Elfira Loy kini sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
HIDUP kita memang tidak akan sama dengan orang lain. Setiap orang punya kisah dan cerita tersendiri. Apa yang kita dilalui dalam hidup, hanya kita sahaja yang betul-betul merasai dan mengalaminya, bukan orang lain.
Orang sekeliling mungkin boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahu berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar. Bagaimanapun, hakikat sebenar apa yang terselindung di sebalik hati seseorang itu, hanya antara dia dan sang pencipta sahaja yang tahu.
Begitulah yang dirasakan pelakon Elfira Loy terhadap apa yang berlaku ke atas rakan seperjuangannya, Uqasha Senrose yang membuat keputusan untuk tampil dengan imej lama setelah tiga tahun mengenakan hijab baru-baru ini.
Memang benar, tindakan Uqasha itu membuatkan banyak pihak terkejut. Dia menerima kecaman yang cukup teruk. Sungguhpun begitu, bagi Elfira, dia berasa cukup sedih melihat sikap masyarakat yang berterusan mencemuh pelakon tersebut.
Katanya, sebagai insan biasa, kita tidak berhak untuk menjatuhkan hukum ke atas apa yang terjadi kepadanya. Katanya, ini kerana kita semua tidak pernah berada di tempatnya. Biarlah apa yang sudah berlaku itu diambil dari sudut yang positif.
Jelasnya, mungkin apa yang berlaku semua itu adalah ujian untuk kita semua daripada Yang Maha Esa. Katanya, ujian daripada Allah itu datang daripada pelbagai bentuk. Barangkali, apa yang terjadi ke atasnya juga adalah merupakan ujian-Nya untuk melihat bagaimana cara kita semua berdepan dengan situasi itu.
“Kita semua tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi kepadanya. Pada saya, lebih baik kita berdiam diri daripada terus bercakap perkara yang tidak sepatutnya. Kita tidak boleh terus menghakimi perbuatan dia (Uqasha) kerana kita sendiri tidak berada di tempatnya.
“Mungkin sebenarnya yang diuji itu adalah kita semua, bukan Uqasha seperti apa yang kita lihat dengan mata. Barangkali Allah mahu lihat bagaimana kita terima perkara itu, cara reaksi kita dan sikap kita. Sejauh mana kita mampu menjaga adab perbuatan dan percakapan kita daripada apa yang terjadi. Mungkin inilah ujian untuk kita,” luah pelakon berusia 22 tahun itu.
Menurut pelakon drama Demi Dia itu, sepatutnya, dorongan dan kata positif perlu diberikan kepadanya agar hatinya terus kekal dengan imej sebelum ini yang lebih diredai oleh-Nya.
Elfira yang juga baru setahun lebih mengenakan hijab juga berharap agar dia terus istiqamah dengan penghijrahan yang berlaku ke atasnya. Katanya, dia juga sentiasa mencuba untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa untuk menjadi yang lebih baik.
“Kita kena sedar bahawa segala apa tindakan kita akan dilihat oleh-Nya. Kena ada rasa takut kepada-Nya. Itu yang saya selalu akan ingat dalam keadaan apa sekalipun,” luahnya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, kata Elfira, sehingga kini dia masih lagi berhubungan baik dengan pelakon Indonesia, Baim Wong.
“Hubungan kami baik-baik sahaja. Dia pun kalau ada apa-apa banyak berhubungan terus dengan ibu saya sendiri,” katanya ringkas saat ditanya mengenai lelaki yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengannya itu.
Ditebak soal kahwin, kata Elfira, dia sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga. Katanya, dia juga seperti insan lain yang impikan untuk hidup berkeluarga. Bahkan, dia tidak kisah jika berkahwin pada usia muda jika jodohnya sudah tiba.
“Saya sudah bersedia. Cuma, calon sahaja belum ada,” selorohnya yang masih berteka-teki dengan hubungan sebenar dirinya bersama jejaka kacak berusia 34 tahun itu.
Dalam pada itu, Elfira memberitahu dia bakal muncul dengan program Extreme Roadtrip bersama pelakon dan pelawak Sherry Alhadad.
“Ia merupakan sebuah program yang memaparkan aktiviti lasak. Saya memang kagum dan terkejut dengan Sherry yang bersemangat sama-sama berusaha untuk menghabiskan cabaran yang kami buat. Antaranya perlu panjat gunung yang ambil masa sehingga empat jam.
“Saya sangkakan dia tidak larat, tapi tekaan saya silap. Memang tabik dengan dia,” katanya yang memberitahu program itu bakal disiarkan di saluran Astro Bella dan Astro Mustika bermula Oktober nanti.