Saharul Ridzwan utamakan isteri


MASA - Saharul akan ‘mencuri’ masa untuk sentiasa bersama Deena walaupun sibuk dengan jadual penggambaran.

TIADA apa yang kurang sepanjang tiga bulan pelakon Saharul Ridzwan mendirikan rumah tangga bersama belahan jiwanya, Deena Amir. Mengikat janji setia sebagai pasangan suami isteri pada 16 September lalu, bahtera cinta yang dilayarkan mereka tenang membelah arus, mencetuskan rasa bahagia yang tidak berpenghujung.

Menyifatkan toleransi sebagai kunci utama, dramatis yang mula dikenali menerusi drama rantaian Hati Perempuan itu melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan yang sangat memahami skop tugasnya sebagai seorang pelaku seni.

“Deena begitu memahami tugas saya sebagai seorang pelakon, lebih-lebih lagi jika ada beberapa projek menuntut saya berada di lokasi penggambaran untuk tempoh masa yang lama.

“Justeru, untuk berlaku adil, saya kini lebih prihatin terhadap soal pembahagian masa dan sebolehnya mahu berada dekat di samping isteri pada setiap masa,” ujar Saharul yang ditemui pada perjumpaan tahunan kelab peminatnya, SR Tigers yang diadakan di pusat boling Mega Lanes, Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Pelakon berusia 27 tahun itu memberitahu, keterbatasan waktu untuk selalu bertemu bukanlah alasan untuk tidak meluangkan masa bersama isteri.

Selain berhubung menerusi panggilan video Facetime, dia juga sering singgah ke butik pakaian muslimah diusahakan oleh Deena, Wrap Boutique House yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

“Sebagai seorang suami, sudah menjadi tanggungjawab bagi saya untuk meluangkan masa bersama isteri.

“Walaupun hanya sekadar bertemu di butik untuk satu atau dua jam, sekurang-kurangnya saya tahu perkembangan Deena pada hari tersebut,” ujarnya.

Menyambung bicara mengenai sifat tolak-ansur, Saharul yang turut membawa isterinya pada acara petang itu tidak meletakkan sebarang syarat terhadap kerjaya Deena sebagai seorang usahawan fesyen Muslimah.

Sebaliknya, finalis Hero Remaja 2012 itu tetap memberikan sokongan penuh terhadap cita-cita isterinya untuk bergelar usahawan berjaya.

“Mengenali Deena, dia merupakan seorang wanita yang bercita-cita tinggi dan mempunyai visi dalam hidup. Sejak dahulu lagi dia telah memasang impian untuk memiliki sebuah butik fesyen sendiri.

“Apabila telah menjadi kenyataan, saya sendiri tumpang gembira dan bangga dengan pencapaiannya. Jadi, tidak salah rasanya untuk saya terus memberikan sokongan agar perniagaannya mampu berkembang ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya yang tidak bercadang untuk berkolaborasi bagi mengeluarkan produk dalam masa terdekat ini.

Privasi

Sejak mengukuhkan nama sebagai pelakon dalam bidang seni, perihal privasi pemilik nama lengkap Mohd. Saharul Ridzwan Hashim itu sukar untuk ditebak. Apatah lagi jika tuan empunya diri juga tidak terlalu terbuka apabila diminta untuk bercerita mengenai kisah peribadinya.

Hal ini kerana, biarpun khabar angin mengatakan isterinya kini sedang hamil anak pertama, pelakon teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Bawang Merah Bawang Putih itu masih enggan untuk memberikan sebarang kata putus.

Tidak mengesah atau menafikan perkara tersebut, Saharul lebih selesa meminta peminat untuk mendoakan yang terbaik baginya dan isteri.

“Saya akui, ramai yang bertanya adakah Deena telah berbadan dua. Peminat juga ada meninggalkan komen di Instagram dengan ucapan tahniah.

“Bagi saya, pertanyaan dan ucapan yang diterima itu adalah doa. Apa yang boleh saya katakan, doakan sahaja yang terbaik buat kami,” ujarnya sambil tersenyum.

Ketika ditanya setakat manakah keterbukaannya apabila berkongsi mengenai hal peribadi, respons Saharul: “Saya masih seperti Saharul Ridzwan yang dahulu, sangat menjaga soal privasi dan hal-hal peribadi.

