Azaria luaskan pengalaman


BUKAN mudah sebenarnya seseorang melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Tanpa minat dan kesungguhan, pasti ia tidak mudah direalisasikan.

Menganggap itu sebagai cabaran, hos program bual bicara hujung minggu, Nasi Lemak Kopi O, Azaria tidak pernah mengeluh bahkan seronok.

Azaria atau nama sebenarnya, Azaria Tagaya Norio Tagaya menganggap ia proses pembelajaran untuknya memandangkan dia masih baharu.

Menjadi pembaca berita dan hos program bukanlah tugas mudah baginya. Menceritakan detik awal membabitkan diri dalam bidang terbabit, Azari sebelum ini menjadi pengacara separuh masa untuk beberapa rancangan bual bicara di beberapa stesen televisyen.

“Saya pernah mengacarakan Hello On Two di RTM dan Easy Inspirasi di HyppTV selama beberapa tahun.

"Jadi, transisi daripada bidang pengacaraan kepada bidang pemberitaan itu pada mulanya agak kekok, tetapi apabila sudah biasa, seronok pula," katanya yang memulakan karier di Media Prima sebagai wartawan.

“Ketika itu, TV3 mencari bakat baru di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dan kebetulan saya berada di fakulti.

"Saya pun ke sesi uji bakat dan tak sangka terpilih,” katanya.

Mengakui bidang pekerjaan tiba sejurus menamatkan pengajian, Azaria berkongsi saat mula-mula berkhidmat di mana dia bertugas di meja luar negara memandangkan fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.

"Masa mula-mula tu, saya jadi wartawan dan bukan pembaca berita kerana masih terlalu baru.

"Jadi, kerja saya cari bahan berita luar negara saja," ujarnya.

Mengakui pengalaman sebagai wartawan dalam mencari bahan berita, Azaria diberi peluang membaca berita untuk Buletin Pagi dan bertukar ke Nightline.

"Rasa lain bila kita selalu di belakang tabir kemudian beralih ke depan kamera. Perasaan bercampur-campur. Saya kuatkan diri dan terus belajar menjadi yang terbaik," tambahnya.

Tidak mahu hadkan bakat dalam diri, Azaria cuba peluang jadi hos program.

“Alhamdulillah, dengan pengalaman yang ada, saya berjaya melepasi uji bakat tersebut dan ditawarkan menjadi hos beberapa bulan kemudian,” ujarnya.

Ditanya adakah sukar buat dua kerja dalam satu masa, Azaria tidak melihat ia tekanan, sebaliknya jalan untuk terus maju dalam karier.

Post a Comment

Previous Post Next Post