JARUM jam sudah menunjukkan pukul 7 malam. Ketika itu, Esther Tognozzi, pemilik salun rambut Esther’s Hair Salon di Tarzana, California, Amerika Syarikat (AS) sedang leka mengemas peralatan mendandan dan menggunting rambut. Sesekali matanya melirik ke arah dinding kaca salun, memerhati kawasan sekitar jika ada pelanggan yang ingin singgah mendapatkan perkhidmatannya.
Sewaktu leka mengemas, Tognozzi dikejutkan dengan bunyi kuakan pintu. Dari jauh, dia melihat kelibat seorang wanita yang cukup dikenalinya masuk sambil diiringi beberapa orang lelaki. Selepas duduk di kerusi, wanita berambut coklat gelap itu lekas meminta Tognozzi untuk mencukur rambutnya.
“Sambungan pada rambut saya sangat ketat. Saya mahu kepala saya dibotakkan,” tegasnya.
Apabila Tognozzi enggan memenuhi permintaan tersebut, wanita itu segera mencapai mesin pemotong rambut yang diletakkan di atas kaunter dan mula membotakkan kepalanya sendiri.
Ditanya mengapa dia bertindak demikian, wanita itu pantas menjawab: “Saya tidak mahu orang lain menyentuh saya. Selama ini, saya berasa sangat penat dan bosan disentuh oleh semua orang,” luah wanita itu spontan.
Wanita itu ialah Britney Spears.
Kejatuhan
Jawapan tersebut barangkali jelas menggambarkan apa yang terbuku dalam jiwa penyanyi itu sembilan tahun lalu, ketika kebebasan dan rutin normal wanita kelahiran Louisiana, Texas, AS itu direnggut oleh gemilang kariernya sendiri.
Menyaksikan kejatuhan Britney sekitar tahun 2007 boleh diibaratkan seperti melihat sejambak ros merah yang terbiar layu dimamah hari. Cantik pada pandangan tetapi rapuh bahagian dalamannya.
Selepas kejadian membotakkan kepalanya menimbulkan ribut dalam kalangan peminat, Britney bagai kehilangan arah. Hidupnya pincang, lebih-lebih lagi selepas bercerai dengan bekas suaminya, Kevin Federline beberapa bulan sebelum itu.
Lebih mengeruhkan keadaan, Britney disahkan menghidap bipolar setahun kemudian selepas insiden enggan memulangkan anaknya, Sean Preston dan Jayden James (pada ketika itu masing-masing berumur dua dan setahun) kepada Federline selepas tamat tempoh giliran penjagaan mendapat liputan meluas oleh media.
Empayar yang dibina sejak usianya lapan tahun menerusi rancangan kanak-kanak, Mickey Mouse Club lenyap sekelip mata. Ketika itu, peminatnya turut berputus harap. Khalayak juga telah meletakkan pemahaman bahawa Britney tidak akan kembali menyanyi.
Kebangkitan
Bagaimanapun, Britney tidak serapuh bunga yang telah layu. Hanya 12 bulan selepas khalayak dimomokkan dengan tanggapan Britney sakit jiwa, pelantun lagu ...Baby One More Time itu membuktikan sebaliknya.
Selepas mengumumkan kesihatannya kembali pulih menerusi majalah OK! keluaran Ogos 2008, Britney kembali ke studio untuk merakamkan album keenamnya, Circus yang dilancarkan secara besar-besaran, tiga bulan kemudian.
Memetik wawancara yang disiarkan oleh saluran E! menerusi dokumentari I Am Britney Jean, Britney, 34, mengakui, terkesan dengan impak kerjayanya sebagai penyanyi.
“Pada awal karier, saya tidak kisah dengan tanggapan orang lain. Tambahan pula, saya sangat gembira bergelar penyanyi.
“Namun, semuanya berubah apabila saya mulai sedar orang di sekeliling boleh berubah kejam, terutamanya di internet,” ujar Britney.
