Fathia Latiff selesa tanpa teman lelaki


Fathia LATIFF mengaku banyak lagi sisi peribadinya yang diperbaiki bagi menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.

Sejak mengambil keputusan untuk berhijab sekitar April lalu, kerjaya seni aktres, Fathia Latiff tidak pernah tersekat. Pada masa sama, setiap gerak-gerinya semakin diperhatikan khalayak.

Pantang ada yang tidak kena, pasti meledak kecaman diterima, khususnya menerusi media sosial.

Mengakui graf kariernya masih sama walaupun sudah menukar penampilan, Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 29, juga tidak menafikan menerima banyak cabaran untuk istiqamah dengan jalan kehidupan yang dipilih.

Bertemu dengan pelakon drama rantaian Dia Isteri Luar Biasa itu pada sesi latihan teater Mak Cun D’walei di Istana Budaya, Fathia berkongsi transisi kehidupan dan persiapan menjelang pementasan teater tersebut yang memulakan pementasan dari 4 hingga 13 November itu.

Kosmo!: Bagaimana dengan kehidupan Fathia sekarang? Dengar cerita, anda sudah berbaik semula dengan bekas teman lelaki iaitu Aiman Hakim Ridza? Benarkah?.

Fathia: Kehidupan saya semakin bagus. Mengenai hal berbaik semula dengan Aiman, saya berbuat demikian atas alasan tidak ada sebab untuk kami membenci antara satu sama lain.

Kami hanya sekadar kawan dan tidaklah sampai ingin memanjangkan hubungan ke tahap seperti yang sebelum ini. Bagi saya, lebih baik kita menjaga hubungan sesama manusia kerana itu adalah tuntutan agama.

Maaf bertanya, adakah anda selesa dengan status single anda sekarang?

Ya, saya memang selesa. Hampir setahun saya solo tanpa kekasih dan menyibukkan diri dengan perbagai perkara. Justeru, tiada sebab untuk saya berasa sunyi kerana hidup dipenuhi dengan kesibukan kerja.

Tidak terfikir untuk mencari teman lelaki baharu?

Buat masa sekarang, memang tiada orang yang ingin mendekati saya. Lagi pun, saya benar-benar sibuk dengan kerjaya lakonan dan menguruskan jenama pakaian Dara By Fathia Latiff milik saya yang semakin berkembang.

Selepas bertudung, banyak juga kontroversi singgah ke muka anda seperti isu baju askar yang menjadi viral baru-baru ini. Bagaimana reaksi anda terhadap perkara sedemikian itu?

Saya bukannya sengaja mencetuskan kontroversi. Berhubung isu baju askar tersebut, ia sudah diselesaikan dengan cara terbaik iaitu saya meminta maaf dan pihak yang terlibat juga sudah memaafkan tindakan itu. Banyak perkara perlu diperbaiki dalam hidup saya. Semakin lama saya berada dalam industri, semakin saya mengerti tentang selok-belok bergelar anak seni. Kalau timbul perkara yang tidak disenangi ramai dan diri sendiri adalah puncanya, minta maaf sahajalah. Saya yakin setiap cela yang terjadi boleh menjadi sesuatu yang positif jika sanggup memohon maaf.

Baiklah, boleh ceritakan peranan dan persiapan mengenai teater Mak Cun D’walei?

Saya melakonkan watak dengan nama sebenar iaitu Fathia. Dalam teater ini, saya diberi kepercayaan melakonkan watak seorang wanita gedik yang berniaga di sebuah bazar. Saya sebenarnya musuh kepada geng Mak Cun.

Menariknya, teater ini menyaksikan buat pertama kali saya menyanyi secara langsung di pentas teater Sewaktu mula-mula masuk industri dahulu, saya memang ingin menjadi penyanyi tetapi rezeki berlakon datang terlebih dahulu.

Jadi saya berharap pementasan ini dapat menonjolkan bakat saya sebagai penyanyi (ketawa).

Selain teater, apa perkembangan terbaharu anda?

Selesainya Mak Cun D’walei nanti, saya akan menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Menanti Februari yang menampilkan gandingan bersama Zul Ariffin. Saya juga sibuk mengembangkan jenama Dara By Fathia Latiff yang akan melancarkan produk terbaharu tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post