Siti Sarah cabar diri


LEBIH 10 tahun lalu, nama Siti Sarah Raisuddin menjadi antara penyanyi yang mempunyai kelas tersendiri.

Bahkan dia juga menempa pelbagai kejayaan dalam bidang muzik antaranya berjaya menggondol anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).

Selain itu, dia juga berjaya mendapat dua lagi pengiktirafan untuk Anugerah Planet Muzik 2003 iaitu dalam kategori Artis Wanita Popular dan juga Artis Wanita Terbaik.

Bagaimanapun, sebaik mendirikan rumah tangga pada Februari 2011 dan bergelar ibu, nama Sarah terus hilang dari radar industri seni.

Biarpun sibuk dengan tugas sebagai isteri dan ibu, ia tidak sedikit pun mengurangkan 'cinta' Sarah di dalam bidang nyanyian.

Dek faktor itulah mendorong penyanyi berusia 32 tahun ini menyertai program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Meskipun mengakui gusar dengan kehilangan suara yang berlaku sebaik sahaja menjalani proses kelahiran, Sarah berkata, dia mencabar diri untuk kembali aktif dan tidak meletakkan hal itu sebagai satu masalah besar.

"Sebenarnya saya dapat tawaran sejak GV1 lagi, bagaimanapun disebabkan Shuib sibuk dengan Maharaja Lawak Mega, jadi saya terpaksa tolak kerana saya perlu jaga anak-anak.

"Kemudian ketika GV2, saya sedang hamil anak ketiga. Jadi apabila dipanggil menjalani uji bakat musim ketiga, saya hanya cuba nasib dan tidak menyangka pula rezeki menyebelahi saya.

"Walaupun saya berdepan dugaan masalah kesihatan dan suara hilang di mana ia berlaku setiap kali saya melahirkan anak, tapi saya tetap mencabar diri dan tidak memikirkan masalah itu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program GV3, baru-baru ini.

Hasil perkahwinan Sarah bersama Shuib, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Al-Qarni, 5, Dzakira Talita Zahra, 3 dan Ariq Matin, 11 bulan.

Tambah Sarah, dia mengakui berdebar melihat barisan peserta di dalam program berkenaan yang terdiri daripada Nora, Intan Sarafina, Azharina Azhar, Elly Mazlein, dan Zur Eda.

"Tidak sangka kali ini saya perlu bersaing dengan idola saya dan juga rakan seperjuangan saya.

"Kalau semua nak tahu, dulu saya banyak berlatih menyanyi menggunakan lagu Kak Nora dan kini kami bersama-sama berjuang di dalam program ini.

"Tapi sejujurnya, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai peserta lain. Tidak ada istilah bersaing.

"Apa yang menjadi fokus saya adalah untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada dan melakukan yang terbaik," ujarnya.

Selain enam peserta wanita, antara lain yang menyertai program GV3 adalah Razis Ismail, Rem, Zarul Umbrella, Ameng Spring, Shidi Data serta Gmie Screen.

GV3 bakal memulakan siaran di Astro Ria bermula Ahad, 16 Oktober ini jam 9 malam dan masih mengekalkan hos Nabil bersama Jihan. Manakala Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim turut kekal sebagai juri.

Peluang kedua

Dalam pada itu, Sarah berkata, dia juga melihat penyertaan di dalam GV3 sebagai platform untuk kembali aktif di dalam industri seni.

Bukan itu sahaja, ia juga menjadi peluang kedua buat Sarah membuktikan kemampuan diri.

"Apa yang boleh saya katakan, kemunculan semula saya di dalam industri sebagai Sarah yang baharu.

"Saya akui ketika awal penglibatan saya di dalam industri, banyak sikap saya yang menggores hati orang lain.

"Namun, apabila saya menjadi ibu, anak-anak telah membentuk saya menjadi wanita yang lebih matang," katanya.

Ujar Sarah, sebaik program GV3 berakhir, dia akan meneruskan perancangan untuk tampil dengan single baharu.

"Buat masa ini, saya selesa merahsiakan siapa gerangan komposer terlibat. Apa yang boleh saya beritahu, saya akan tampil dengan lagu berentak balada, tetapi segala rakaman dan sebagainya akan dilakukan selepas GV3," katanya yang sudah merancang mengeluarkan single sebelum program GV3 lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post