Karya termahal, refleksi diri Anuar Zain


JENAMA - Memilih untuk terus meletakkan nama sendiri sebagai tajuk album seperti sebelumnya, itu adalah cara untuk mengelak berlaku ketidakadilan apabila memilih lagu tertentu sebagai tajuk album

SEPERTI menanti bulan jatuh ke riba, begitulah diibaratkan kisah penantian karya terbaharu daripada penghibur dan penyanyi tersohor, Anuar Zain.

Tempoh lima tahun berdiam diri bukan membawa erti Anuar sudah kering idea atau tidak lagi bersemangat untuk menebarkan kehebatannya sebagai penyanyi tetapi jarak waktu itu dimanfaatkan sebaiknya untuk dia kembali ‘bernyawa’.

Tampil dengan single sulung Andainya Takdir yang menjadi mukadimah kepada album kelimanya berjudul Anuar Zain, penyanyi berusia 47 tahun itu telah mempersiapkan selengkapnya ‘senjata’ untuk ‘menyerang’ peminatnya.

Dihasilkan oleh Helen Yap dengan Habsah Hassan menulis liriknya, Andainya Takdir tidak hadir hanya sebagai single tetapi juga divisualkan dalam bentuk klip video.

Berbicara mengenai proses pembikinan keseluruhan album tersebut, Anuar mengakui beliau rela mengambil masa yang lama untuk menghasilkan karya terbaik serta bermutu tinggi.

Menurutnya lagi, projek baharu ini sangat dekat di hatinya kerana material yang dikumpulkan memberi refleksi dirinya seiring dengan kematangan jiwanya sebagai anak seni.

“Saya kira semua pihak sedia maklum, saya amat teliti mengenai hal-hal berkaitan dengan pemilihan lagu dan susunan muzik dalam album sehingga tempoh yang diambil untuk menyiapkannya memakan masa bertahun-tahun.

“Jadi, semua lagu yang saya muatkan dalam album ini adalah yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Anuar Zain dan klip video single, Andainya Takdir di Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Andainya Takdir, album tersebut dimuatkan dengan tujuh lagu lain iaitu Kembali, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Hujan (nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad), Belahan Hati, Kembali Padamu Ilahi dan Selamat Malam.

Sendu

Sedikit berbeza dengan empat album sebelumnya, pengisian lapan buah lagu adik penyanyi Ziana Zain kali ini kesemuanya berentak balada dan membelai perasaan.

Jika dilihat pada tajuk seperti Belahan Hati, Cinta Takkan Berakhir dan Kembali Padamu Ilahi, boleh ditebak arah tuju melodi albumnya kali ini lebih melankolik dan mendalam penghayatannya.

Tidak menafikan album kelima ini mengandungi karya yang mengulit naluri, Anuar berkata, bukan beliau tidak cuba meminta lagu pop atau R&B daripada komposer, namun tiada yang sesuai dengan nada dan melodi suaranya.

Tambahnya, setakat ini peminat memang mengharapkan lagu-lagu berentak perlahan daripadanya.

“Memang semua lagu pada kali ini berentak balada tetapi ia tidak terlalu mendayu dan tidak juga terlalu pantas nadanya. Pada saya, ia enak didengar dan memberi gambaran apa yang ingin peminat ketahui mengenai Anuar Zain.

“Apa yang penting saya berpuas hati dan ia dihasilkan mengikut cita rasa peminat yang menanti lima tahun untuk produk saya,” ujarnya yang turut merakamkan semula lagu Hujan hasil ciptaan Allahyarham Syed Haron atas dasar hormat dan minat peribadi pada gubahan tersebut.

Selain itu, Anuar juga bersyukur apabila berjaya memujuk Azalea yang merupakan penulis lirik lagu Keabadian Cinta untuk menggubah lagu Kembali Padamu Ilahi di atas permintaan penulis liriknya, Allahyarham Dalilah. Dalilah meninggal dunia kerana kanser payudara hampir enam bulan lalu.

Sedar Azalea tidak akan menggubah melodi untuk semua orang, bekas pramugara ini berasa bertuah kerana diberi peluang bekerjasama dengan wanita yang disifatkan mempunyai sentuhan magis dalam setiap alunan muzik yang dihasilkan.

Termahal

Saat diusik kos yang dibelanjakan oleh Anuar untuk merealisasikan album terbaharunya ini, beliau memberitahu, ia adalah penghasilan produknya yang termahal sepanjang 30 tahun bertapak dalam industri seni suara.

Tidak memperincikan secara jelas jumlah yang telah dilaburkan, namun Anuar memberitahu ia mencecah ratusan ribu ringgit.

Kos itu termasuklah untuk proses rakaman yang dijalankan di Jakarta, Indonesia, selain menggunakan khidmat orkestra antarabangsa dari Budapest dan Prague untuk dua buah lagu yang terkandung dalam album serta mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik dari Indonesia iaitu Numata dan Alam Anggara Urbach.

Lebih mengujakan, pelakon filem Bintang Hati itu sedikit pun tidak mempedulikan situasi penjualan album penuh secara fizikal yang teruk.

“Saya bangga dengan album ini kerana setiap sudut pembikinannya adalah hasil ilham serta visi yang saya impikan. Apabila ia siap sepenuhnya, segala cabaran yang ditempuhi oleh produksi saya, Anuar Zain Network Sdn. Bhd. sebelum ini ternyata tidak sia-sia.

“Tidak perlu bercakap tentang pulangan lumayan kerana saya tidak pernah memikirkan keuntungan apabila membuat album.

“Saya mahu peminat puas hati, kekal menyokong karier seni dan tidak jemu mendengar suara saya,” katanya penuh optimis.

Menjalin kerjasama dengan pasar raya Mydin bagi album kali ini, Anuar akan mengadakan jelajah promosi di beberapa cawangan Mydin terpilih seluruh negara bermula 9 Oktober depan. Album tersebut juga menerima banyak tajaan dari pelbagai segi.

Post a Comment

Previous Post Next Post