Mama gambaran perwatakan Aziz Harun


BERBAKI setahun untuk menamatkan zaman persekolahan, Aziz Harun sudah memasang impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ijazah sarjana muda di United Kingdom.

SELEPAS kejayaan dua buah single Senyum dan Beautiful, penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun kembali dengan material terbaharu berjudul Mama.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Faizal Tahir dan Mike Chan itu menampilkan penyanyi muda ini berduet bersama Elizabeth Tan. Ia siap dirakam sepenuhnya sekitar bulan Februari lalu.

“Sudah lama lagu ini dihasilkan oleh Faizal dan Mike. Pada mulanya, mereka menggubah lagu ini untuk Elizabeth Tan tetapi kerana terikat dengan projek lain, lagu ini tersimpan begitu sahaja.

“Suatu hari mereka memberi lagu ini kepada saya dan tanpa berfikir panjang, saya terus menerimanya. Sebab utama mengapa saya mengambil lagu ini adalah kerana liriknya yang catchy dan melodinya sedap didengar,” kata Aziz ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai lagu Mama, pembikinan klip video yang dilakukan di Brunei itu menyaksikan penampilan istimewa ibunya, Ainon Abdullah, 58.

“Lagu ini berkisar tentang luahan perasaan terhadap insan istimewa dalam hidup semua orang bergelar ibu. Bahkan, lagu ini sebati perwatakan diri sebenar saya yang rapat dengan ibu.

“Konsep diterapkan dalam klip video ini adalah tentang eksperimen sosial sejauh mana seorang anak mengenal peribadi sebenar ibu mereka. Jadi, selain eksperimen daripada orang luar, saya turut menjemput ibu sendiri dalam pembikinan klip video walaupun pada asalnya dia keberatan kerana memiliki sifat sangat pemalu,” ujar penyanyi berusia 18 tahun itu ceria.

Walaupun single Mama sangat menepati imej muziknya selama ini, namun Aziz mengakui masih belum dapat keluar dari kepompong genre pop akustik yang selama ini mengekori imejnya dalam dunia seni.

Azam anak bongsu daripada enam beradik itu, dia mahu bereksperimentasi dengan pelbagai genre muzik dan mencabar kebolehan diri.

“Secara jujur, saya mengakui agak bosan dengan genre yang sama dalam semua lagu sebelum ini yang bergenre pop akustik. Kalau berada pada takuk sama, saya tidak berasa seronok kerana tidak terdedah dengan cabaran untuk menyanyikan genre lain.

“Insya-Allah selepas ini saya harap dapat mencuba lebih banyak genre lain seperti balada. Saya boleh kembangkan tahap kebolehan diri untuk tidak hanya tertumpu kepada satu genre sahaja,” ujarnya yang hanya meletakkan sasaran untuk menghasilkan satu lagu dalam tempoh setahun.

Dalam perkembangan lain, Aziz baru sahaja pulang dari Hat Yai, Thailand pada 26 dan 27 Ogos lalu bagi menyertai Hatyai Music Festival 2016.

Festival tersebut menggabungkan tiga penyanyi dari tiga negara iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia. Aziz menjadi wakil untuk Malaysia dan Brunei.

“Sepanjang dua hari festival itu berlangsung, saya membawa sebanyak 10 buah lagu antaranya Senyum, Beautiful dan Mama selain turut membawa lagu-lagu daripada Faizal Tahir serta artis antarabangsa.

“Alhamdulillah, kesempatan untuk beraksi dalam festival itu memberi saya peluang mengembangkan bakat di negara orang. Selain itu, saya turut dapat belajar perkara baharu tentang muzik,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post