Tahun terakhir Indah Ruhaila membujang


WANITA bernama Indah Ruhaila ini jarang sekali membuka mulut untuk berbicara soal cinta. Apa yang pasti, dia bukanlah seorang anak seni yang sering terpalit dengan cerita-cerita klise percintaan artis di sana sini. Ini kerana, kebanyakan kisah dirinya yang acap kali dipaparkan selalunya hanya berkisar perihal perjalanan kariernya sebagai seorang penyanyi sahaja.

Bukan mahu berahsia, cuma penyanyi berusia 29 tahun ini memberitahu, dia lebih selesa jika cerita kerjayanya memenuhi dada-dada akhbar berbanding hal bersifat peribadi. Bahkan, awal-awal lagi, penyanyi yang popular dengan lagu hit Percayalah itu meminta agar kisah dunia nyanyiannya dijadikan fokus bicara pada pertemuan Sensasi Bintang dengannya baru-baru ini.

“Nak tanya mengenai apa? Kalau saya bercerita pasal lagu baharu saya sahaja boleh ke? Tak perlulah cerita-cerita hal peribadi,” seloroh pemilik nama sebenar Siti Ruhailah Hussein itu ketika hadir di studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Maka, tidak hairanlah, untuk rekod, pada awal kemunculannya selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2013, Indah sudah berjaya membuktikan kemampuannya mencipta nama di persada seni tanah air berbekalkan bakat yang dimilikinya.

Ini kerana, hanya berbekalkan single pertama nukilan Zul 2 By 2 itu, Indah sudah berdiri sebaris dengan penyanyi yang jauh lebih berpengalaman daripadanya apabila mampu melayakkan diri beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu setahun selepas itu.

Biarpun mahu kisah kerjaya menjadi keutamaannya, kata Indah, dia tidak pernah sesekali terdetik untuk terlalu menjaga privasi sisi kehidupannya sebagai orang biasa. Katanya, dia sedar sebagai seorang bergelar figura umum, dia perlu berdepan dengan hakikat bahawa kisah peribadi antara yang sering menjadi tumpuan peminat.

Cuma, katanya, perkongsian hal diri itu biarlah yang bersesuaian. Dengan erti kata lain, sebolehnya perkongsian hal peribadi itu tidaklah sehingga menjadikan ia sebagai satu bentuk jajaan secara berlebih-lebihan.



Enam tahun berkawan

“Sebenarnya, saya tidaklah ada berahsia mana pun. Bahkan saya sendiri beritahu kepada umum status saya sebagai tunangan orang. Saya masih berkongsi apabila orang bertanya. Cuma, ada juga perkara yang saya tidak dedahkan untuk hormati permintaan pihak-pihak tertentu.

“Maklumlah, ada kalanya, apabila kita beritahu sedikit, orang akan ada kecenderungan untuk tahu lebih lagi. Orang nak tahu kisah peribadi tak salah, tapi saya cuba untuk letakkan had. Lagipun masing-masing ada kehidupan sendiri,” katanya yang sudah tiga tahun menjadi tunangan lelaki berusia 34 tahun itu.

Kata Indah, mengikut perancangan, tahun ini bakal menjadi tahun terakhir dia menghabiskan sisa-sisa kehidupannya sebagai wanita bujang. Tahun depan, dia bakal melalui satu lagi fasa baharu dalam kehidupan apabila memegang tanggungjawab sebagai isteri pula.

“Kalau ikutkan sasaran, nak kahwin awal sewaktu umur 25 tahun lagi. Kami pun sudah enam tahun berkawan. Kenal pun sebab sebelum ini dia juga bermain muzik tetapi secara underground sahaja. Jadi di situlah juga antara bibit awal perkenalan kami.

“Kalau ikutkan dirinya, memang kalau boleh mahu diawalkan majlis. Bahkan, selepas keluar AF lagi dia sudah tanya sama ada saya mahu kahwin pada tahun ini atau pun tidak.

“Dia suruh saya fikir masak-masak sebab tidak mahu menyesal memandangkan ketika itu saya juga baru sahaja keluar daripada program realiti untuk bina nama,” luah Indah yang memberitahu tunangnya itu merupakan seorang pengurus akaun.

Tidak pernah mendedahkan wajah tunangannya di media sosial, kata Indah, perkara itu dilakukan atas permintaan bakal suaminya yang lebih selesa tidak menjadi perhatian ramai.

“Kalau keluar pun biasanya kami secara beramai-ramai dengan kawan-kawan lain. Jadi, apabila orang jumpa saya pun, memang orang susah nak kenal pasti yang mana satu tunangan saya.

“Bahkan, kalau ada peminat tegur saya ketika berjalan dengannya pun, saya toleh sebelah tengok dia sudah hilang melarikan diri. Kemudian barulah dia telefon untuk berjumpa saya semula,” cerita Indah yang kini sibuk menyediakan persiapan menjelang majlis pada Mac nanti.



Terima sokongan

Kata Indah, peminat mungkin sukar untuk terserempak dengan mereka berdua memandangkan masing-masing tinggal berjauhan. Indah di Kuala Lumpur, manakala bakal suaminya pula bekerja di Johor. Maka, kata Indah, keadaan itu menyebabkan mereka jarang berjumpa dan banyak berhubungan menerusi telefon sahaja.

“Cuma kalau dia ada kerja di Kuala Lumpur, barulah kami dapat berjumpa. Begitu juga sebaliknya kalau saya pulang ke kampung di Johor, barulah berpeluang untuk berjumpa dengannya.

“Lagipun masing-masing ada komitmen dan faham kerjaya. Jadi tidak timbul masalah walaupun hubungan jarak jauh. Biarpun lama bertunang, tapi jodoh kami kuat sehingga sekarang,” katanya.

Sungguhpun begitu, selepas kahwin nanti, kata Indah dia masih lagi akan meneruskan cita-citanya. Dia bersyukur kerana bakal suaminya itu seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk mencapai apa yang diinginkan dalam hidup.

“Dia tidak pernah suruh berhenti menyanyi, malah dialah individu yang banyak beri galakan dan sokongan untuk saya teruskan apa yang saya minat.

“Lagipun dia tahu yang saya ini memang jenis yang tidak boleh duduk di rumah sahaja. Mungkin sebab sudah terbiasa bekerja, jadi tak boleh duduk diam begitu,” katanya yang kini muncul dengan single terbaharu berjudul Semua Untuk Cinta.

Bercakap mengenai lagu tersebut, kata Indah, lagu itu merupakan naskhah ketiga selepas single kedua berjudul Cerita Cinta Kita nyanyiannya bersama Ewal diterbitkan.

“Ramai orang ingat, ini merupakan single kedua sebab ada yang tak perasan kemunculan single duet saya dengan Ewal. Respons yang saya terima, ramai beritahu mereka tak dapat tangkap suara nyanyian itu adalah saya.

“Saya harap lagu Semua Untuk Cinta hasil ciptaan Hael ini dapat diterima baik. Buat masa sekarang, saya lihat banyak komen positif yang diberikan peminat. Video lirik juga sudah dimuat naik di YouTube yang dirakamkan di Melbourne, Australia. Ia dirakamkan sewaktu saya pergi bercuti untuk bertemu dengan adik yang belajar di sana. Jadi rakaman perjalanan di sana itu kita jadikan sebagai video lirik,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post