AKTOR ini enggan tergesa-gesa memikirkan soal cinta.
AKTOR berbakat yang semakin mencipta nama, Nazrief Nazri mengakui tidak memiliki sebarang masalah bersama rakan aktor iaitu Kamal Adli.
Spekulasi itu hangat diperdebatkan peminat lantaran pemilik nama sebenar Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, berlakon bersama wanita yang paling rapat bersama Kamal Adli, Emma Maembong dalam drama bersiri Nasi Minyak Kuah Cinta baru-baru ini.
“Hubungan saya dan Kamal memang okey dan tiada sebarang masalah. Dia juga memahami perkara ini hanyalah sekadar gosip semata-mata.
“Mungkin pada mulanya terdapat sedikit salah faham terutamanya apabila gosip itu timbul beberapa bulan lepas, namun segala-galanya okey sekarang,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Cuma, Nazrief mengakui agak hairan dengan sikap segelintir peminat fanatik yang berterusan mengecam dirinya berhubung perkara itu.
“Ada saja yang menghentam saya jika memuat naik gambar bersama Emma di laman Instagram, sedangkan tiada apa-apa yang berlaku antara kami.
“Sebaliknya, ia sekadar mempromosikan drama Nasi Minyak Kuah Cinta, tidak lebih daripada itu,” jelasnya.
Pada masa sama, Nazrief juga tidak tergesa-gesa memburu cinta hanya semata-mata mahu mengelak daripada berterusan terjebak dalam kontroversi sedemikian.
“Belum masanya lagi untuk bercinta. Selain mahu kekal fokus dengan karier, saya juga mahu menjaga ibu, Radziah Idris,” ceritanya lagi.
Ungkap Nazrief, dia juga sentiasa bersedia untuk berdepan gosip seperti ini dan menganggapnya sebagai asam garam dunia seni.
“Biasalah, kalau boleh saya memang tidak mahu dibayangi cerita-cerita seperti ini, namun saya memahami lumrah sebagai seorang artis.
“Yang paling utama, saya tidak mudah melatah dan cuba mengendalikan setiap kontroversi dengan tenang tanpa dipengaruhi emosi,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perkembangan karier, Nazrief memberitahu, dia juga bakal mencabar cabang baharu dalam bidang nyanyian apabila bakal tampil dengan single bergenre balada dalam masa terdekat.
“Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang berkebolehan menyanyi, cuma bidang lakonan tetap menjadi keutamaan. Insya-Allah, semoga hasrat ini terlaksana mudah-mudahan,” ujarnya menoktah bicara.