SEJAK mendirikan rumah tangga akhir Julai lalu, pelakon bertubuh genit, Ika Nabella mengakui lebih selektif dalam lakonan.
Menurut Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, 27, keputusan itu demi menghormati statusnya sebagai isteri.
"Memang Ika lebih selektif tapi bukan bermakna dulu Ika main ambil sahaja tawaran yang datang.
"Cuma sekarang, Ika pilih tawaran sesuai dengan status sebagai isteri walaupun suami tidak meletakkan had.
"Selain itu, Ika juga mahu tawaran lebih sesuai dengan usia," katanya kepada Media Hiburan.
Tambah Ika, drama lakonannya, Awak Sangat Nakal kini sedang ditayangkan di Astro Ria menggantikan Suri Hati Mr. Pilot.
Membawakan watak sebagai Ustazah Ain, tunang kepada Johan, lakonan Sharnaaz Ahmad, Ika mengakui sedikit tertekan.
"Bukan tertekan dengan set atau lakonan, tapi tekanan dari sudut mahu mengatasi populariti Suri Hati Mr. Pilot.
"Kami mahu drama ini mendapat sambutan sama seperti Suri Hati Mr. Pilot.Jadi dari awal lagi, kami giat melakukan promosi melalui laman sosial," katanya.
Ika juga teruja kerana drama dan telefilem lakonannya tercalon dalam Anugerah Skrin 2016.
Meletakkan harapan tinggi untuk telefilem Lafaznya Amin, Ika berkata, telefilem yang menggandingkannya dengan aktor Johan Asa'ari itu mempunyai sebuah jalan cerita yang berbeza.
"Bukan Ika mahu memperkecilkan drama atau telefilem lain, tapi bagi Ika, jalan ceritanya kuat dan menarik.
"Malah secara peribadi, Ika juga berharap 'tersangkut' untuk memenangi anugerah.
"Tapi apa pun bergantunglah pada rezeki yang ALLAH SWT tentukan," ujarnya.