NORDIN yakin Alyd mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian.
Mengimpikan sesuatu itu mudah. Merealisasikannya itu sukar. Pendatang baharu yang mahu dikenali sebagai Alyd menanti selama empat tahun untuk single ciptaannya, Nostalgia dipasarkan.
Siapa sangka, pertemuan tanpa sengaja Alyd dengan Nordin daripada kumpulan Search di sebuah kedai muzik di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira empat tahun lalu memberi sinar harapan kepada Alyd untuk bekerjasama dengan bintang legenda itu.
“Lagu ini saya buat empat tahun lepas. Jadi, apabila dah siapkan susunan muziknya, saya perlukan sentuhan daripada pemuzik-pemuzik hebat seperti Nordin dan Yazid Search untuk memberi jiwa pada lagu tersebut.
“Alhamdulillah, saya dapat bertemu dengan abang Din di Seremban. Dia bersetuju untuk terlibat dalam projek lagu ini selepas saya mengusulkan kepadanya,” ulas Alyd yang sejak dahulu mengimpikan untuk bekerjasama dengan bintang rock itu.
Biar jurang pengalaman antara Alyd dan Nordin begitu ketara, ia sedikitpun tidak membuatkan pemuzik berusia 53 tahun itu ‘bakhil’ dalam menyampaikan ilmu kepada Alyd, malah Nordin begitu yakin pemuda berusia 30 tahun itu mempunyai potensi yang besar sebagai penyanyi rock khususnya.
“Dia budak muda yang mempunyai potensi besar sebagai penyanyi. Sebagai orang yang berpengalaman saya tiada masalah untuk membantunya. Disebabkan itu saya bersetuju untuk terlibat dalam single ini dan juga di setiap persembahannya,” ujar Nordin yang mengaku Search masih menjadi keutamaannya.
Walaupun mengiringi Alyd dalam persembahannya, Nordin masih kekal sebagai ahli kumpulan Search.
“Saya akan mendahulukan Search dalam segala hal. Jika tidak mempunyai sebarang projek bersama Search, baru saya akan memberi tumpuan kepada Alyd. Saya ingin melihat dia berjaya dalam bidang seni,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Selain Nordin, Alyd juga menjemput pemuzik handalan seperti Yazit (Search), Rozario, Kelly dan Fudin untuk sama-sama memberikan sentuhan kepada keseluruhan proses rakaman lagu tersebut.
Dapat berkolaborasi dengan pemuzik-pemuzik handalan itu hanya satu dapat diungkapkan Alyd iaitu syukur.
“Saya cukup berpuas hati dengan kolaborasi ini. Tidak mudah sebenarnya untuk mengumpulkan nama-nama besar seperti Yazid, Nordin, Rozario, Kelly dan Fudin untuk mengiringi orang baharu seperti saya.
“Mereka semua tidak pernah lokek untuk membantu saya merealisasikan impian ini. Jadi mana mungkin saya mensia-siakan peluang yang sudah ada di depan mata,” tambah Alyd atau nama sebenarnya Syed Khalid Said Hamoza Al-Jufri itu.
Selain itu, penyanyi yang berasal dari Seremban itu juga menarik nafas lega kerana berjaya merakam semula lagu Nostalgia biarpun terpaksa mengambil masa selama empat tahun.
“Ketika itu (empat tahun lalu) ada beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Walaupun perlu melakukan semula proses rakaman, kesemua pemuzik yang terlibat tidak merungut, malah memberikan sokongan kepada saya,” jelas Alyd yang mengaku genre muzik rock memberi kelebihan untuk memasarkan dirinya.
Pada Alyd, jika kebanyakan penyanyi baharu muncul dengan genre yang lebih ringan untuk diterima khalayak, genre yang dibawakan olehnya memberikan sedikit kelebihan untuk menempatkan diri dalam industri.
“Muzik ini ada peminat sendiri dan bersifat universal. Saya sendiri layan lagu pop. Saya rasa tiada apa-apa masalah dengan genre rock kerana ia tetap menjadi makanan telinga,” ujarnya yang mengagumi kumpulan hebat seperti Search dan Wings yang mampu bertahan sehingga hari ini.