Zarul Husin belum rancang kerjaya


PENGORBANAN vokalis Umbrella, Zarul Husin untuk bercuti tanpa gaji bagi menyertai program Gegar Vaganza musim ketiga tampaknya berbaloi.

Zarul yang masih berkhidmat bersama Malaysia Airlines sejak 16 tahun lalu sebagai pramugara, sering mendapat pujian daripada juri tetap program berkenaan dan menjadi juara bagi minggu ketiga.

Namun hanya pada minggu keempat, persembahan duet Zarul bersama naib juara Gegar Vaganza musim kedua, Faradhiya kurang menyengat.

Bagaimanapun bagi pemilik nama sebenar Zairulkeifli Husin, 43, biarpun sering dipuji sebelum ini, dia tidak pernah melihat perkara itu sebagai alasan untuk berasa selesa.

"Kami masih ada baki empat minggu untuk diselesaikan dan tidak dinafikan sejak awal lagi, saya memang agak lemah untuk berduet.

"Apatah lagi gandingan saya, Faradhiya cukup mantap vokalnya dan rentak R&B juga tampak tidak bersesuaian dengan saya. Agak sukar untuk saya letakkan vokal setaraf dengannya.

"Walaupun tiga minggu sebelum itu persembahan saya dipuji dan berada dalam kedudukan tiga terbaik, tapi saya tidak pernah berasa selesa.

"Bahkan setiap minggu, saya pastikan vokal saya berada di tahap lebih baik.

"Alhamdulillah secara peribadi, saya rasakan vokal saya kini lebih baik berbanding awal kemunculan saya dahulu," katanya kepada Media Hiburan.

Meskipun kini mempunyai golongan peminat baharu dan semakin digilai ramai, ujar Zarul, dia belum merangka perjalanan kariernya, lebih-lebih lagi membabitkan kerjaya pramugaranya.

"Saya tidak mahu hilang fokus, sebab itulah sekarang saya tumpukan dahulu pada program ini dan tugasan yang perlu saya lakukan.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kerjaya saya kerana saya sendiri pun belum fikirkan.

"Bagaimanapun tidak dinafikan, sebelum menyertai Gegar Vaganza lagi, saya sudah merancang mengeluarkan single kerana sebelum ini pun saya pernah keluarkan single.

Menurut Zarul, dia juga pernah mendapat tawaran tetapi belum ada perbincangan lanjut kerana fokus utamanya kepada Gegar Vaganza.

Di usik mengenai pesaing utamanya, Zarul berkata, dia mengamalkan persaingan sihat dan melihat semua peserta yang tinggal masih berpeluang bergelar juara.

"Bagi saya semua ada kekuatan masing-masing.

"Malah kalau kita lihat, ada peserta yang setiap minggu meningkat kualiti vokal dan persembahan mereka.

"Macam minggu keempat, saya sangat bangga apabila Gmie diumumkan sebagai juara mingguan.

"Tapi tiada istilah pesaing terdekat kerana saya rasa semua bersaing dengan sihat dan hanya fokus kepada persembahan masing-masing," ujarnya yang berharap persembahannya juga meningkat setiap minggu.

Tambah Zarul, apa yang dibimbangkannya adalah apakah genre lagu yang akan dibawa sekiranya mara pada minggu berikutnya.

"Ketika saya mendapat lagu rock alternatif menerusi lagu Generasiku, saya sendiri tak sangka dapat buat sebaik itu.

"Cuma saya risau sekiranya diberikan lagu dangdut atau lagu asli kerana itu bukan kepakaran saya.

"Bagaimanapun itu bukan alasan untuk saya lakukan sambil lewa kerana saya anggap ini adalah ruang dan peluang untuk belajar," katanya yang akan membawakan lagu Aiman Tino, Ku Rela Dibenci pada minggu ini.

Kisah peribadi dicungkil

Di sebalik populariti yang dikecapi, kebanyakan peminat sudah mula mencungkil kisah peribadi Zarul termasuk siapakah isteri dan anaknya.

Namun bagi Zarul sendiri, dia tidak kisah dengan situasi yang berlaku, asalkan tidak sampai memudaratkan dan menimbulkan fitnah.

"Kalau yang mereka cungkil itu memang benar, saya tidak kisah. Cuma janganlah sampai timbul isu lain pula.

"Saya pun bukan baharu dalam industri dan saya faham dengan perkembangan teknologi masa kini.

"Apa yang saya harap, kalau cerita saya dikeluarkan pun, tidak keterlaluan dan ia adalah perkara yang betul," akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post