Kesederhanaan, rezeki Shukri Yahaya


Ketika drama rantaian Dia Isteri Luar Biasa mencipta fenomena sekitar setahun lalu, Shukri Yahaya menerima tempias populariti di luar jangkaan.

Namanya disebut-sebut, sekali gus menjadi hero dambaan ramai. Tidak lama kemudian, lelaki berusia 28 tahun itu mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan, Siti Nurfatihah Ahmad Adnan atau Tya Adnan, 25. Mereka bernikah pada November tahun lalu selepas dua tahun mengikat tali pertunangan.

Tidak sampai setahun melayari bahtera perkahwinan, 24 Ogos lalu, status Shukri bertukar sekali lagi apabila dikurniakan cahaya mata sulung yang diberi nama Aaira Ameena.

Mengakui semua transisi tersebut berlaku secara pantas, anak jati Kuala Lumpur itu mensyukuri setiap satu daripadanya sebagai nikmat yang mungkin tidak berlaku kepada semua orang.

“Banyak sungguh perubahan yang berlaku dalam hidup saya dalam tempoh hampir setahun ini. Bermula dengan Dia Isteri Luar Biasa, berkahwin dan mendapat anak, semuanya seperti dalam mimpi.

“Saya bersyukur kerana tidak semua orang bertuah untuk mendapat rezeki yang Tuhan permudahkan seperti ini.

“Lima tahun saya berkecimpung dalam dunia lakonan, sekarang saya sedang menuai hasil usaha yang dilakukan selama ini,” katanya usai sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Anak

Saat diminta berkongsi pengalaman pertama menimang zuriat, raut wajah Shukri seakan-akan bercahaya apabila bercerita tentang puteri sulungnya itu.

Kehadiran Aaira membuatkan Shukri semakin tidak sabar untuk pulang ke rumah setiap kali habis penggambaran. Jikalau boleh, mahu sahaja ditolaknya tawaran yang membuatkan dia berenggang lama daripada anak dan isteri.


Masih belum bersedia untuk melibatkan anak dalam dunia seni, Shukri bagaimanapun memberi kebebasan kepada isteri mewujudkan akaun Instagram khas untuk anaknya iaitu @aairaameena untuk bagi berkongsi perkembangan dengan peminat.

Dia juga semakin jarang melepak bersama teman-teman dan lebih berpuas hati jika masa-masa senggang yang ada digunakan sepenuhnya bersama keluarga.

Selain itu, Shukri turut mengambil pendekatan menetapkan beberapa tarikh tidak boleh diganggu, sebelum menerima tawaran lakonan bagi menghadiri pemeriksaan bulanan anak bersama Tya.

Penerima trofi Pelakon Lelaki TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2016 itu menyifatkan pendekatan tersebut antara perkara yang akan menggembirakan hati isteri meskipun sentiasa sibuk dengan aktiviti seni.

“Saya tidak suka melihat wajah Tya yang mencuka jika tidak boleh bersamanya untuk sesi pemeriksaan bulanan bersama anak kami. Jadi sebelum bersetuju dengan apa-apa tawaran, saya akan beritahu pihak penerbitan tentang sesetengah tarikh yang menuntut komitmen saya bersama keluarga.

“Berlakon adalah pekerjaan tetapi saya tidak mahu sampai ke satu tahap mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Lagipun, isteri sudah berkorban menjaga anak di rumah, apa salahnya jika saya juga melakukan perkara sama,” jelasnya.

Populariti

Kehidupan peribadinya mungkin mengalami perubahan drastik tetapi daripada segi karier seni, kehangatan namanya sebagai hero idaman menjadi suram selepas berakhirnya Dia Isteri Luar Biasa.

Hanya tertawa mendengar penyataan tersebut, Shukri berkata, dia masih berlakon seperti biasa cuma drama lakonannya tidak disiarkan pada waktu puncak seperti yang drama terdahulu.

Bagi pelakon yang dikatakan mempunyai iras aktor kacak Filipina Jericho Rosales itu, sejak dahulu dia meletakkan prinsip tidak meletakkan populariti sebagai matlamat utama.


Demi survival lakonan, Shukri tidak cerewet memikirkan tajuk-tajuk drama adaptasi daripada novel yang dianggap klise ketika ini, sebaliknya lebih mementingkan cara pembawaan karakter agar tidak dilihat stereotaip oleh penonton.

Ditanya, adakah keputusan berkahwin ketika sedang berada di puncak menjadi antara punca namanya semakin kurang diperhatikan, Shukri pantas menafikan. Menurutnya, rezeki lakonannya semakin melimpah-ruah selepas bergelar suami dan bapa.

“Berbanding ketika zaman bujang, rezeki saya lebih murah sejak berkahwin. Terdapat juga tawaran untuk anak saya walaupun dia baru berusia dua bulan.

“Tetapi setakat ini, saya dan isteri tidak bercadang melibatkan anak dalam industri kerana dia masih terlalu kecil untuk didedahkan dengan hal-hal berkaitan penggambaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shukri juga bakal muncul dengan filem pertama yang menampilkan dirinya memegang watak utama iaitu Surf This Love. Filem yang menggandingkan Shukri dengan Cristina Suzanne tersebut dijangka menemui peminat pada awal tahun hadapan.

Shukri yang juga peminat motosikal berkuasa tinggi itu menjelaskan, persetujuan membintangi filem berkenaan diputuskan kerana tertarik dengan kekuatan skrip yang dihasilkan.

Jalan cerita yang tidak tertumpu sepenuhnya kepada kisah cinta tetapi lebih ke arah persahabatan dan ikatan kekeluargaan juga menambahkan lagi minatnya untuk menyahut cabaran membawakan watak hero bernama Billy.

“Menerusi filem itu juga saya berpeluang mempelajari cara bermain papan luncur air di Bali dan ia satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Mungkin kerana saya sudah biasa bermain papan selaju sebelum ini, maka cabaran untuk mengimbangi badan di atas air tidak terlalu susah,” ujarnya yang berharap kemunculan pertamanya sebagai hero filem menerima reaksi positif penonton.

Post a Comment

Previous Post Next Post