Pukauan listrik vokal Adibah Noor


Misha Omar yang baru selesai berpantang turut memeriahkan persembahan dengan menyanyikan lagu duet baharu berjudul Jiwa Sentuh Jiwa yang dimuatkan dalam album ketiga Adibah Noor.

Menyaksikan konsert mini Adibah Noor, Into The 3rd Decade yang mengambil pentas di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) baru-baru ini umpama dibawa menyelami sedalam-dalamnya perjalanan suka duka penyanyi berbakat besar itu dalam nuansa muzik yang cukup bersahaja namun penuh bertenaga.

Menyorot sejarah seni Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohamed Omar, 47, dia tidak terkecuali berdepan banyak cabaran sehinggalah dijulang sebagai juara Suara 90-an Nescafe pada 1994. Bertitik tolak daripada situ, bakat Adibah mula diperakui ramai, namun disifatkannya bergerak pada fasa yang perlahan.

Kisah tersebut menjadi antara bebelan spontan pelakon filem Sepet itu sebelum memulakan persembahan. Antara lagu pertama yang didendangkan termasuk Flashdance... What A Feeling.

Dalam gaya bersahaja sambil melontarkan setiap patah lagu dengan sempurna, Adibah menceriakan atmosfera dewan tersebut dengan perkongsian mencuit hati.

“Saya berhenti daripada menjadi guru bukan sebab mahu jadi penyanyi. Menyanyi adalah minat saya. Sebenarnya, ramai yang tidak tahu bahawa selepas berhenti mengajar, saya tidak terus fokus menjadi penyanyi.

“Saya bekerja dalam bidang penulisan sebagai copy-writer dan penterjemah,” ceritanya yang pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Taman Datuk Harun bermula Mei 1993 hingga Jun 1995.

Meneruskan persembahan, Adibah sempat mendendangkan dua buah lagu termasuk Anggapanmu yang pernah melayakkan namanya dijulang sebagai juara Suara 90-an Nescafe.

Tidak cukup dengan itu, Adibah turut menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh Whitney Houston, I Will Always Love You.

Suasana dewan menjadi riuh tatkala Adibah membuka mulut menyanyikan sebuah lagu rancak dendangan asal Micheal Jackson, Love Never Felt So Good menerusi segmen ‘lagu cari makan’.

Mengisi ruang dengan pelbagai cerita, penonton bukan sahaja terhibur bahkan tergeletek hati mengikuti setiap butiran yang disampaikan Adibah sebelum halwa telinga dilunakkan dengan dendangan asal Sam Smith berjudul I’m Not The Only One.


Bukan hanya persembahan nyanyian semata-mata, Adibah turut berkongsi perjalanan seninya bersama penonton melalui penceritaan yang bersahaja.

Tidak ketinggalan, Adibah menghiburkan penonton dengan rantaian lagu popular daripada dua albumnya Ikan Di Laut (album pertama) dan Siapa Dia, Bulan Dan Mentariku, Hujan (album kedua).

Ketika mendendangkan lagu daripada album pertama, dia bercerita: “Sebenarnya, saya tidak mahu menjadi pelakon tetapi allahyarham Yasmin Ahmad merupakan orang yang bertanggungjawab mencungkil bakat saya bermula daripada iklan-iklan televisyen. Saya sangat terhutang budi kepadanya.”

Untuk segmen yang terakhir, secara eksklusif Adibah mendendangkan beberapa buah lagu yang dipetik daripada album ketiganya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Album ketiga

Suasana bertukar menjadi gamat apabila Adibah memanggil rakan duetnya yang pertama iaitu Misha Omar bagi mendendangkan lagu baharu mereka berjudul Jiwa Sentuh Jiwa. Persembahan tersebut menjadi penampilan pertama Misha di atas pentas selepas melahirkan zuriat sulung, Muhammad Idris Ezzwa, bulan lalu.

Ujar Adibah, album baharunya adalah sebuah karya yang dibikin atas dasar persahabatan. Kesemua lagu yang dihasilkan adalah lagu duet dengan penyanyi-penyanyi hebat di Malaysia.

“Saya tidak kisah kalau album sekarang sudah tidak boleh jual seperti dahulu. Saya sentiasa percaya bahawa ada golongan peminat yang sangat menghargai hasil kerja seseorang artis melalui penghasilan album,” getusnya.

Adibah turut mempersembahkan untaian lagu baharu seperti Bahasa Rindu (duet bersama Nizam), Sebutlah Namaku (Amir Jahari), Sandaranku (Atilia), Ke Sana Denganmu (Sam Innuendo) dan Malaysiaku Cinta (Dina Nadzir).

Tidak mahu menghampakan peminat, pada saat rakan duetnya Anuar Zain tidak dapat menghadirkan diri untuk bersama-sama mendendangkan lagu berjudul Andai Ada Ruang, Adibah tetap bermurah hati memperdengarkan lagu baharu tersebut buat pertama kali di depan khalayak menerusi minus one, manakala Adibah mengalunkan bahagiannya dalam lagu itu secara langsung.

Sebelum menamatkan malam penuh nostalgia tersebut, persembahan penyanyi bernama Adibah Nor tidak lengkap sekiranya lagu popular yang dianggap antem baginya tidak dinyanyikan.

Sesudah Joget Hati Senang, Adibah melunaskan dambaan peminat yang masih setia di tempat duduk masing-masing dengan Terlalu Istimewa. Sesungguhnya karya yang dipilih sebagai penutup tirai persembahan tersebut membawa signifikan paling manis dalam kerjayanya sebagai penyanyi.

Post a Comment

Previous Post Next Post