
DIA digelar sebagai ratu drama oleh segelintir peminat yang menyokong perjalanan seninya sejak sekian lama. Bukan kerana gemar bersandiwara, sebaliknya wajah wanita bernama Zara Zya ini bukan lagi asing dalam untaian drama-drama tempatan.
Tidak pernah waima sekali bermain di layar perak selama ini, tidak sedikit pun pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 31, terkesan dengan gelaran seperti itu.
“Ini bukan soal layak ataupun tidak untuk berlakon filem sehingga ramai yang menyifatkan saya sebagai ratu drama. Suka atau tidak, gelaran seperti itu menandakan drama lakonan saya ditonton khalayak.
“Sebenarnya, ada beberapa tawaran berlakon filem sebelum ini.Cuma saya dilamar pada waktu yang singkat, sedangkan jadual saya begitu padat.
“Jadi, saya lebih suka menyifatkan rezeki untuk tampil di layar perak masih belum tiba,” ujarnya menguntum senyum kepada Sensasi Bintang.
Usai menjalani penggambaran tiga buah telefilem berjudul Kamal Kamalia, Jatuh Cinta Buta dan Trauma yang menanti masa untuk ditayangkan di kaca televisyen, Zara juga percaya drama lebih relevan kerana ditonton setiap lapisan masyarakat.
“Percaya atau tidak, saya juga berasa lebih bertuah jika dipanggil peminat dengan nama watak yang saya bawakan,” ungkapnya.
Sangat selesa menjayakan watak yang jauh lebih remaja berbanding usianya yang menginjak 31 tahun pada 22 Oktober lepas, Zara menyifatkan dirinya tidak memiliki kuasa untuk bersifat selektif.
“Hendak memilih pun tiada gunanya kerana ia sumber pendapatan, jadi saya harus membuat sebaik mungkin dan sentiasa selesa dengan watak yang ditawarkan.
“Apa yang paling penting, lakonan perlu ada rasa dan bukan sekadar melontarkan dialog,” jelasnya.
Pada masa sama, Zara turut mengakui tidak pernah memiliki sentimen peribadi dalam memilih gandingan di kaca televisyen.
“Saya tiada masalah dengan sesiapa dan perlu menghindarinya daripada berlaku. Bukan apa, bagaimana mahu berdialog dengan mereka yang tidak disukai, sudah tentu akan menimbulkan stres sehingga menjejaskan mutu lakonan,” ceritanya lagi.
Dek kerana usia juga, Zara tidak dapat melarikan diri daripada ditebak isu klise bila dia akan mendirikan rumah tangga, tambahan pula pesona yang dimilikinya kini juga bukan calang-calang.

ZARA berasa cukup bertuah seandainya peminat mengenalinya menerusi nama watak.
Jodoh
Seperti mana renyai hujan yang membasahi sepi jiwa Zara, aktres itu percaya pelangi cinta pastinya menjelma meskipun hadir pada lewat senja.
“Wajah saya kelihatan berseri-seri sekarang bukan kerana mahu berkahwin, itu pun masih belum tahu dengan siapa. Lagipun, tak salah melawa untuk kepuasan diri.
“Memang penat disoal perkara sama, tetapi nak buat macam mana. Selagi tidak berkahwin saya akan cuba menjawab elok-elok apabila disoal mengenai perkara itu.
“Buat masa ini, calon memang belum ada lagi,” akuinya jujur.
Getus Zara, masanya banyak dihabiskan di set penggambaran, selain fokus dengan produk kecantikan dan tudung jenamanya sendiri iaitu Zara Zya.
“Saya juga bercadang untuk membuka kafe suatu hari nanti kerana saya dan ibu suka memasak, lokasinya mungkin di Damansara ataupun di Shah Alam.
“Terus terang, saya memang mahu menjadi ahli perniagaan berjaya jika tidak bergelar pelakon,” jelasnya.
Cuma pada masa sama, dramatis ini menafikan dakwaan kononnya ditipu ketika kali pertama berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebelum ini.
“Saya tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul. Lumrah berbisnes, ada untung ada rugi, tambahan pula modal dibiayai ibu pada waktu itu.
“Apa yang berlaku tidak pernah menyebabkan saya serik untuk terus berniaga,” ujarnya.

SIAPA sangka aktres ini dipanggil Puyuh dalam kalangan keluarga.
Rahsia
Dalam pada itu, sengaja juga mengajak figura ini berbicara mengenai satu rahsia yang tidak pernah dikongsinya bersama peminat.
Mengambil sedikit masa sebelum memulakan bicara, Zara kemudiannya petah berkongsi mengenai nama manjanya yang dipanggil Puyuh dalam kalangan keluarga.
“Rakan sekolah pun tidak tahu mengenai nama gelaran itu. Sebenarnya, saya pernah memelihara burung puyuh kesayangan yang diberikan nama Rock ketika kecil.
“Pada masa sama, tubuh saya juga terlalu kurus ketika itu sehingga dipanggil dengan nama itu. Sehingga sekarang, kakak juga masih memanggil saya dengan nama Puyuh,” ujarnya melentur tawa di bibir.
Andai diberikan semula peluang untuk menebus semula sesuatu dalam hidup, Zara memberitahu, dia teringin untuk kembali menjayakan watak sebagai seorang adiwira.
“Pernah sekali saya berlakon watak sedemikian dalam drama Supermak sekitar beberapa tahun lepas, cuma saya cukup kecewa kerana mutu lakonan diri sangat teruk kerana masih malu-malu ketika itu.
“Jadi jika boleh, saya mahu membuktikan semula kemampuan membawakan watak seorang adiwira,” ujar peminat Magneto dalam filem X-Men itu seraya menoktah bicara.