DEMI mempelajari ilmu baru, Altimet terus mengorak langkah dalam industri seni tempatan.
Justeru, selebriti berusia 37 tahun ini memilih untuk menjadi pelakon selepas mencipta kejayaan dalam bidang muzik.
Lebih membanggakan, biarpun baru pertama kali muncul menerusi drama PU Wid, Altimet bagaimanapun cemerlang dalam lakonannya.
"Jujur, saya berlakon kerana mahu mencari ilmu baru. Bahkan, berlakon juga memberi satu pengalaman baru kepada saya.
"Alhamdulillah, tak sangka pula lakonan saya diterima," katanya kepada Sinar Harian.
Tanpa disedari, pemilik nama sebenar Ahmad Abdul Rahman ini dilihat selesa membawakan karakter ‘gila-gila’ dan kelakar.
Bahkan, sebelum ini pelantun lagu Kalau Aku Kaya ini pernah tampil dalam program realiti, Super Spontan Superstar 2016.
"Saya sedar, saya ada kualiti (membuat lawak) itu. Lagipun, saya memang suka buat lawak tapi hanya dengan orang yang dikenali.
"Sebabnya, saya ini jenis yang berlawak kasar. Jadi, saya takut ia akan menyinggung perasaan orang ramai pula," katanya.
Berbicara mengenai watak, Altimet mengakui mengelak untuk memegang karakter sebagai pemuzik.
"Saya nak belajar benda baru, jadi saya tak nak buat benda yang sama seperti dalam dunia realiti.
"Saya sebenarnya mahu memegang watak jahat. Saya rasa watak jahat lebih menarik berbanding hero. Lagipun, hanya dalam cerita saja boleh jadi jahat.
"Saya juga ingin bawa watak sebagai bapa atau lelaki lembut," katanya.
Bukan itu sahaja, sebagai pendatang baru dalam bidang lakonan, pencinta muzik rap ini juga sudah bersedia untuk menempuhi pelbagai cabaran termasuk menunggu berjam-jam lamanya di set penggambaran.
"Secara tidak langsung, ia sebenarnya melatih tahap kesabaran saya.
"Bahkan, saya juga berpeluang belajar pelbagai perkara baru termasuklah daripada krew belakang tabir.
"Ini adalah sesuatu yang berharga memandangkan saya tak akan dapat semua ini di dalam bidang muzik," katanya.
Muzik tetap keutamaan
Jelas Altimet, pembabitannya dalam industri lakonan turut mempunyai perkaitan dengan bidang muzik.
"Saya harap pengalaman berlakon akan menjadikan saya individu dan penulis lagu yang baik," katanya.
Tambahan pula, anak sulung daripada tiga beradik ini juga dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah album berdasarkan pengalaman yang dilaluinya itu, kelak.
"Insya-ALLAH, untuk album seterusnya, formatnya akan jadi satu cerita yang lengkap.
"Lagu itu akan menjadi sebuah cerita bermula daripada lagu pertama hingga terakhir.
"Sebab itu, saya perlukan ilmu baru dan saya saya jangka ia bukanlah satu album yang mudah untuk dibuat," katanya.
Tidak hanya drama, Altimet juga ditawarkan untuk berlakon filem, tidak lama lagi.
"Saya akan muncul sebagai cameo dalam sebuah filem akan datang.
"Saya akan mula menjalani penggambaran pada bulan depan," katanya.
Dalam pada itu, sekalipun aktif berlakon, Altimet mengakui muzik tetap menjadi keutamaannya.
"Apa-apa pun, muzik tetap jadi nombor satu.
"Lagipun, ini minat saya sedari kecil lagi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Altimet bakal melancarkan album terbarunya, Amboi pada 27 November ini.
Mengulas lanjut, katanya, album ini membawa kelainan tersendiri kerana memerlukannya bertukar dengan keadaan dan gaya bekerja.
"Saya mencabar diri sendiri untuk menyiapkan semua lagu secara spontan dalam tempoh sebulan.
"Saya juga perlu fokus bekerja hanya ketika berada di dalam studio rakaman dan tidak membawa kerja pulang ke rumah.
"Jujurnya, saya sangat berpuas hati dengan penghasilan album ini," katanya.
Tambahnya, album yang memuatkan sembilan lagu itu turut menyaksikan kerjasamanya dengan beberapa penyanyi lain seperti Amir Jahari, The Kawan Band, Adib Nahar dan Diandara Arjunaidi.