Lan Kristal terasa hati dengan peminat


Lan terkilan kerana dituduh rezekinya sebagai pelaku seni adalah tidak halal oleh seorang pembeli atas talian busana Muslimah yang diusahakannya bersama beberapa rakan.

MENGENALI vokalis Kristal, Razlan atau Lan, dia bukanlah seorang penyanyi atau individu yang lantang bersuara. Namun, barangkali kerana begitu terkesan dengan tohmahan dirinya memperoleh pendapatan tidak halal hanya kerana bergelar anak seni, kekesalan tersebut diluahkan menerusi Facebook milik isterinya, Sheila Razlan.

Akui Lan, dirinya terkesan dengan persoalan ‘halal’ itu kerana hampir separuh abad dia menggunakan hasil nyanyian untuk membesarkan tiga orang cahaya mata bersama isteri, Nur Sheila Hassim.

Tiada niat untuk mengaibkan individu tersebut, namun Lan memberitahu, insiden tersebut berlaku apabila seorang wanita menghartar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada salah seorang kakitangan butik pakaian Muslimah miliknya bersama rakan-rakan, Lan Kristal X Saif’Azman & Edfrida.

Lan menguruskan butik yang mula beroperasi sejak sambutan Aidilfitri lalu di Bangi Central, Bangi, Selangor sebagai pelan jangka panjang kehidupannya.

Biarpun begitu, dia masih bergiat aktif memperjuangkan muzik bersama kumpulan Kristal selain tampil dengan single baharu berjudul Yang Ku Cinta.

KOSMO!: Baru-baru ini isteri Lan telah memuat naik status di laman Facebook mengatakan terkilan dengan sikap seorang individu. Bolehkah anda jelaskan mengenai perkara itu?

RAZlan: Sejujurnya, apa yang saya lakukan tidak berniat untuk memalukan sesiapa tetapi apabila ia berkaitan tentang maruah keluarga saya melihat ia agak keterlaluan kerana mengatakan sumber pendapatan saya sebagai penyanyi tidak halal.

Tidak perlu terlalu terperinci mengenai puncanya tetapi apa yang boleh dikongsi ialah perkara itu bermula apabila individu tersebut menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada salah seorang pekerja butik yang menjaga jualan atas talian. Kemudian, staf saya memberitahu hal itu kepada isteri dan saya.

Insiden itu secara tidak langsung telah mengguris hati saya sebagai anak seni.

Selain itu ada yang mengatakan personaliti saya sebagai penyanyi rock, tidak bersesuaian menjual pakaian Muslimah.

Sekiranya ia tidak bertujuan untuk mengaibkan, justeru mengapa anda mengambil pendekatan untuk berkongsikan dalam laman sosial?

Pada awalnya saya tidak berniat untuk memanjangkan perkara tersebut tetapi tindakan individu tersebut yang secara tidak langsung cuba menggugat periuk nasi saya.

Oleh sebab itu, sebagai manusia biasa saya menggunakan pendekatan untuk berkongsi luahan perasaan dalam media sosial. Seperti yang dikatakan, saya tidak berniat untuk memalukan mana-mana pihak.

Selepas perkara itu berlaku, adakah kalian ada bersemuka atau saling berhubung?

Tidak. Selepas perkara itu berlaku sama ada pihak saya atau dia, kami saling tidak berhubung. Terus terang, saya tidak mengambil peduli perkara sebegitu tetapi diharapkan individu tersebut tidak lagi memburuk-burukkan saya selepas ini.

Bagaimanakah reaksi ahli keluarga dan kenalan sewaktu anda kongsikan perkara itu di laman sosial?

Rata-rata mereka agak terkejut dengan apa yang berlaku selain memberi semangat dan dorongan agar tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.

Adakah kejadian ini yang pertama berlaku kepada anda?

Kritikan mahupun kata-kata negatif serta pandangan serong tentang kerjaya sebagai selebriti ini bukan perkara baharu dan ia juga pernah beberapa kali berlaku kepada saya sebelum ini.

Bagaimanapun, saya tidak menjadikan perkara itu sebagai satu halangan untuk meneruskan minat dalam bidang seni.

Pernah suatu ketika ada pelanggan datang ke butik bertanyakan koleksi baharu, malangnya pakaian yang diinginkan itu telah kehabisan stok.

Kemudian, pelanggan itu mengatakan, ‘kata artis, macam mana tidak mampu untuk membuat pesanan baharu sekiranya telah kehabisan stok?’ Bagaimanapun, saya ambil ia secara positif.

Bercerita mengenai butik, bolehkah anda jelaskan mengenai perkara tersebut?

Saya mula menjalankan perniagaan pakaian Muslimah termasuk jubah dan kurta buat lelaki. Diusahakan bersama beberapa orang kenalan, butik Razlan Kristal X Saif’Azman & Edfrida beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam dan telah mula beroperasi sejak Aidilfitri lalu. Setakat hari ini, kami menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat.

Selain sibuk dengan perniagaan, bagaimanakah perancangan bersama kumpulan Kristal?

Kami masih aktif membuat persembahan dan terbaharu sedang mempromosikan single berjudul Yang Ku Cinta hasil ciptaan Harry Khalifah, lirik pula dihasilkan oleh Iman Imran. Bersesuaian dengan perkembangan industri muzik tempatan, lagu berentak rock balada ini diharapkan dapat memikat hati pendengar.

Post a Comment

Previous Post Next Post