu untuk mengangkat beg penumpang yang kurang berkemampuan seperti ibu mengandung atau orang tua.

Sebaliknya, jika seseorang itu sihat dari segi fizikal, mereka perlu melakukannya sendiri dan seharusnya faham dengan tugas kru yang perlu melayan bukan seorang tetapi beratus penumpang lagi termasuk beberapa penerbangan yang perlu dilalui saban hari.

Selain memuat naik gambar, Fathia turut mendakwa pramugari tersebut meninggikan suara dan membuat muka apabila diminta bantuan. Bagaimanapun, Fathia sudah memadam foto pramugari berkenaan selepas menerima kecaman netizen.


ZARUL menganggap perbuatan pramugari yang tidak membantu Fathia mengangkat beg itu bukan satu kesalahan.

“Kalau fikir secara logik, mana mungkin kita sebagai ‘tuan rumah’ akan bersikap kurang ajar kepada ‘tetamu’. Mungkin kru penerbangan akan membuat reaksi pelik jika diminta mengangkat beg, sedangkan penumpang mampu mengangkat beg tersebut dari rumah sehingga ke perut kapal. Tambahan pula, beg yang boleh memasuki kabin tidak lebih daripada tujuh kilogram beratnya,” jelas Fouziah lagi.

Sementara itu, menurut pemenang tempat ketiga pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), Zarul Husin, mungkin masih ramai yang tidak tahu tugas-tugas yang dilakukan kru penerbangan.

“Untuk pengetahuan semua, bukan satu kesalahan pada mana-mana kru syarikat penerbangan jika mereka menolak untuk mengangkat beg penumpang kerana ia tidak termaktub dalam prosedur skop kerja,” ujarnya yang juga tidak menolak membantu orang sakit atau ibu bersama bayi untuk mengangkat beg mereka ke tempat penyimpanan barang.

Dalam pada itu, usaha Sensasi Bintang untuk mendapatkan komen Fathia tidak berjaya kerana pelakon itu hanya menjawab salam dan meminta sedikit masa memandangkan sedang sibuk bekerja.

Bagaimanapun menerusi gambar terbaharu yang dimuat naik Fathia, dia ada menulis kapsyen terima kasih di atas semua komen pengikutnya dan tidak akan lemah dengan komen negatif.

“Terima kasih banyak-banyak di atas semua komen kalian.

“Semoga Allah memberi ganjaran kepada tindakan-tindakan kalian. Anda boleh menyukai atau membenci saya, tetapi tidak boleh melemahkan saya,” tulisnya menerusi dua gambar yang dimuat naik di Instagram.

Post a Comment

Previous Post Next Post