Elfira Loy, Sherry Alhadad, Ardell Aryana jelajah Malaysia


Sherry (dari kiri), Elfira dan Ardell bertuah apabila dapat melihat sendiri bunga Rafflesia di Gua Musang, Kelantan.

BUAT julung-julung kali, tiga selebriti wanita Elfira Loy, Sherry Alhadad dan Ardell Aryana bergabung dalam sebuah program kembara berjudul Extreme Roadtrip. Menariknya, dalam program terbitan Astro Bella berkenaan, mereka harus menyelesaikan misi pelbagai aktiviti ekstrem di seluruh negara.

Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim menjelaskan, gabungan tiga selebriti itu amat bertepatan bagi menyuntik elemen segar dalam program berkenaan.

Perbezaan personaliti ketiga-tiga wanita itu juga telah menyerikan lagi penggambaran program yang mengambil masa lebih satu bulan.

“Percutian merupakan topik yang begitu dekat di hati kita. Bezanya program ini, kebanyakan destinasi yang dikunjungi merupakan tempat melakukan aktiviti sukan ekstrem. Kami juga tampilkan destinasi yang kurang popular, tetapi penuh daya tarikan dan potensi pelancongan,” ujar Natasha.

Sementara itu, Sherry yang ditemui pada sidang akhbar program tersebut memberitahu, dia menimba banyak pengalaman baharu kerana sebelum ini tidak pernah melakukan aktiviti lasak.

Program tersebut juga meningkatkan keyakinan dirinya apabila berjaya melakukan pelbagai misi yang diberikan dalam setiap episod.

“Saya tidak sangka mampu melakukan aktiviti seperti orang berbadan kecil molek. Sebagai contoh, mendaki Bukit Teresek di Taman Negara, Pahang merupakan aktiviti paling mencabar buat diri saya.

“Walaupun rasa ingin mengalah, tetapi melihat kesungguhan Elfira dan Ardell yang tidak berhenti memberikan sokongan, akhirnya saya mampu mendaki sehingga ke puncak. Jika bukan kerana program ini, saya tidak mampu melakukan aktiviti sedemikian,” tutur Sherry.

Elfira pula yang banyak terlibat dalam program travelog sebelum ini menyifatkan Extreme Roadtrip sebuah program istimewa.

Selain melawat destinasi menarik seluruh negara, Elfira juga menimba banyak ilmu sepanjang penggambaran.

“Salah satu pengajaran yang saya terima merupakan jangan berkata tidak dalam sesuatu cabaran sehingga melakukannya sendiri.

“Sebenarnya saya seorang yang takutkan ikan, tetapi dalam program ini terpaksa berenang di laut kerana ingin menyelesaikan misi dan dapat melakukannya walaupun dalam ketakutan,” ujar Elfira.

Tambah Ardell pula, meskipun ini kali pertama berpeluang bekerjasama dengan Elfira dan Sherry, namun keserasian yang tercipta amat luar biasa.

“Walaupun baru mengenali mereka, tetapi disebabkan Sherry selalu menceriakan suasana dengan lawak jenaka dan Elfira pula sentiasa memberi bantuan pada bila-bila masa, membuatkan penggambaran berjalan lancar.

“Terdapat juga insiden seperti kaki terseliuh dan lebam-lebam seluruh badan kerana aktiviti lasak, tetapi semuanya menjadi pengalaman menarik. Tidak mungkin saya melupakan ketakutan, kepenatan dan segala rasa yang kami lalui selama sebulan setengah penggambaran program Extreme Roadtrip,” luah Ardell.

Post a Comment

Previous Post Next Post