Semangat baharu Tony Eusoff


Selepas beberapa hari dibebaskan, Tony mula memuat naik gambar dan perkembangan terkininya menerusi Instagram miliknya.

TANGGAL 21 April lepas pasti menjadi tarikh hitam yang akan sentiasa terpahat dalam kotak ingatan pelakon dan penyanyi, Tony Eusoff.

Pada tarikh tersebut, lelaki berusia 38 tahun itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan ekoran daripada kesalahannya memiliki dadah.

Lebih menyedihkan, hukuman ke atas Tony atau nama sebenarnya, Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman berlangsung di negara dia ditahan iaitu di Singapura.

Dia dipenjarakan di Admiralty West Prison selepas didapati memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang dianalisis mengandungi kesan ganja sewaktu tiba di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.

Berbekalkan keazaman untuk bebas awal dari tempoh lapan bulan yang ditetapkan, akhirnya pada 1 Oktober lepas, pelakon kelahiran Sarawak itu berjaya memendekkan jangka waktu hukumannya kepada lima bulan sahaja.

Mengaku begitu menyesal dengan perbuatan sendiri, Tony kini nekad ingin menjadikan pengalaman kisah hitam dirinya itu sebagai pengajaran pada masa depan.

KOSMO!: Apa khabar Tony? Melihat kepada beberapa perkongsian gambar di akaun Instagram, adakah anda kini telah dibebaskan dari penjara?

Tony Eusoff: Khabar baik, ya benar saya sudah keluar dari penjara sejak 1 Oktober lepas. Sejujurnya, selepas dibebaskan, saya terkejut dan mengambil keputusan untuk berehat selama seminggu sebelum perlahan-lahan menunjukkan muka kepada rakan-rakan.

Berdasarkan tarikh hukuman anda dijatuhkan dan kemudian dilepaskan, tempoh tersebut belum cukup lapan bulan. Bagaimanakah anda boleh dibebaskan dalam tempoh lima bulan sahaja?

Sebenarnya, pada hari pertama saya dimasukkan, pihak penjara Singapura telah memberitahu saya bahawa hukuman boleh dipendekkan jika berkelakuan baik. Perkara itu secara langsung memberi harapan kepada saya supaya tidak membuat hal dan menjaga sikap. Saya bersyukur kerana boleh keluar lebih awal iaitu hanya lima bulan dari masa yang ditetapkan selama lapan bulan.

Jika anda tidak kisah, boleh kongsikan pengalaman sebaik sahaja dijatuhkan hukuman?

Ketika itu memang saya terkejut tetapi terpaksa menerimanya dengan reda dan harungi hukuman tersebut.

Saya sudah buat salah, jadi tidak mahu tambah lagi masalah yang boleh menyakitkan hati keluarga. Pengalaman dipenjarakan selama lima bulan benar-benar mendatangkan penyesalan besar dalam seumur hidup saya.

Perkara ini bukan sahaja mendatangkan kesalahan dalam diri, malah kepada keluarga juga.

Bagaimanakah anda menghabiskan masa selama lima bulan di dalam penjara itu?

Saya banyak menghabiskan masa dengan membaca novel yang dipinjam di perpustakaan penjara. Kebanyakan novel tersebut tebal dan saya cuma mengambil masa dua hingga tiga hari untuk membacanya.

Selain itu, saya juga menyibukkan diri dengan aktiviti kecergasan kerana setiap hari Isnin hingga Jumaat, semua banduan akan diberi masa selama satu jam untuk bersenam.

Saya juga menghadiri sesi kaunseling sekali dalam seminggu. Saya memang akan menggunakan semua masa yang ada dengan baik kerana tidak mahu kelihatan menyedihkan apabila dibebaskan. Hasilnya, berat badan saya juga meningkat dari 80 kilogram (kg) kepada 83 kg sekarang ini.

Sepanjang berada dalam penjara, ada keluarga atau rakan yang datang melawat anda?

Sebenarnya polisi melawat di sana sangat ketat. Pihak penjara hanya membenarkan ahli keluarga sahaja yang datang melawat dan tempoh lawatan hanya 20 minit. Memandangkan usia ibu saya sudah tua, jadi saya pesan kepadanya tunggu saya keluar sahaja nanti dan tidak perlu datang melawat.

Satu perkara yang membuatkan saya terharu adalah sering mendapat surat daripada rakan-rakan yang tidak jemu memberi sokongan kepada saya. Antaranya seperti Jehan Miskin dan Bront Palarae.

Boleh kongsikan pengajaran yang anda peroleh daripada kejadian ini?

Pada saya sebelum berbuat sesuatu perkara, kita harus berfikir dengan teliti terlebih dahulu. Jika bukan untuk diri sendiri, kita harus memikirkan orang tersayang iaitu perasaan keluarga.

Bagaimanakah dengan penerimaan rakan dan peminat setelah anda keluar ini?

Penerimaan mereka sangat bagus sehingga saya tidak tahu hendak berkata apa. Saya sangat terharu. Dalam setiap perkongsian gambar yang saya muat naik dalam laman Instagram, ramai peminat yang memberikan komen positif sehingga saya sendiri tidak sempat membalasnya.

Bagaimana pula dengan perancangan anda selepas ini?

Saya akan kembali aktif dalam dunia seni. Buat masa ini, saya sudah berbincang dengan beberapa syarikat produksi dan membincangkan tentang tawaran lakonan filem dan undangan nyanyian. Saya juga akan pulang ke Sarawak untuk berjumpa dengan saudara-mara setelah urusan di Kuala Lumpur selesai.

Post a Comment

Previous Post Next Post