Idea Lat hasilkan kartun lepas subuh


BULAN Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat bagi umat Islam. Selain dituntut menjalani ibadah berpuasa pada waktu siang, umat Islam juga digalakkan melakukan ibadat sunat yang lain seperti memperbanyakkan sedekah dan membaca al-Quran.‎

Bagi kartunis terkenal tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, sebagai umat Islam katanya, kedatangan bulan Ramadan bukan sahaja ditunggu-tunggu untuk merebut pahala beribadat, tetapi ia juga waktu yang sangat sesuai dalam mencari idea untuk menghasilkan karya-karya hebat beliau.

Dilahirkan pada 5 Mac 1951 di Kota Baru, Perak, Lat yang terkenal dengan siri kartun 'Kampung Boy' berkata waktu paling sesuai untuk beliau memberi tumpuan dan mencari idea untuk karya-karyanya adalah selepas solat subuh.

"Memang kalau diikutkan saya sudah bersara dari melukis kartun, tiada lagi karya-karya saya di dada-dada akhbar, tapi saya masih melukis sikit-sikit, mengisi masa lapang dan sedang mengusahakan untuk menghasilkan komik tidak lama lagi.

"Jadi kalau nak diikutkan waktu yang paling sesuai untuk saya mendapatkan idea melukis ni memangla pada waktu pagi. Masa tu minda pun masih 'fresh' lagi dan kita pun punya tenaga yang banyak untuk melukis.

"Macam bulan puasa, selepas sahur dan solat subuh, sudah selesai dengan ibadat-ibadat yang lain, saya pun akan mula melukis bermula jam 9 hingga 10 pagi sampai ke tengah hari, itu lah waktu yang saya boleh fokus untuk mengeluarkan idea menghasilkan karya-karya saya," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui sempena Siri Jelajah Potret Penerima Anugerah Merdeka oleh Galeri Petronas di Muzium Negeri, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.‎

Lat merupakan penerima anugerah berkenaan pada tahun 2014.

Mengimbas kembali pembabitan beliau sebagai kartunis, Lat sebenarnya telah menunjukkan bakat melukis yang mengagumkan sewaktu kanak-kanak lagi dan bapanya antara orang pertama yang berjaya mencungkil bakatnya.

Lat berkata karya beliau banyak dipengaruhi kartunis tempatan pada waktu itu antaranya Raja Hamzah, Alias Kulub, Raja Sulaiman dan Saidin Yahya.

"Bapa saya sebenarnya yang banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Contohnya saya masih ingat, masa saya kecil, beliau bawa kami sekeluarga pergi sarkas...balik rumah tu, dia akan minta saya lukis semula binatang-binatang yang beraksi di persembahan sarkas itu.

"Saya pun mula la menggelabah. Kemudian dia bagi kertas dan pensil...dan suruh saya lukis aksi binatang berkenaan...dari situlah minat melukis itu timbul dan bakat tersebut terus berkembang hinggalah saya menjadi kartunis hingga hari ini," katanya.

Pemenang Hadiah Budaya Asia Fukuoka pada tahun 2002 ini telah menerbitkan lebih 20 jilid kartun semenjak berusia 13 tahun. Kebanyakan karyanya menggambarkan suasana kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia secara lelucon tanpa berat sebelah.

Lat berkata idea menghasilkan karya-karya beliau seperti Kampung Boy adalah berdasarkan pemerhatian, kisah hidup dan pengalaman beliau sendiri.

"Saya memang tak tahu buat cerita-cerita politik sebab saya tahu ia adalah satu elemen yang tidak kekal dalam dunia kartun. Saya lebih sukakan elemen yang lebih diingati oleh semua orang seperti kemesraan dalam persahabatan, jiran tetangga dan hidup bermasyarakat," katanya.

Lat berkata elemen tersebut lebih memberi kesan kepada penggemar kartun dan juga orang ramai berbanding kisah-kisah politik yang tidak kekal dan kadangkala boleh mencetuskan perkara negatif dalam masyarakat.

"Ini lah sebenarnya tugas sebagai kartunis, kami bukan sahaja menghasilkan karya buat tatapan orang ramai, tetapi dalam masa sama kami menjadi ejen untuk menyatukan masyarakat, khususnya dalam negara kita yang terdiri dari pelbagai kaum, barulah hidup kita akan lebih harmoni," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post