Khai Bahar menyanyi selagi diterima


BERLAKON - mahupun menjadi hos tidak berada dalam perancangan Khai Bahar buat masa sekarang.

BARANGKALI perjalanan seni Khai Bahar sedikit berbeza berbanding penyanyi baharu lain seusianya. Tatkala ramai yang masih bergelut untuk dikenali, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin, 22, ini sudah membentuk kelompok peminatnya tersendiri apabila meletus fenomena luar biasa menerusi aplikasi Smule sejak awal tahun ini.

Cuma, itu bukan alasan buat anak jati Beseri, Kangar, Perlis itu menjalin rasa selesa lantaran perjalanan seninya masih terlalu jauh untuk dibayangkan kesudahannya.

Tanpa berselindung, Khai reda seandainya rezeki tidak lagi berpihak kepadanya kerana yang paling utama, dia mahu membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi serba boleh dan bukan sekadar menyanyikan semula lagu orang lain.

“Kalau esok pun jatuh, saya reda kerana tidak akan selama-selamanya berada seperti ini. Lagipun, viral bersifat sementara.

“Segala-galanya terpulang kepada rezeki, selagi boleh bertahan saya akan teruskan perjuangan ini,” ujarnya.

Pernah diamuk perasaan kecewa kerana sukar untuk memartabatkan jenama di persada seni tanah air sedikit masa lalu, Khai juga mengakui masih dihantui perasaan rendah diri ketika berdepan khalayak.

“Saya segan dengan penyanyi lain yang mungkin berusaha keras berbanding saya. Ada juga yang mempertikaikan kredibiliti saya yang seolah-olah hanya memiliki ramai peminat, namun bakat cuma tidak seberapa. Jadi, saya perlu memperbaiki keyakinan dan membuang rasa malu,” katanya.

Pada masa sama, Khai juga nekad untuk mempelajari bagaimana untuk berkomunikasi dengan media dan peminat bagi mengelak salah faham seperti mana kenyataannya yang pernah mengguris perasaan masyarakat Sarawak tempoh hari.

“Saya memohon maaf atas keterlanjuran kata-kata sebelum ini dan menjadikannya sebagai iktibar,” ujarnya.

Biar ada yang beranggapan penyanyi Smule sepertinya tidak sebagus penyanyi program realiti sedia ada, Khai sentiasa berlapang dada dan menerima kritikan dengan hati terbuka.

“Saya pernah bertanya dengan diri sendiri sama ada benar-benar tidak berbakat apabila gagal menyinar dalam uji bakat beberapa program realiti sebelum ini.

“Selepas berputus asa dan membawa diri sebagai penyanyi buskers di Kuching, Sarawak, rezeki saya akhirnya tiba setelah dilamar NAR Records.

“Setakat ini alhamdulillah, single terbaharu berjudul Bayang hasil ciptaan Ary Khalifah dan Patrick IamNeeta mendapat sambutan memberangsangkan apabila ditonton lebih dua juta kali selepas sebulan dimuat naik di YouTube,” katanya yang turut bercadang untuk mengkomersialkan lagu ciptaan sendiri berjudul Luluh selepas ini.

Dalam pada itu, anak keempat daripada enam adik-beradik ini sekadar menguntum senyum tatkala ditebak soal cinta.

“Kali terakhir hanya cinta monyet di zaman sekolah. Buat masa ini, saya tidak mahu memikirkan soal itu.

“Saya mengimpikan wanita pendiam seperti saya, namun jika berkebolehan menyanyi lagu Madah Berhelah dengan baik, itu dianggap sebagai bonus,” ujarnya tertawa seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post