Anak ubah cara hidup Aril Pilus


Aril bersama anak sulungnya Tun Adriel Mikael

WALAUPUN menjadi seorang bapa bukanlah satu perkara yang mudah, namun pengalaman yang diperoleh itu adalah perkara yang tidak semua dapat merasakannya.

Engan melepaskan momen membesarkan anak, Aril AF7 atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus mengGalas tangunggjawab sendiri dengan menjaga anaknya Tun Adriel Mikael yang kini baru berusia 6 bulan.

Menurut Aril, menjadi seorang bapa adalah satu perkara yang menyeronokkan apabila melihat telatah si kecil.

"Setengah orang terutamanya bapa selalu tidak rapat dengan anak, bila anak masih kecil biasanya lebih banyak dibiarkan di bawah penjagaan ibu, namun saya enggan melepaskan saat melihat dia membesar.

"Melihat dia merangkak, makan, bercakap adalah suatu benda yang menarik dan perkara baharu yang dipelajari," ujar bintang kelahiran program realiti itu.

Bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh itu berkata, rasa penat yang dilaluinya sepanjang hari pasti akan terubat apabila melihat anak.

"Walau penat, letih, rasa sedih atau gembira, benda pertama yang kita nak lihat ialah anak, malah hati rasa tak tenteram jika terpaksa berjauhan dengannya.

"Saya sentiasa mahu bersama dengannya, jadi sekarang anak adalah keutamaan," katanya yang biasanya akan merujuk sesuatu perkara berkaitan penjagaan anak dengan ibu serta mertuanya.

Fobia hantar anak ke pusat jagaan

Terkesan dengan pengalaman buruk yang dilalui oleh rakan baiknya sendiri, Aril tekad enggan menghantar anaknya ke pusat penjagaan kanak-kanak dan mengambil pendekatan untuk menjaga sendiri anaknya itu bersama isteri dan dibantu oleh mertua serta keluarga.

Berkongsi pengalaman tersebut, Aril berkata, anak rakan baiknya yang belajar bersamanya meninggal dunia ketika dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak.

"Anak pertama gugur dalam kandungan, dan kemudian dikurniakan anak kedua namun hanya mampu bertahan sehingga 3 bulan akibat kecuaian pusat jagaan kanak-kanak.

"Hanya beberapa kali hantar di pusat jagaan, anaknya disahkan meninggal dunia selepas dikatakan tidak bernafas ketika berada di sana.

"Insiden itu menyebabkan saya sangat fobia untuk membiarkan anak sulung saya diletakkan di bawah pusat jagaan kanak-kanak, jadi biarlah saya menjaganya sendiri, " ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran UUM dan Pullman Putrajaya.

Kecam kes pedofilia

Sementara itu, bercakap mengenai isu pedofilia yang mengemparkan masyarakat Malaysia baru-baru ini, Aril berpendapat perkara tersebut perlu dikekang melalui pendidikan kanak-kanak.

"Bagaimana kita mendidik anak untuk menjauhkan diri daripada berlaku perkara-perkara sebegini dan ibu bapa kena berhati-hati dalam mendidik anak sendiri kerana jika bukan mereka yang dicabul mereka sendiri akan mencabul.

"Cara bagaimana kita memahamkan anak-anak mengenai perkara-perkara tidak baik serta cara untuk dekatkan diri mereka dengan didikan agama," katanya

Oleh itu, katanya perkara seumpama ini menyebabkan dia mahu memastikan apa sahaja yang dilakukan anaknya nanti dapat dipantaunya.

"Saya mahu melihat anak membesar di depan mata. Apabila kita sendiri yang menjaganya, kita dapat pantau apa yang dilakukannya serta apa yang dilihatnya," akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post