Jodoh Facebook Dottie


HASIL perkenalan menerusi laman Facebook, Dottie akan bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Haffis.

Selepas beberapa kali berdepan kegagalan dalam percintaan, pelakon komedi, Dottie atau nama sebenarnya Nor Syuhaida Abdul Razak akhirnya selangkah ke alam bahagia apabila bakal bernikah hujung tahun nanti.

Mengambil masa setahun untuk mengenali hati budi lelaki yang dikenali sebagai Haffis, Dottie berkata, meskipun tempoh percintaan mereka agak singkat tetapi keputusan tersebut merupakan sesuatu cukup diyakininya.

Mula mengenali bakal suami yang juga seorang ahli perniagaan menerusi laman sosial, keserasian serta keprihatinan lelaki tersebut melayan ahli keluarganya membuatkan pelakon filem Surf This Love itu terbuka pintu hati menerima lamaran lelaki berkenaan untuk menuju fasa pernikahan.

KOSMO!: Tahniah diucapkan atas khabar gembira tentang pernikahan anda, boleh kongsikan detik perkenalan Dottie dengan bakal suami?

DOTTIE: Semasa mula berkenalan tahun lepas, saya baru mengalami fasa putus cinta dan mahu cuba berkenalan dengan kawan baharu. Saya memulakan perbualan secara tidak sengaja di laman Facebook. Dia memberikan respons yang baik kemudian kami bertukar-tukar nombor telefon.

Tidak lama kemudian, kami mengambil keputusan untuk berjumpa. Alhamdulillah, keserasian wujud tanpa dipaksa-paksa.

Tidakkah anda merasakan tempoh setahun perkenalan terlalu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga?

Kalau Allah sudah bukakan pintu hati, mengapa hendak lambatkan benda baik seperti ini. Sebelum ini, saya sering menguji bekas kekasih untuk mengambil langkah ke arah pernikahan tetapi mereka banyak mengelak. Berbeza dengan Haffis, apabila saya bercakap soal kahwin, dia terus mengambil serius dan menghantar rombongan meminang. Saya lihat usahanya sebagai suatu petunjuk bahawa mungkin inilah jodoh yang saya tunggu selama ini.

Jadi, bilakah Haffis menghantar rombongan peminangan?

Dia menghantar rombongan merisik sekitar April lalu dan majlis hanya berlangsung secara kecil-kecilan. Tiada majlis besar cuma melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja, Mereka datang membawa cincin tanda sebagai simbol merisik dan bertunang sekali gus.

Sudahkah anda berdua menetapkan tarikh hari bahagia tersebut?

Insya-Allah, kami akan bernikah pada 25 Disember nanti di Masjid Besi, Putrajaya manakala majlis resepsi pula pada 7 Januari tahun hadapan.

Sekarang persiapan sudah hampir 60 peratus selesai, cuma lokasi persandingan masih belum dipastikan.

Adakah anda sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bergelar seorang isteri?

Jika diikutkan hati, saya memang sudah lama bersedia untuk berkahwin. Jadi daripada segi mental, mungkin tiada apa yang perlu dirisaukan. Cuma daripada segi tanggungjawab, saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi isteri terbaik untuk suami, itu sahaja yang saya boleh janjikan.

Berapa lamakah anda akan bercuti untuk membuat persiapan perkahwinan?

Sebenarnya, saya dijadualkan menjalani penggambaran sebuah drama bersiri bermula November hingga Disember, jadi tiada cuti panjang akan diambil. Saya sudah berbincang dengan pihak penerbit untuk mencuri masa, mungkin sekitar seminggu untuk berkahwin sebelum kembali bekerja.

Jadi, anda akan tetap berlakon seperti biasa selepas berkahwin?

Ya. Lakonan adalah periuk nasi saya dan bakal suami juga tiada masalah dengannya. Selagi saya tahu menjaga diri dan batasan sebagai seorang isteri, rasanya semuanya akan baik-baik sahaja.

Bakal suami sudah bersedia dengan dunia anda sebagai anak seni?

Saya sudah mula memperkenalkan Haffis dengan dunia anak seni sejak awal kami bercinta seperti membawanya ke lokasi penggambaran. Setakat ini dia memahami malah banyak memberi sokongan moral buat saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post