
BAGI Fattah, peluang yang datang di depan mata perlu diambil sebaik mungkin.
TAHUN ini boleh dikatakan tahun buat pelakon Fattah Amin. Bahkan, penangan aktor berusia 26 tahun itu boleh dikatakan cukup kuat. Jika tidak, masakan jumlah pengikutnya yang dahulu hanya sekitar ratusan ribu sahaja sudah mencecah hampir dua juta di laman Instagram.
Selari dengan populariti yang diraih, pada masa sama, ramai yang mula perasan bahawa wajah pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu sudah banyak menghiasi kempen promosi produk. Baik dari segi produk penjagaan wajah, makanan tambahan, dan juga pakaian. Wajahnya juga antara yang asyik menjadi pilihan pengendali program atau pengacara.
Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan dakwaan sesetengah pihak terutamanya dalam kalangan netizen yang merasakan Fattah seolah-olah bersifat tamak mahu ‘menyapu’ bersih segala peluang yang ada sementara dia menjadi antara artis yang mendapat permintaan tinggi pada ketika ini.
“Pada saya, tiada istilah tamak. Bukan begitu sebenarnya. Saya bukan tamak. Apa yang penting, kita kena pandai ambil peluang. Saya percaya apa yang saya terima ini semuanya adalah rezeki. Tidak jadi masalah (kalau banyak terima tawaran) kerana perkara yang utama kena pandai susun jadual.
“Lainlah kalau semua benda mahu terima sehingga tidak teratur. Tamak nak kaut semua tawaran seperti itu yang bahaya kerana akan menyekat seseorang untuk terus ke depan,” katanya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran pelantikan dirinya sebagai duta produk AJ De’ Parfum X Fattah Amin.
Menurut Fattah, sebenarnya kebanyakan penglibatan dirinya dalam beberapa pelancaran produk hanyalah sebagai salah satu kempen promosi sahaja.
“Jangan salah faham, mana ada banyak. Apa yang orang lihat rata-rata itu saya terlibat hanya sekadar satu kempen promosi sahaja. Kalau ikutkan lantikan saya sebagai duta produk hanya ada dua sahaja.
“Minyak wangi ini dan juga satu lagi produk penjagaan diri lelaki. Apabila orang nampak wajah saya di kempen promosi itu yang mungkin orang fikir saya banyak jadi duta,” jelasnya yang mengikat perjanjian kontrak selama enam bulan bersama produk wangian tersebut.
Disogok dengan soalan perancangannya untuk mengakhiri zaman bujang, kata Fattah, buat masa ini dia belum terfikir ke arah itu lagi. Katanya, dia lebih selesa menguruskan kerjaya terlebih dulu berbanding memikirkan hal rumah tangga dalam masa terdekat.
“Kalau nak tahu buat masa ini, saya berhenti dulu daripada mengikuti sebarang penggambaran drama kerana banyak nak selesaikan kerja-kerja lain seperti promosi produk sebagai duta.
“Pada masa sama, saya juga akan terlibat sebagai penerbit untuk sebuah drama televisyen untuk siaran Radio Televisyen Malaysia. Ia merupakan percubaan sulung saya untuk menerbitkan drama. Itu yang saya sibuk menguruskan dari aspek pemilihan pelakon dan sebagainya,” kongsinya yang memberitahu drama 26 episod itu turut menampilkan pelakon Niena Baharun.