Kaka menegaskan, gambar bercuti dengan seorang lelaki di Eropah itu tiada unsur cinta.
Kodifikasi muzik Kaka Azraff tersusun indah dengan deretan lagu Bawaku Pergi, Infiniti Cinta dan Terpulanglah.
Bagaimanapun, lagu Bukan Hal Aku mengukir signifikan tersendiri buat pemunya nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu.
Lagu ciptaan Alif daripada kumpulan Sleeq itu mematah persepsi, menjadikan ia tidak canggung sebaliknya santapan telinga pendengar yang selama ini menyifatkan muzik tersebut terlalu moden.
“Alhamdulillah, selepas Bukan Hal Aku dimartabatkan dalam Anugerah Juara Lagu 30 (AJL 30), daripada situ saya nampak orang Malaysia sudah lebih terbuka terhadap muzik sebegini.
“Walaupun ada juga kritikan daripada pendengar, tetapi saya tidak terkilan kerana mungkin mereka belum dapat terima genre muzik ini dengan baik. Apa yang boleh saya katakan majoriti sudah menerimanya,” ujar Kaka yang mengaku teknologi di internet memudahkan orang ramai mengenali muzik-muzik baharu di hujung jari.
Karyawan muzik sebenar akan kenal aliran muzik yang dibawa, namun bagi pendengar, muzik yang diperjuang Kaka cenderung dianggap hip hop atau Electronic Dance Music (EDM).
“Genre yang saya ketengahkan ini bukan EDM tetapi lebih kepada new sound. Komposer Alif sendiri mengatakan lagu ini menggunakan bunyian baharu yang menuju ke arah EDM,” jelas Kaka yang memilih Alif Sleeq sekali lagi untuk single terbaharunya.
Eksperimentasi
Tika ini, dia mahu terbang lebih jauh dan Terima Kasih menjadi pertaruhan terbaharu penyanyi berusia 27 tahun itu dalam mengisi kelana seninya.
“Terima Kasih boleh dianggap kesinambungan pada lagu Bukan Hal Aku. Pada masa sama, saya cukup senang bekerjasama sekali lagi dengan Alif untuk single terbaharu ini. Saya rasa keserasian muzik yang kami ada boleh menghasilkan satu karya yang berbeza dalam industri muzik,” katanya penuh waja di hati.
Dewasa usia seni dalam karya matang yang hadir kepadanya membuatkan penyanyi yang kini semakin mengorak langkah sebagai pelakon itu memanjatkan syukur.
Mengambil resam kail pancingan yang dicampak ke dasar laut, Kaka turut mengiaskan penghasilan single Terima Kasih itu sebagai sebuah eksperimentasi untuknya melangkah lebih jauh.
“Saya tidak boleh cakap sekarang sama ada sambutan single Terima Kasih sama seperti Bukan Hal Aku sebab ia masih terlalu awal tetapi apa yang saya dapat daripada maklum balas pendengar semuanya positif. Lebih-lebih lagi sejak klip video single itu berada di laman YouTube sebulan yang lalu. Alhamdulillah, ia telah ditonton lebih 200,000.
“Saya juga ada perancangan untuk membawa lagu-lagu saya ke luar negara dan kalau boleh sehingga ke Amerika Syarikat. Ia memang impian saya sejak dahulu lagi. Cuma saya tak nak terburu-buru. Bukan nak tunggu peluang itu datang cuma saya rasa kalau kita ada kualiti, Insya-Allah peluang itu akan datang sendiri nanti,” jelasnya yang kini mempunyai lima single dan merancang untuk menghasilkan album pada tahun depan.
Lima tahun dalam industri, sebahagian daripada tempoh itu Kaka bertatih untuk diterima dan sebahagian lagi barulah namanya mewangi dalam jaluran muzik tanahair.
“Lima tahun dalam industri tanpa sebarang album, saya kena juga berpijak pada dunia yang nyata. Sekarang album tidak berapa mendapat sambutan berbanding single.
“Namun, album itu ibarat satu pasport kepada penyanyi. Maka ia perlu ada dan sekarang saya sedang kumpul material untuk menghasilkan album pertama. Insya-Allah pada tahun depan,” ujarnya yang turut berharat untuk mengadakan konsert showcase buat peminat-peminatnya.
Tidak memilih dalam bekerja
Pada saat dia terbuka hati untuk berlakon dalam teater Projek Kahwin dan filem Aliff Dalam 7 Dimensi, namun satu hal yang pasti muzik masih menjadi makanan rujinya.
“Saya tidak boleh cakap lakonan sudah menyamai nyanyian. Pada saya, nyanyian masih menjadi keutamaan kerana di situ tumpahnya minat saya.
“Bagaimanapun lakonan juga menjadi salah satu minat saya, cuma saya belum cukup profesional dalam bidang ini. Banyak yang perlu saya belajar lagi. Sama juga dengan nyanyian,” jelasnya yang bakal muncul dengan watak utama dalam filem Cinta Paradox di samping Josiah Hogan dan juga telemovie pertama, Bella Mencari Cinta di TV9.
Turut membuat kemunculan istimewa dalam filem Interchange, Kaka menegaskan, dia tidak pernah memilih rakan lakonan dan terbuka berlakon dengan sesiapa.
“Saya tidak memilih dalam bekerja. Bekerja dengan orang baharu lagi seronok sebab kita dapat pengalaman baharu,” ulasnya dengan kerendahan hati.
Tiada unsur cinta
Perlahan-lahan menyelak sisi peribadi yang selama ini berbalut kemas pada anak saudara kepada Ratu Rock Ella itu. Beberapa bulan lalu, tersebar di internet beberapa keping gambar dirinya dengan seorang lelaki dikenali sebagai Nabil bercuti di Eropah.
Tenang menjawab persoalan yang ditimbulkan, Kaka menyifatkan gambar itu sekadar gambar biasa dan tidak mempunyai sebarang unsur cinta seperti yang digembar-gemburkan ramai.
“Orang salah anggap. Kami hanya berkawan bukannya bercinta. Gambar itu juga tiada unsur percintaan. Ia sekadar gambar biasa. Barangkali ia kecoh sebab sebelum ini saya tidak pernah bergambar dengan lelaki,” jelasnya yang mengaku sudah lama mengenali Nabil sebagai kawan dan kebetulan bertemu dengan lelaki itu di Paris, Perancis ketika bercuti bersama rakan kongsi syarikat miliknya, Garments Advocates.