Tasha Manshahar mengajar secara muzikal


DEMI memberi sentuhan kelainan, Tasha menyelitkan elemen muzikal sewaktu dalam sesi pembelajaran dalam kelas.

MENGGALAS tanggungjawab sebagai guru tidak menghalang penyanyi berusia 24 tahun, Tasha Manshahar untuk meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

Bijak mengatur masa merupakan ramuan utama buat pelantun lagu Ragu-Ragu itu memastikan aktiviti seninya bergerak seiring dengan kerjaya profesionalnya.

Sudah empat bulan menjadi pendidik di salah sebuah sekolah rendah arab di Klebang Besar, Melaka bagi subjek Bahasa Inggeris dan Reka Bentuk Teknologi, penyanyi itu bercerita mengenai keseronokannya bergelar seorang guru.

KOSMO!: Setelah bergelar guru, bagaimanakah perjalanan kerjaya nyanyian Tasha?

TASHA: Tidak dinafikan sejak menjadi guru sekitar empat bulan lalu, aktiviti seni saya bergerak agak perlahan kerana ingin memberi fokus sepenuhnya kepada bidang perguruan. Bagaimanapun, saya berasa amat bertuah dan bersyukur kerana pihak pengurusan telah menyusun segala agenda seni, sekali gus melancarkan album terbaharu bertajuk Bukan Aku.

Bolehkah anda kongsikan pengisian dalam album terbaharu itu?

Album tersebut memiliki enam buah lagu dan empat antaranya dihasilkan oleh DJ Fuzz, manakala baki dua lagi lagu dicipta oleh saya sendiri.

Menariknya, kedua-dua lagu tersebut berentak balada dan ini merupakan eksperimentasi pertama dalam saya memiliki lagu genre sebegitu agar dapat menyuntik elemen berbeza daripada album sebelumnya, selain ingin mencabar diri melakukan sesuatu benda baharu.

Adakah kerjaya sebagai guru membataskan anda untuk meneruskan usaha memperkukuhkan kedudukan dalam industri?

Pada pandangan saya, perkara itu tidak menimbulkan sebarang kekangan kerana paling penting ialah pengurusan masa dan kesungguhan.

Namun, pada kali ini saya perlu memastikan setiap karya yang dihasilkan bersifat lebih matang memandangkan selain penyanyi, saya juga bergelar seorang guru.

Justeru, bagi mengelakkan timbulnya sebarang fitnah mahupun kontroversi, setiap apa yang dilakukan perlu dipertimbangkan sebaik mungkin selain bimbang akan menjejaskan reputasi perguruan itu sendiri.

Memandangkan anda mempunyai latar belakang dalam bidang muzik, adakah ia turut diaplikasikan menerusi sistem pembelajaran di sekolah?

Muzik adalah salah satu perkara yang paling digemari kanak-kanak. Tambahan, pelajar saya dalam kalangan sekolah rendah lingkungan darjah dua dan empat.

Justeru, sekiranya ada terdapat topik sesuai, inisiatif belajar melalui muzik akan dilakukan bagi menarik minat mereka untuk belajar.

Kadangkala saya akan membawa alat muzik seperti gitar atau keyboard sebagai alat bantuan pembelajaran.

Adakah cara sebegitu sering diamalkan oleh anda sebagai teknik pembelajaran?

Aktiviti sebegitu hanya dilakukan pada masa tertentu dan ia tidak dilakukan secara kerap kerana bimbang akan menimbulkan kebosanan dalam kalangan pelajar.

Selain itu, bagi mengekalkan nilai eksklusif pada sesi pembelajaran sebegitu, saya memilih untuk tidak melakukannya terlalu kerap.

Perkara sama turut saya lakukan sekiranya mereka membuat permintaan untuk menyanyi sejurus selepas kelas selesai.

Namun, sebagai guru saya perlu bersikap tegas dan memastikan kesemua pelajar menyiapkan tugasan mereka dan menghantar buku sebelum bernyanyi.

Bagaimanakah penerimaan pihak sekolah dan ibu bapa apabila mengetahui anda menyuntik elemen muzikal dalam pembelajaran?

Saya bersyukur kerana perkara itu mendapat sambutan baik sama ada dalam kalangan guru mahupun ibu bapa.

Difahamkan, pihak sekolah ingin melakukan perkara tersebut sebelum ini, namun disebabkan kekurangan tenaga berpengalaman dan alat muzik, jadi hasrat itu dipendamkan.

Bagaimanapun, pelajar juga memberi reaksi positif dan teknik itu turut berjaya menarik minat pelajar daripada kelas lain untuk turut serta hingga ada antara mereka berdiri di koridor kelas.

Post a Comment

Previous Post Next Post