Perhitungan akhir Hero Oven


Dari kiri; Zam Akmal, Cef Sarah, Cef Fikree dan Brynner. Berdiri di belakang ialah Naem dan yang duduk di hadapan, Dausi.

Bidang kulinari terutamanya bahagian membuat manisan atau kek cukup sinonim dengan wanita. Jarang benar bakat kaum Adam diketengahkan secara komersial sebagai pembuat kek.

Bagi membuang stigma tersebut, TV3 telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah rancangan masakan bagi mencungkil bakat jejaka membuat kek dan pastri iaitu Hero Oven yang sudah menemui penonton sejak 2 Ogos lalu.

Menerusi Hero Oven, peserta-peserta yang mempunyai latar belakang berbeza telah diberi peluang untuk membuktikan bakat membuat kek demi merebut gelaran Hero Oven pertama Malaysia.

Bermula dengan 32 orang peserta pada awal pertandingan, kini hanya tinggal empat orang sahaja peserta akhir.

Mereka ialah Muhammad Naim Ramli (Naem), 25, Zam Akmal Abd. Halim (Zam Akmal), 29, Brynner Eu Yik (Brynner), 24 dan Muhd. Al Firdhausy Mohd. Jaafar (Dausi), 28, yang akan berentap merebut gelaran juara.

Menurut Naem, niat awal menyertai Hero Oven pada mulanya sekadar ingin mencuba nasib memandangkan kepakaran sebenarnya adalah menerusi hidangan berat, bukannya pencuci mulut.

“Saya memang suka memasak sejak kecil tetapi lebih cenderung menyediakan hidangan berat memandangkan saya kini bekerja di sebuah hotel di ibu kota sebagai salah seorang cef junior.

“Namun sejak menyertai Hero Oven, banyak ilmu baharu yang saya pelajari, sekali gus membantu mencantikkan lagi profil masakan saya,” katanya yang merupakan salah seorang peserta pilihan dalam rancangan berkenaan.

Seorang lagi finalis, Zam Akmal yang mempunyai pengalaman membuat kek selama sembilan tahun mengaku, cabaran yang dilalui sepanjang pertandingan cukup sengit dan setiap pesaingnya tidak boleh dipandang rendah.

Walaupun memiliki kelebihan daripada segi pengalaman, Zam tidak mahu meletakkan dirinya dalam zon selesa dan masih akan melakukan persiapan teliti bagi menghadapi tugasan peringkat akhir nanti.

Sepanjang bersiaran, Hero Oven dihakimi oleh tiga orang juri iaitu Cef Fikree Aznan, Cef Sarah Samsul Ariffin dan pelakon popular, Kilafairy.

Penjurian

Turut bertindak sebagai hos rancangan, Cef Fikree berkata, sistem pemarkahan dibuat berdasarkan ketelitian peserta daripada segi persembahan dan kreativiti menggunakan bahan-bahan yang diperlukan tanpa kehilangan rasa asas sesebuah hidangan.

Tidak menafikan pengalaman dan profil sesetengah peserta ada yang melebihi pengetahuan para juri, namun penilaian tetap terletak pada keaslian rasa kek dan pastri yang dihasilkan.

“Permintaan kami terhadap peserta sangat spesifik. Bukan kami tidak mahu menerima kreativiti yang cuba ditonjolkan cuma apa yang penting, mereka berikan apa yang dimahukan.

“Proses membuat kek tidak sama dengan memasak lauk-pauk yang boleh mengamalkan konsep ‘campak-campak’, namun hidangan tetap menjadi. Bidang pastri memerlukan disiplin dan ada langkah-langkah yang harus dipatuhi. Itu yang juri mahukan,” jelas Fikree.

Pendapat Fikree turut disokong cef selebriti dari Singapura, Cef Sarah yang turut melahirkan kekaguman terhadap semua peserta Hero Oven kerana membuktikan bahawa kerjaya tukang masak pastri bukan hanya dimonopoli kaum wanita.

Episod kemuncak Hero Oven akan disiarkan pada 25 Oktober ini pukul 11.30 pagi di TV3.

Juara akan berpeluang untuk mempunyai rancangan masakan sendiri bawah kendalian TV3 dan bakal diberi gelaran sebagai Cef Selebriti.

Post a Comment

Previous Post Next Post