Nabil Ahmad Lawak budak tadika


Sebenarnya, Mizz Lahar tidak pernah ada masalah dengan pelawak Nabil Ahmad. Mizz Lahar suka cara Nabil kerana daripada segi kerja, kata kawan-kawan Mizz Lahar, dia sangat mudah memberi kerjasama dan tak pernah timbulkan masalah.

Tetapi apabila ia membabitkan cara Nabil melontarkan lawak-lawak spontannya, kadangkala ada perkara yang perlu Nabil tapis. Mizz Lahar rasa, Nabil bukannya budak sekolah tadika lagi yang perlu ditegur banyak kali untuk memperbetulkan cara kerjanya. Sebagai pelawak yang sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan, Nabil sudah cukup arif tentang isu yang boleh dicuit atau apa perkara yang patutnya disimpan sahaja.

Macam penampilan Nabil sebagai hos pada minggu kedua konsert Gegar Vaganza hujung minggu lalu. Mizz Lahar lihat banyak betul percakapan atau lawak Nabil yang terlajak daripada batasan. Terutama sewaktu mengusik perihal Elly Mazlein yang sedang bergelut dengan masalah perceraian dan mencari ruang untuk menstabilkan emosi.

Beginilah Nabil, kadang-kadang ada hal lucu bagi anda, tetapi tidak kepada orang lain. Apa yang dirasakan biasa bagi sesetengah orang, mungkin luar biasa bagi pihak lain. Adakalanya, lawak yang difikirkan tidak melampau, tetapi ia sebenarnya cukup sensitif.

Mizz Lahar tak pasti adakah Nabil sengaja merangka cara promosi agar khalayak akan mengingati Nabil, sekali gus program tersebut. Sebab, walaupun dikecam, orang tetap akan kena tengok Nabil sampai ke final, dan orang tetap mahu tahu apa pula lawak tak bertapis Nabil untuk dikecam pada minggu akan datang.

Kalau apa yang dilakukan Nabil ini adalah strategi bisnes untuk terus laris dan menaikkan rating program, ia sangat berjaya. Jika sebaliknya, Nabil kena buat orang lebih hormat Nabil dengan lawak atau percakapan spontan yang ada kelas tersendiri.

MIZZ LAHAR: Awal-awal lagi nak ucap tahniah buat penyanyi Soo Wincci kerana bakal menggenggam ijazah kehormat doktor falsafah (PhD) dari Open University pada majlis konvokesyen di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, Isnin nanti. Bakal bergelar Dr. Soo Wincci, dia juga melakar nama dalam Malaysia Books Of Records sebagai Ratu Cantik Dunia Malaysia Pertama memperoleh PhD.

Post a Comment

Previous Post Next Post