Ameng maafkan si penipu


AMENG bakal berpadu suara bersama Jamal Abdillah dan Zamani dalam Konsert 3 Suara di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada bulan September ini.

SEJAK dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor pada pertengahan bulan Jun lalu, vokalis kumpulan Spring, Ameng nekad untuk mengemudi semula kerjaya seninya yang terkandas selama lima tahun.

Biarpun semasa berada di sebalik tirai besi, Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, sudah pun mendapat tawaran untuk mengadakan persembahan.

Selain tawaran mengadakan Konsert 3 Suara bersama legenda tanah air, Zamani (Slam) dan Datuk Jamal Abdillah di pentas Istana Budaya pada 22 hingga 25 September ini, Ameng turut ditawarkan untuk beraksi pada satu majlis makan malam di Kuantan, Pahang.

Begitupun, perancangan diatur lelaki itu tidak secantik disangka. Dia yang ditaburkan pelbagai janji manis oleh pihak penganjur akhirnya menyedari dirinya telah ditipu.

Bertemu dengan penyanyi Bourgenvilla itu selepas sidang akhbar Konsert 3 Suara, Ameng memberitahu, dia sudah memaafkan pihak penganjur yang menipu dirinya itu.

Kosmo!: Boleh Ameng ceritakan lebih lanjut mengenai penipuan tersebut?

Ameng: Sebenarnya, saya ditipu berkenaan pembayaran wang selepas membuat persembahan selama setengah jam dalam sebuah majlis makan bersama ahli korporat di Kuantan, Pahang. Persembahan itu berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri. Pihak penganjur menawarkan bayaran sebanyak RM15,000, bagaimanapun cek yang diberikan merupakan cek palsu.

Adakah anda pernah cuba untuk menghubungi pihak penganjur itu?

Ya, saya sudah menghubungi lelaki tersebut. Dia berjanji akan membayarnya tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang bayaran. Pelbagai alasan diberikan antaranya dia masih belum mendapat duit dan pihak penaja melarikan diri. Saya sudah penat menghubunginya lagi.

Adakah anda mengenali pihak penganjur itu sebelum menerima tawaran tersebut?

Saya memang mengenalinya tetapi kami tidak begitu rapat. Perkara yang membuatkan saya menerima tawarannya adalah kerana dia sudah berjanji ketika saya masih berada dalam penjara lagi. Perkara itu membuatkan saya tidak berfikir panjang kerana apabila keluar pasti memerlukan duit untuk menampung kehidupan.

Sudah membuat laporan polis?

Pada mulanya saya memang terfikir untuk membuat laporan polis. Bagaimanapun, apabila memikirkan lelaki itu mempunyai dua orang isteri dan anak-anak masih kecil, saya lupakan sahaja hasrat itu. Saya tidak sampai hati kerana dia mempunyai keluarga yang besar dan pernah merasai kehilangan.

Saya reda dan anggap wang tersebut bukan rezeki saya, biarlah Allah sahaja menentukan hukuman ke atasnya.

Tidakkah anda berasa kesal dengan kejadian tersebut?

Perasaan kesal itu tetap ada kerana ia melibatkan jumlah wang yang banyak. Tambahan pula, saya memang memerlukan duit untuk memulakan kehidupan baharu.

Tidak mengapa, saya sudah maafkan dan halalkan semuanya. Pun begitu, cabaran saya tidak terhenti setakat itu, baru-baru ini saya juga tidak dibenarkan untuk membuat persembahan di sebuah negeri.

Boleh ceritakan dengan lebih lanjut hal itu?

Saya ada mendapat tawaran untuk membuat persembahan di negeri Kelantan bersama sebuah stesen radio. Bagaimanapun, tiga hari sebelum majlis berlangsung saya dimaklumkan tidak boleh menyanyi di sana tanpa mengetahui sebabnya.

Apa yang anda rasa ketika mengetahui tentang isu tersebut?

Saya terfikir, penolakan tersebut mungkin disebabkan status bekas banduan. Jika ia benar, perkara itu pastinya mendatangkan kesal kerana saya sudah pun menjalani hukuman lima tahun penjara dengan 10 sebatan.

Saya juga perlu mencari rezeki untuk keluarga. Apa lagi yang hendak dihukum pada orang seperti saya?

Beralih kepada Konsert 3 Suara, boleh kongsikan tentang persiapan anda?

Setakat ini, kami belum menjalani latihan vokal dan saya banyak memberi fokus kepada stamina. Konsert 3 Suara akan berlangsung selama empat malam.

Penjagaan stamina amat penting, jadi setiap pagi saya akan berlari sejauh tiga kilometer dan pada sebelah petang ke gimnasium selama dua jam. Saya juga mula menjaga pemakanan dan kesihatan diri bagi mengelak daripada jatuh sakit.

Berapa buah lagu yang akan dinyanyikan dalam konsert tersebut?

Saya baru menerima senarai lagu daripada Datuk Jamal Abdillah. Setiap seorang akan menyanyikan enam buah lagu solo dan dua buah lagu duet. Antara lagunya adalah Sampai Hati, Sejiwa, Bourgenvilla dan Romantis. Saya juga akan mendendangkan lagu Andai Kau Rasa Getarnya daripada Zamani dan lagu Jamal Abdillah iaitu Mati Hidup Semula.

Boleh kongsikan perkembangan lain berhubung diri anda?

Saya baru selesai merakamkan single baharu berjudul Gelandangan ciptaan Eddie Hamid. Lagu tersebut dijangka bakal dilancarkan pada hujung bulan September ini. Untuk album pula, saya baru selesai merakamkan enam buah lagu baharu yang dicipta semasa berada di dalam penjara. Tajuk album itu adalah Tiga Penjuru Jalan Pulang. Bagaimanapun, ia belum diketahui bila akan dilancarkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post