Aweera mahu bergerak secara berkumpulan dan akan tampil dengan band terbaharunya pada tahun hadapan.
Penyanyi Aweera akan tampil bersama kumpulan terbaharu pada awal tahun hadapan kerana lebih selesa menyanyi diiringi pemuzik.
Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, 25, berkata, dia juga berhasrat untuk melahirkan semula kegemilangan kumpulan rock yang bukan hanya dikenali kerana vokalisnya tetapi juga pemuzik hebat.
"Cuba kita lihat zaman Search, Wings dan beberapa kumpulan rock lain mereka hebat bukan hanya kerana penyanyi tetapi gitaris, pemain drum seperti Kid, Joe, Yazit yang mana mereka menyerlah dengan cara tersendiri.
"Atas sebab itu juga saya ingin kembali menyanyi sebagai sebuah kumpulan kerana ingin mengembalikan kegemilangan kumpulan rock itu sendiri.
"Insya-Allah perancangan itu pada awal tahun hadapan dan buat masa sekarang saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai kumpulan berkenaan," katanya kepada mStar Online.
Aweera yang sebelum ini dikenali menerusi program realiti One In A Million pernah menyertai kumpulan Mojo yang ditubuhkan oleh Edry Abdul Halim.
Tambah Aweera, bersama kumpulan baharu itu nanti dia ingin memperjuangkan muzik rock klasik kerana ia masih mempunyai pengikut yang ramai.
Dalam pada itu, Aweera berkata, dia tidak berhasrat untuk meneruskan kontrak bersama syarikat rakaman Sony Music selepas ia tamat pada Jun lalu.
Katanya, kerjasama selama dua tahun itu gagal memandangkan single bersama syarikat rakaman berkenaan tidak berjaya mendapat perhatian pendengar.
"Saya tidak salahkan sesiapa cuma menganggap kerjasama kami gagal dan saya perlu teruskan kehidupan dan mencari haluan sendiri.
"Bagaimanapun saya ada hutang satu lagu lagi bersama Sony Music dan akan melancarkan lagu berkenaan dalam masa terdekat ini," katanya.