Harapan Ayda Jebat


SELEPAS menyumbang idea di dalam penghasilan lirik untuk lagu Pencuri Hati, pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat kini hadir dengan single terbaru, Nakal Nakal Nakal.

Lagu tersebut merupakan runut bunyi kepada drama bersiri adaptasi novel, Awak Sangat Nakal yang turut menampilkan Sharnaaz Ahmad sebagai teraju utamanya, selain Ayda sendiri.

Drama tersebut sudah pun ditayangkan di saluran Astro Ria dan Ria HD sejak 7 November lalu.

Bercerita mengenai penghasilan lagu tersebut, Ayda memberitahu, dia cukup berbesar hati kerana sekali lagi berpeluang bekerjasama dengan komposer dari Indonesia di dalam pembikinan lagu.

“Sebelum ini, saya sudah berkolaborasi bersama komposer Irwan Simanjuntak untuk lagu Pencuri Hati dan kali ini, kami sekali lagi bergabung idea untuk Nakal Nakal Nakal.

"Saya rakam lagu tersebut di Indonesia pada awal November lalu dan ternyata, ia menjadi satu kenangan manis buat diri saya.

“Sejujurnya, saya mengharapkan lagu ini turut mendapat sambutan baik seperti mana Pencuri Hati sebelum ini, yang mana respons yang diberikan terhadap lagu tersebut di luar jangkaan saya,” harap Ayda yang mengakui sudah pun membuat perancangan untuk menghasilkan muzik video untuk lagu berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ayda yang mesra dipanggil Adik dipilih pihak produksi antarabangsa, Disney untuk merakam lagu tema filem animasi, Moana di dalam bahasa Malaysia.

Filem tersebut bakal ditayangkan di Malaysia pada 1 Disember depan.

“Lagu nyanyian asal Alessia Cara itu berjudul How Far I’II Go. Selain saya, empat lagi bintang dari Asia Tenggara terpilih untuk mendendangkan lagu tersebut di dalam bahasa ibunda masing-masing iaitu Janelia Salvador yang mewakili Filipina, Maudy Ayunda (Indonesia), Myra Maneepat Moiloy (Thailand) dan Minh Nhu (Vietnam).

“Kami rakam lagu tersebut di Singapura dan saya kira peluang yang diberikan ini merupakan satu penghormatan dan lakaran jaya buat profil seni saya secara peribadi. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan,” akhiri Ayda.

Post a Comment

Previous Post Next Post