Prinsip hidup Sazzy Falak


PERKASA WANITA - Sebagai seorang wanita, Sazzy yakin bahawa golongan wanita harus mempunyai daya saing yang tinggi untuk maju dalam apa jua bidang diceburi.

Menginjak usia 35 tahun dengan status sebagai seorang wanita berkerjaya, isteri dan ibu, Sazzy Falak barangkali salah seorang daripada wanita paling sibuk di Malaysia disebabkan tuntutan pelbagai komitmen. Atas alasan tersebut, langkahnya sebagai aktres terpaksa dibenamkan demi memelihara kecermatan kehidupan seharian agar tidak berkecamuk tetapi berjalan dalam fasa yang terkawal.

Tetap bergaya persis wanita 20-an walaupun harus melangsaikan tanggungjawab sebagai isteri kepada Nazril Idrus; ibu kepada dua zuriat kembar yang semakin membesar, Tiara Rose dan Iman Lily, 5, dia masih mementingkan ketrampilan sebagai wanita moden, namun tidak pernah tercicir tugas hakiki.

“Memang saya sentiasa sibuk. Kadang-kadang kesibukan dalam bekerja membuatkan suami menegur saya. Walaupun tidak lagi aktif dalam bidang lakonan dan pengacaraan, banyak perkara lain yang sedang saya usahakan di luar pengetahuan media.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami. Kami sekeluarga menjalani kehidupan sistematik. Sudah menjadi kelaziman, saya bangun tidur seawal pukul 5 pagi setiap hari,” ujar Sazzy atau nama sebenarnya, Sazlini Shamsul Falak.

Ligat menguruskan perniagaan jenama pakaian miliknya, Shop Sazzy Falak, pelakon filem Gol & Gincu itu juga tidak lagi mengacarakan program How Do I Look? Asia untuk musim kedua yang kini dikendalikan oleh Jeannie Mai.

“Pengalaman mengendalikan musim pertama memang menyeronokkan. Walaupun tidak lagi terlibat dalam musim kedua sebagai pengacara, saya tetap bersemangat untuk terus memberi kesedaran kepada kaum wanita agar celik mata mengenai fesyen,” katanya.

Moden

Hidup dalam era serba moden, Sazzy tidak bersetuju dengan suara-suara sumbang mengatakan bahawa dia menjalani hidup dengan membelakangi budaya atau adat resam. Katanya, kedua ibu bapanya sentiasa memberi dorongan kepada dirinya untuk berlaku jujur terhadap diri sendiri.

“Banyak perkara yang disifatkan sebagai tabu (pantangan). Sebagai contoh, wanita di Malaysia berasa malu untuk berbicara tentang kebersihan bahagian intim.

“Walhal, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku. Sebagai seorang wanita dan ibu kepada dua orang anak perempuan, saya amat jelas mengenai isu-isu keyakinan diri yang dihadapi golongan gadis.

“Selaku seorang penyokong kepada hak golongan wanita, saya berbesar hati untuk berkongsi dan memberi panduan kepada golongan wanita tentang cara menerokai isu-isu peribadi,” getusnya yang dilantik sebagai duta Kempen #Malu?Tak Malu! oleh produk pembersih khusus wanita, Orchid.

Untuk tujuan tersebut, Sazzy telah melibatkan diri dengan siri jelajah ke beberapa universiti dan kolej seluruh negara seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bergelar ibu kepada dua anak perempuan juga, tiada lain yang sentiasa diharapkannya selain mahu anak-anak membesar dengan baik. Bagaimanapun tegas Sazzy, dia tidak akan pernah menghalang dua anak perempuannya untuk bergelumang dalam apa bidang sekalipun, asalkan ia menjurus ke arah positif.

“Saya akui bahawa zaman sudah berubah dan banyak perkara tidak lagi relevan untuk disesuaikan dalam kehidupan hari ini. Sebagai contoh, orang-orang dahulu membesarkan anak mereka dengan banyak larangan. Perkara sebegitu tidak saya amalkan.

“Saya mahu anak-anak saya membesar dengan mengikut kehendak mereka sendiri. Sebagai ibu, saya sentiasa berpesan agar mereka tahu bahawa saya adalah ibu mereka. Kadang-kadang saya juga terlepas pandang atau melakukan kesilapan,” kongsinya.

Justeru, tiada alasan untuknya tidak memberi kebebasan kepada anak-anaknya dalam menentukan masa depan sendiri kerana dia percaya, setiap anak mempunyai minat dan bakat tersendiri.

“Saya selalu berpesan kepada Tiara dan Iman untuk menjadi diri sendiri. Usah terikut dengan kehendak dan minat rakan-rakan lain. Tiada yang lebih penting dalam hidup melainkan menjadi diri sendiri,” tambahnya lagi.

Selektif

Diajak berbicara mengenai penglibatannya dalam bidang lakonan yang semakin tenggelam sejak akhir-akhir ini, Sazzy tersenyum dan mengangguk tanda setuju.

“Benar, kali terakhir saya berlakon adalah dalam biopik telefilem Saloma dua tahun lalu. Bukan saya merajuk atau sudah tidak punya hati untuk berlakon, buat masa sekarang saya memang sibuk dan tiada tawaran yang benar-benar membuatkan saya ingin terlibat sama.

“Saya mahukan watak yang lebih mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon. Bukan berniat untuk memperlekehkan naskhah-naskhah yang ada di layar perak mahupun di kaca televisyen sekarang tetapi secara jujurnya, saya tidak mahu terlibat dengan cerita cinta klise dengan judul melalut terutama di televisyen sekarang,” tegasnya.

Ujarnya lagi, banyak pihak menasihatinya untuk kembali berlakon tetapi dia selesa dengan perjalanan kerjayanya buat masa sekarang yang lebih bergerak secara sederhana tanpa tumpuan lensa kamera.

“Walaupun tidak muncul menerusi kaca televisyen, harus diakui saya memang tidak punya masa. Dengan komitmen bisnes dan tanggungjawab kepada keluarga, memang jadual saya sentiasa terisi. Untuk berlakon, saya mungkin perlu kosongkan jadual selama sebulan dan itu agak mustahil buat masa sekarang.

“Bagaimanapun, memang saya rindu untuk berlakon. Saya teringin untuk berlakon dalam filem-filem seperti KIL, Bunohan atau Pekak. Watak dalam filem-filem tersebut sentiasa menjadi idaman saya,” katanya.

Jika diselak kembali portfolio seni wanita kelahiran Kuala Lumpur itu, Sazzy memulakan langkah dalam bidang lakonan sejak di bangku sekolah.

Seawal usia 11 tahun, dia menerima pendidikan awal dalam cabang seni pentas di sebuah akademi teater anak-kanak yang terletak di The Mall, Kuala Lumpur (kini Sunway Putra Mall).

Dia juga pernah berguru dengan aktivis teater tersohor, Joe Hafsham di Actors Studio.

Beraksi buat kali pertama menerusi filem pendek arahan Osman Ali berjudul Piala Untuk Mama, Sazzy kemudiannya disunting beberapa rumah produksi untuk membintangi naskhah terbitan mereka. Antara filem yang pernah dijayakan termasuklah Gol & Gincu, Sepi dan Tolong Awek Aku Pontianak.

“Kalau ada tawaran yang sesuai dan waktu mengizinkan, saya akan kembali memeriahkan industri lakonan tanah air. Buat masa sekarang, belum lagi,” ujarnya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post