Shiha Zikir, De’Meises tiada isu dipergunakan


KUMPULAN De’Meises dan Shiha Zikir berkolaborasi menerusi single terbaharu Jangan Bilang Siapa-Siapa.

MEREKA datang dari dua buah negara, Malaysia dan Indonesia. Bagaimanapun, akhirnya Shiha dan kumpulan De’Meises bersatu atas kecintaan yang sama dalam industri muzik. Menariknya mengenai Shiha dan kumpulan De’Meises ini, masing-masing mencipta nama di negara orang.

Shiha popular di Indonesia selepas menyertai program realiti D’Academy Asia pada tahun lalu, manakala band De’Meises dari wilayah Cianjur, Jawa Barat, Indonesia pula lebih dikenali di negara ini.

Sejak memasuki pasaran di negara ini pada tahun 2011, band De’Meises merupakan satu nama yang cukup sinonim dengan peminat muzik tanah air.

Apa yang pasti, muzik yang mereka cuba bawa ke sini mudah diterima peminat di Malaysia berbanding Shiha yang merupakan bekas protege Allahyarham Datuk Sharifah Aini dalam program realiti Mentor itu pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, itulah yang dikatakan rezeki ada di mana-mana sahaja. Jika bukan di tempat sendiri, barangkali rezeki kita di tempat orang.

Bagi pengikut industri muzik di negara ini, lagu-lagu alunan band yang dianggotai lima anak muda Iman (vokal), Messi (gitar), Irwan (gitar), Neno (bass) dan Riza (drum) itu sememangnya acap kali dimainkan di radio. Antaranya ialah lagu hit, Dengarlah Bintang Hatiku dan Biar Saja.

Kerjasama

Pada tahun lalu, De’Meises pernah bekerjasama dengan pelakon popular, Ayda Jebat untuk penghasilan klip video muzik lagu Biar Saja. Strategi itu secara tidak langsung dilihat sebagai langkah untuk mengukuhkan lagi namanya di persada muzik tanah air. Tambahan pula, aktres berkenaan sudah mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.

Kali ini, sekali lagi De’Meises menggunakan strategi yang sama apabila tampil berduet dengan Shiha menerusi single terbaharu berjudul Jangan Bilang Siapa-Siapa. Barangkali, inilah waktunya buat mereka menguatkan lagi pengaruh sedia ada di dua buah negara. Dengan penglibatan Shiha yang popular di Indonesia, secara tidak langsung, ia menjadi jalan mudah bagi De’Meises terus menapak di negara sendiri.

Begitu juga sebaliknya buat Shiha.

Populariti yang ada pada De’Meises sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mencipta nama di negara kelahiran. Bagaimanapun, bagi Shiha, itu tidak bermaksud, mereka saling dipergunakan.

“Ini bukanlah bermaksud kami mempergunakan antara satu sama lain. Cuma, ia lebih kepada satu bentuk kerjasama. Kita sendiri maklum bahawa lagu-lagu kumpulan De’Meises memang cukup popular di sini. Jadi, dengan adanya penglibatan saya, secara tidak langsung, dapat memperkenalkan lagi diri saya.

“Mereka pun bukanlah ‘gunakan’ saya. Saya tak berani nak cakap macam itu. Dengan kerjasama ini juga harapnya, saya dapat terus menembusi pasaran industri muzik di Indonesia. Ini juga satu peluang yang saya kira cukup baik untuk membina nama di dua buah negara.

‘‘Ia juga merupakan kolaborasi pertama saya dengan band Indonesia,” kongsi Shiha ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Royale Bintang, The Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jelas Shiha, sewaktu ditawarkan untuk berduet, dia cukup gembira dan berasa berbesar hati apabila diberikan peluang untuk mempunyai naskhah bersama-sama sebuah band dari Indonesia yang sudah mempunyai ramai peminat di negara ini.

“Saya memang mengenali mereka menerusi lagu. Lagu-lagu mereka saya sendiri menyukainya. Lagipun, seperti yang kita sedia maklum lagu-lagu mereka memang popular dimainkan di sini. Cuma, saya belum pernah berkesempatan bertemu mereka,” kongsinya.

Menurut Iman De’Meises, dia mengenali Shiha kerana wajah penyanyi itu sering muncul di televisyen di sana, lebih-lebih lagi selepas Shiha menyertai program realiti D’Akademi Asia.

“Dia popular di Indonesia. Jadi, apabila dicadangkan oleh pihak Warner Music Indonesia, kita juga terus bersetuju. Harapnya, kerjasama ini dapat memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” jelas Iman.


NAMA Shiha popular di Indonesia selepas menyertai program reality D’Academy Asia.

Curang

Bercakap mengenai single nukilan komposer Harry Tasman itu, menurut Iman lagu itu cukup istimewa berbanding lagu-lagu yang diperkenalkan De’Meises sebelum ini. Selain ia merupakan lagu duet pertama mereka, lagu itu juga mempunyai maksud yang cukup mendalam.

“Lagu Dengarlah Bintang Hatiku mengisahkan kesetiaan, lagu kedua, Biar Saja menceritakan perihal keikhlasan, manakala, yang ketiga ini berkisar kecurangan seseorang. Jangan salah faham, kerana lagu ini bukanlah menggalakkan orang untuk berlaku curang.

“Bagaimanapun, ia mengandungi nasihat agar kita terus setia dalam menjalinkan mana-mana perhubungan,” kata Iman.

Menurutnya lagi, lagu itu juga menjalani proses rakaman secara berasingan. Shiha merakamkan lagu itu di negara ini, sementara De’Meises merakamkan lagu tersebut di Indonesia terlebih dulu.

“Lagu itu sudah diperkenalkan di Indonesia kira-kira dua bulan yang lalu. Jadi, sekarang ini barulah kita mahu tembusi pasaran di sini. Buat masa ini, kita menerima respons yang positif daripada pendengar. Harapnya, kita terus mendapat sokongan dari dua buah negara,” katanya.

Memandangkan masing-masing terikat dengan jadual kerja tersendiri, kata Iman, De’Meises juga tidak berdepan masalah sekiranya terpaksa melakukan persembahan di Indonesia tanpa kehadiran Shiha.

“Ya, memandangkan kami tinggal berjauhan, tetapi kami juga ada menyediakan konsep lagu untuk dibawakan oleh band sepenuhnya. Tapi bukanlah bermaksud kami tinggalkan dia. Walaupun ia lagu duet, tetapi kami masih lagi boleh bawakan lagu itu secara sendirian sekiranya jadual Shiha tidak mengizinkan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post