“Tambahan pula, saya tidak suka mencanang sesuatu perkara sekadar untuk meraih publisiti. Biarlah ia benar-benar sahih sebelum ada sebarang kata putus yang keluar daripada mulut kami,” tutur Saharul yang mengambil isu perkahwinannya sebelum ini sebagai perbandingan terdekat mengenai prinsipnya itu.

Dalam pada itu, Saharul menegaskan yang dia lebih selesa jika publisiti hadir menerusi bakat lakonannya.

“Saya lebih terbuka apabila khalayak memberikan kritik terhadap karier saya, asalkan kritikan tersebut memberi impak positif,” katanya.

Anugerah

Terlanjur bicara mengenai karier lakonan, Saharul memasang impian untuk meraih pengiktirafan daripada majlis-majlis anugerah yang dinilai oleh juri profesional.

Pemenang anugerah Aktor Pilihan dan Pasangan Pilihan (bersama dramatis Janna Nick) bagi drama Kau Aku Kita menerusi Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016) itu menjelaskan, sudah tiba masa untuk menjadi lebih selektif dalam memberi kepelbagaian terhadap portfolio seninya.

Dia turut melahirkan rasa bersyukur kerana banyak anugerah yang diraih pada tahun ini hasil daripada penilaian peminat. Ia membuktikan bahawa masih ramai yang setia menyokong kerjaya seninya.

“Namun, pada masa yang sama, saya menyasarkan untuk mendapat pengiktirafan pelakon lelaki terbaik daripada mana-mana majlis pada tahun hadapan.

“Jadi, saya sudah mula memilih untuk berkarya dan tidak hanya tertumpu pada naskhah komersial semata-mata,” ujar pemuja bakat luar biasa milik pelakon Beto Kusyairi itu.

Begitupun, Saharul yang terlebih dahulu dikenali menerusi naskhah-naskhah komersial tidak menolak untuk membawakan watak-watak ringan dan santai.

“Saya masih menerima tawaran untuk membawakan naskhah yang santai kerana ia merupakan bahan hiburan yang ingin ditonton oleh khalayak.

“Bagaimanapun, saya tidak mengulang karakter supaya penonton tidak bosan dan menyamakan lakonan saya dengan drama-drama terdahulu,” katanya.

Peminat

Tidak dinafikan, karier Saharul semakin kukuh dalam bidang lakonan adalah disebabkan kesetiaan peminatnya yang tidak pernah lelah memberi sokongan.

Buktinya, kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai SR Tigers itu sentiasa menjadi jentera utama untuk memastikan kemenangan Saharul jika pelakon tersebut tercalon dalam sebarang majlis anugerah.

Menganggap peminat sebagai tulang belakang kerjaya, Saharul berkata, kelangsungan kerjaya lakonannya sehingga ke hari ini adalah disebabkan kesungguhan mereka yang tidak pernah berbelah-bahagi.

“Mereka sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan saya dalam majlis anugerah. Tanpa mereka, mungkin saya tidak dapat apa yang saya ada hari ini,” katanya yang sentiasa cuba untuk meluangkan masa bertemu dengan mereka menerusi acara perjumpaan tahunan kelab peminat.

Sementara itu, Deena ketika ditanya mengenai acara perjumpaan kelab peminat suaminya berkata, dia berasa sangat teruja kerana berpeluang untuk bertemu dengan mereka buat kali yang pertama.

“Saya berasa agak canggung pada awalnya, maklumlah, saya tidak kenal sesiapa. Namun, selepas seketika, saya terus dapat menyesuaikan diri kerana kebanyakan daripada ahli SR Tigers terdiri daripada golongan wanita,” katanya sambil tersenyum.

Mengakui tidak pernah timbul sebarang rasa cemburu, Deena atau nama sebenarnya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28, berkata, dia melihat hubungan antara suaminya dengan peminat hanya sekadar kenalan rapat.

“Peminat merupakan kelompok yang sentiasa menyokong kerjaya seseorang artis. Jika artis melakukan kesilapan, mereka akan sentiasa memberi nasihat. Begitu juga apabila seseorang artis itu berjaya dalam karier, mereka juga yang akan memberi sokongan dan mendoakan kejayaan pada masa akan datang,” ujar Deena.

Post a Comment

Previous Post Next Post