Dunia lakonan Fareez Hazwan


SEBAGAI pendatang baharu dalam industri, Fareez Hazwan dan Qody teruja kerana diberi peluang menyanyikan lagu tema program Da’i.

Tidak sampai setahun menyandang gelaran juara program realiti Mentor Milenia pada Mac lalu, nyata tuah memihak kepada penyanyi muda, Fareez apabila dilamar berlakon dalam sebuah filem.

Farez menerima tawaran untuk berlakon dalam filem arahan Profesor Razak Mohaideen berjudul Super Badang di samping pengusaha kosmetik popular, Datuk Aliff Syukri dan bapanya sendiri, pelakon Fauzi Nawawi.

“Untuk filem itu, saya ditawarkan memegang watak penjahat. Tetapi perkara itu masih belum diputuskan kerana saya masih menunggu ia disahkan. Apa pun, saya sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang untuk melebarkan sayap karier dalam bidang lakonan.

“Jika sudah disahkan watak, saya pasti tidak akan menolak kerana tawaran sebegitu tidak selalu datang memandangkan watak tersebut menepati cita rasa saya yang sukakan aktiviti lasak,” ujarnya yang pernah membintangi sebuah drama sebelum menyertai Mentor Milenia.

Kata penyanyi berusia 19 tahun itu, tawaran tersebut diberikan disebabkan kebolehan dalam seni mempertahankan diri muay Thai yang dimilikinya.

“Beliau (Prof. Razak) ada beritahu bahawa beliau pernah menonton video Muay Thai saya di laman YouTube dan daripada situ beliau tertarik untuk mengambil saya berlakon kerana watak yang diberikan mengandungi babak-babak pergaduhan,” ulasnya.

Tambahnya, peluang bekerja bersama bapa sendiri pula memberikan bonus untuknya mempelajari lebih banyak ilmu dunia lakonan, sekali gus menjadikan kariernya dalam dunia seni tidak tertumpu terhadap satu bidang sahaja.


SELEPAS menerima tawaran berlakon filem, Fareez diminta untuk melakukan senaman membina badan oleh ayahnya supaya sesuai dengan watak penjahat yang diberikan.

“Jika diikutkan ini bukan kali pertama saya berlakon bersama bapa kerana sebelum ini, kami pernah terlibat dalam sebuah drama. Ketika itu saya belum menyertai Mentor Milenia.

“Ibu dan bapa adalah orang yang paling banyak memberi semangat untuk saya mencuba bidang lakonan. Mereka kata, buat yang terbaik dan tidak berkira untuk menjadi pengajar di rumah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, anak kedua daripada 10 orang adik-beradik itu dipilih menjadi penyanyi lagu tema rancangan dakwah Da’i bersama rakan seperjuangannya dalam Mentor, Qody.

Lagu berjudul Lebaran Kejayaan tersebut masih mengekalkan lirik sama seperti yang dinyanyikan penyanyi terdahulu, Farid Sanullah, namun diberi nafas baharu dari segi muzik.

“Kalau untuk musim terdahulu, lagunya lebih bercorak nasyid. Tetapi, kali ini, komposer Edrie Hashim memberi nafas baharu kepada melodinya dengan memasukkan sedikit unsur balada rock,” katanya.

Satu lagi pencapaian yang boleh dianggap membanggakan dalam karier Fareez ialah pemilihannya sebagai pembuka tirai persembahan konsert penyanyi popular Indonesia, Afgan September depan.

“Untuk persembahan itu, saya akan menyanyikan dua buah lagu termasuk single yang berjudul Lagu Radio. Alhamdulillah, peluang sebegini bukannya datang selalu dan saya perlu bersedia secara menyeluruh daripada segi mental dan fizikal,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post