Redza Rosli mahu perbaiki diri


SEJAK tampil dengan lakonan mantap menerusi watak Adrian dalam drama Seindah Takdir Cinta, kelibat pelakon, Redza Rosli mula menjadi perhatian ramai.

Bahkan pelakon berusia 24 tahun ini juga mengakui sering ditegur dengan panggilan Adrian di kalangan peminat.

“Tidak dinafikan bila berjumpa dengan peminat, ada yang memanggil saya Adrian atau Rian.

“Tapi saya tak kisah dan saya rasa dihargai kerana orang ingat dengan lakonan saya,” katanya kepada Media Hiburan.

Biarpun semakin dikenali, Redza tidak selektif dengan tawaran yang datang.

Bagi Redza, setiap projek yang dijayakannya adalah sebuah sesi pembelajaran.

“Pada pandangan saya, ilmu tiada hadnya. Walaupun tawaran yang datang ada ketikanya hampir sama, tapi saya tak kisah.

“Malah saya rasa belum puas kerana cara penyampaian tidak pernah sama,” jelasnya.

Namun di sebalik keberkesanan lakonan yang dipamerkan, Redza berkata, dia sehingga kini masih mencari masa menyertai kelas lakonan teater untuk memperbaiki lakonan.

“Kalau saya ada cuti yang panjang sedikit, saya akan ambil peluang untuk menyertai kelas teater.

“Di sana saya akan asah kembali dan memperbetulkan lakonan saya.

“Malah menjadi impian saya untuk tampil di pementasan teater suatu hari nanti jika diberi peluang.

“Kerana pada pandangan saya, pentas teater merupakan satu lapangan berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, ditanya mengenai tawaran filem, menurut Redza, dia ada menolak beberapa tawaran filem kerana merasakan masih belum sesuai menjayakan sebuah filem.

Berkongsi perkembangan seninya, Redza akui kini sibuk dengan penggambaran Di Pintu Syurga bersama Janna Nick.

Selain itu, drama lakonannya, Amsyar, sedang ditayangkan setiap Selasa hingga Khamis di TV9.

Post a Comment

Previous Post Next Post