Mengimbau kembali saat kejatuhannya, Britney menyifatkan ia sebagai sebuah transisi yang menakutkan.
“Sehingga pada satu tahap, saya diekori oleh 20 buah kereta milik paparazzi setiap kali keluar rumah. Perkara tersebut menyebabkan saya berasa sangat terasing.
“Saya dibesarkan dalam keadaan sederhana. Apabila kerap terdedah dengan perkara ini, saya berubah menjadi individu berbeza dan seterusnya menghidap bipolar,” ujarnya jujur.
Terus memacu karier yang dahulu pernah terkandas, pemenang anugerah Grammy bagi kategori Lagu Dance Terbaik menerusi single Toxic itu kemudiannya melancarkan konsert jelajah dunia, The Circus Starring Britney Spears yang meliputi 12 negara termasuk Australia dan Rusia.
Bintang hebat yang pernah terbabit dengan filem Crossroad itu kemudian melancarkan dua buah album iaitu Femme Fatale (2011) dan Britney Jean (2013).
Britney turut diberi kepercayaan untuk mengepalai konsert residensinya sendiri, Britney: Piece of Me di Planet Hollywood, Las Vegas, AS pada 2013, sekali gus meletakkannya namanya sebaris dengan penghibur terkemuka seperti Celine Dion dan Elton John.
Britney menyifatkan album terkininya, Glory sebagai sebuah karya terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi.
Menerusi majalah People yang diterbitkan tahun lalu, Britney berkata: “Saya gembira dengan apa yang dikecapi sekarang.
“Saya ada konsert residensi yang hebat, dapat berehat selang enam minggu sekali dan yang paling penting boleh meluangkan masa dengan anak-anak.”
Glory
Biarpun masih mengemudi konsert residensi secara konsisten, hal itu bukanlah alasan buat Britney untuk tidak hadir dengan material baharu.
Selepas tiga tahun menanti, Britney hadir dengan album studio kesembilannya, Glory, yang dilancarkan secara serentak di seluruh dunia pada 25 Ogos lalu.
“Ia merupakan album terbaik yang pernah saya hasilkan setakat ini. Bekerja dengan penerbit-penerbit hebat seperti Julia Michaels dan Justin Tranter memberi peluang untuk saya mencuba sesuatu yang baharu.
“Proses penulisan lagu merupakan satu perjalanan kreatif yang sederhana. Kita boleh berlaku jujur jika melodi yang ditulis tidak bagus dan tiada siapa yang akan terasa hati,” katanya ketika ditemu bual oleh penyampai radio BBC Radio 1, Scott Mills baru-baru ini.
Sewaktu ditanya mengenai keinginannya untuk berkolaborasi dengan penyanyi bertaraf diva, Britney berkata, agak sukar merealisasikan perkara tersebut memandangkan setiap penyanyi mempunyai jadual kerjaya yang sangat sibuk.
“Setiap orang mempunyai jadual yang padat kerana masing-masing sibuk dengan apa yang dikerjakan. Kamu mungkin tidak percaya, tetapi, kebanyakan perancangan untuk kolaborasi sering berakhir sia-sia kerana mereka tidak akan muncul pada hari yang ditetapkan.
“Ramai yang berperangai diva dalam industri dan saya boleh cerita semuanya jika saya mahu. Tetapi, saya tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.
“Jadi, lebih baik saya menyanyi secara solo buat masa ini kawan,” ujar Britney dalam nada berseloroh.
Sebelum menamatkan perbualan, Britney sempat diajukan soalan mengenai nasihat yang akan diberikan kepada dirinya sewaktu muda.
Mengambil masa selama dua saat untuk membuka mulut, Britney akhirnya memberikan jawapan ringkas yang berbaur sindiran.
“Nasihat saya, jangan sesekali mendirikan rumah tangga,” katanya sambil tertawa.