Transformasi hidup Azharina Azhar


JANDA - Bergelar janda sejak lapan tahun lalu, Nina bahagia dikelilingi kesibukan kerja dan anak berbanding menagih cinta daripada lelaki.

SELEPAS tiga tahun menyepi daripada direktori hiburan tempatan, penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi, Azharina Azhar kembali meraih perhatian khalayak apabila muncul dengan program popular Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Bertemu dengannya usai persembahan minggu ketiga GV3 baru-baru ini, penyanyi yang pernah menghangatkan dunia hiburan dengan kontroversi perkahwinan sembunyi dan perceraian dengan seorang peguam bergelar Datuk sekitar awal 2008 kelihatan cukup bahagia dengan kehidupannya.

Masih memegang status janda sejak bercerai lapan tahun lalu, Azharina mengaku, taman hatinya kembali dihiasi bunga-bunga cinta. Bukan cinta kepada lelaki, sebaliknya, kehadiran anak angkat bernama Rahmat Azharin Aziz, 2, yang dijaganya sejak dari hari pertama lahir ke dunia merupakan alasan kuatnya untuk terus bersemangat.

“Sudah dua tahun saya mengambil seorang anak angkat yang merupakan anak sepupu saya sendiri. Dialah kebahagiaan saya. Kepenatan bekerja hilang sebaik menatap wajahnya apabila saya pulang ke rumah.

“Saya membuat keputusan untuk menjaganya kerana pada usia 31 tahun, saya bukan muda lagi. Memiliki anak sebenarnya lebih membahagiakan daripada mempunyai teman lelaki,” ujar Azharina yang membahasakan dirinya sebagai mummy dengan anak angkatnya itu.

Sambil tersenyum, sosok yang mesra disapa Nina itu mendedahkan, kehidupannya berubah 360 darjah sejak kehadiran seorang anak kecil di dalam rumahnya.

Demi anak tersayang, penyanyi bersuara unik itu sanggup mengambil pil hormon untuk menghasilkan susu badan sendiri.

Hasilnya, berat badan Nina naik mendadak. Bukan itu sahaja, dia juga tidak terkecuali menghadapi dilema seperti yang dilalui wanita baru bergelar ibu.

“Mengimbas kembali detik awal sebagai ibu, ia sangat sukar dan mencabar. Kehidupan saya berubah secara total.

“Tanggungjawab memberi susu badan rupa-rupanya tidak semudah yang disangka. Ia penuh dengan pengorbanan.

“Sekarang saya sudah melepasi waktu sukar tersebut (ketawa). Cuma disebabkan tuntutan kerja, masa untuk bersamanya agak terbatas.

“Namun, memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa, saya tiada pilihan selain bekerja keras. Semuanya demi menyediakan kehidupan stabil buatnya dan orang sekeliling yang bergantung hidup dengan saya,” katanya.

Bercerita lanjut tentang perancangan masa depan anaknya itu, Nina mahu mengikuti contoh yang ditinggalkan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dalam membesarkan anak.

Walaupun bekerja dalam bidang seni, Nina mahu anaknya itu menjadi seorang tahfiz.

“Saya mahu menunaikan janji yang dibuat bersama bapa kandung Rahmat iaitu menjadikan dia seorang tahfiz.

“Sebagai ibu, saya mencari rezeki supaya dapat memberi ilmu di dunia dan akhirat kepadanya,” tutur Nina yang enggan membuka laluan dunia hiburan buat anaknya.

Lelaki

Menyambung bicara tentang hati dan perasaan, sejak perkahwinannya dengan Datuk tersebut runtuh, dia serik untuk kembali berumah tangga.

Bukan tiada lelaki yang cuba untuk mendekatinya, tetapi tuntutan kerja membataskan masa untuknya mencari pasangan hidup seperti orang lain.

“Selepas bercerai, saya tidak pernah menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki. Ibu memang memaksa saya segera berkahwin kerana usia semakin lanjut, tetapi saya serik.

“Kesibukan kerja sebagai penyanyi dan menguruskan perniagaan menyebabkan saya tiada masa untuk bertemu janji atau bercinta seperti orang lain. Andainya sudah ditentukan jodoh dan direstui keluarga, saya akan terus berkahwin. Saya tidak mahu bercinta seperti orang muda,” luah Nina.

Hidup tanpa insan bernama lelaki di sisi, Nina tetap bahagia dan fokusnya kini hanyalah untuk membesarkan anak angkatnya sebaik mungkin.

Kemunculan semula

Beralih bicara tentang perjalanan seninya yang semakin berkilau sejak menyertai GV3, Nina tidak berhenti meluahkan rasa syukur. Tiga tahun menyepi, dia tidak menyangka masih mempunyai peminat.

Baru tiga minggu bertanding, Nina pantas meraih sokongan dan kepercayaan peminat disebabkan momentum persembahan yang tidak pernah mengecewakan.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk kembali popular selepas lama menyepi. Saya sedar bahawa diri tidak seperti penyanyi lain. Vokal saya kasar seperti lelaki dan pasaran Malaysia mempunyai pilihan tersendiri.

“Apapun, saya bersyukur dengan peluang yang diberikan. Program GV3 menyediakan platform besar untuk penyanyi lama kembali menonjolkan kredibiliti,” jelasnya.

Biarpun menerima pujian dalam setiap persembahan menerusi GV3, Nina sebenarnya dihimpit tekanan untuk menampilkan persembahan terbaik saban minggu.

Ujarnya, bukan mudah untuk memenuhi harapan tinggi peminat. Justeru, setiap minggu Nina dan pasukannya akan membuat kajian secara menyeluruh, bukan sahaja daripada segi lagu, tetapi penampilannya juga diambil kira.

Oleh itu, jangan terkejut jika busana rekaan Razman Razmi yang digayakan ketika mendendangkan lagu reggae, No Women No Cry dendangan asal penyanyi legenda Bob Marley di pentas minggu ketiga GV3 baru-baru ini bernilai RM30,000 dan ia dibuat khas di Bangkok, Thailand.

Bukan itu sahaja, tajaan barang kemasnya pula bernilai RM100,000. Pada minggu lalu Nina sepatut memakai rantai leher yang bernilai RM300,000, tetapi disebabkan terlalu besar dan berat, ia tidak dibenarkan oleh pihak produksi.

“Setiap minggu, saya dan pasukan Azharina Entertainment serta pereka fesyen akan berbincang untuk menentukan konsep penampilan terbaik.

“Saya tidak boleh mengharapkan bantuan produksi semata-mata sebaliknya perlu ada inisiatif sendiri. Untuk menghasilkan persembahan terbaik, semua aspek harus bersatu dengan baik, bukan sekadar kekuatan vokal,” tuturnya.

Disoal perancangan selepas tamat GV3, Nina akan melancarkan single terbaharu berjudul Sekian Terima Kasih yang turut menjadi runut bunyi sebuah drama bersiri.

Pada masa sama, dia juga bakal melebarkan sayap seni di Indonesia menerusi lagu duet berjudul Seribu Cinta bersama penyanyi seberang bernama Rizal Badila.

Post a Comment

Previous Post Next Post