Eksklusif Konsert 3 Suara


DARI kiri: Ameng, Zamani, Jamal Abdillah dan Jamilul Hayat akan menggegarkan Konsert 3 Suara di Istana Budaya mulai esok hingga 25 September ini.

MELETAKKAN tiga nama penyanyi lelaki hebat negara ini sudah cukup membuat khalayak tergoda. Mereka ialah Datuk Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani yang memang diakui kredibiliti mereka sebagai penghibur berbakat besar.

Lantas apabila mereka bergabung dalam sebuah konsert yang dinamakan sebagai Konsert 3 Suara, khalayak sudah boleh menebak hasilnya kelak. Ia pasti memukau dan berhasil menawan hati peminat yang bakal menyaksikan persembahan tersebut di Istana Budaya.

Pengarah Urusan Binjamal Event Sdn. Bhd. selaku penganjur, Jamal Abdillah menjanjikan kelainan dalam Konsert 3 Suara yang akan bermula esok hingga 25 September ini.

“Saya ingin memastikan audiens yang hadir menyaksikan konsert ini bukan sahaja terhibur dengan persembahan kami tetapi puas apabila meninggalkan panggung kerana impak persembahan yang diberikan.

“Selaku penganjur, saya akan menampilkan kelainan dengan melakukan sesuatu yang baharu di Istana Budaya. Kita akan membuat sesuatu yang belum pernah dilakukan pada konsert sebelum ini,” ujarnya optimis ketika ditemui di Istana Budaya baru-baru ini.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali turut menjelaskan, beliau tidak ingin melihat pentas kelihatan lapang dan kosong semasa konsert berlangsung.

Justeru, antara kelainan yang ditampilkan pada malam konsert termasuklah meletakkan tirai latar, ahli-ahli muzik dan skrin diod pemancar cahaya (LED) di bahagian hadapan.

“Ini merupakan kali pertama pentas Istana Budaya akan melakukan susun atur sedemikian dalam sebuah konsert.

“Selain itu, konsert ini juga menggunakan sistem pencahayaan dan bunyi berkualiti tinggi bagi memberikan kepuasan kepada para audiens,” kata lelaki berusia 57 tahun itu.

Berbicara lanjut mengenai persembahan konsert yang akan mengambil masa dua jam itu, penyanyi yang mendapat jolokan Raja Pop itu memberitahu, setiap seorang akan mendendangkan sebanyak enam buah lagu secara solo, manakala Jamilul Hayat yang diundang khas pula akan mempersembahkan tiga buah lagu.

Katanya, audiens akan dihiburkan dengan paduan empat suara mereka melalui persembahan istimewa mendendangkan lagu milik kumpulan Search, Isabella.

“Mereka juga akan melihat saya, Zamani dan Ameng menyampaikan lagu bersama. Audiens kelak juga akan dapat menilai bagaimana saya mendendangkan lagu Zamani dan Ameng, serta sebaliknya pada malam konsert ini.

“Saya merasakan ia sudah pasti akan memberi kelainan dan sesuatu yang menarik apabila kami saling bertukar-tukar mendendangkan lagu masing-masing,” katanya lagi.

Bercakap mengenai penampilannya pada malam konsert, Jamal memberitahu, beliau mendapatkan sentuhan pereka fesyen terkenal Datuk Taufik Nong dalam rekaan sut eksklusif. Malah, imej penampilan kemas itu turut akan dipamerkan oleh Ameng dan Zamani.

Katanya, setiap penyanyi akan mengayakan sebanyak dua sut sepanjang berlangsung konsert berkenaan.

Tiket-tiket Konsert 3 Suara masih boleh dibeli sepanjang konsert berlangsung.

Tiket-tiket dijual pada harga RM108, RM158, RM258, RM358 dan RM458 atau layari www.ilassotickets.com untuk pembelian secara atas talian.

Post a Comment

Previous Post Next Post