RAYA PERTAMA - Selepas lima tahun beraya di dalam penjara, tahun ini mencatat sejarah buat Ameng apabila kembali menikmati Syawal seperti biasa bersama isteri tercinta, Sabariah dan anak lelaki tunggal mereka, Wan Ahmad Haizal.
HARI ini, tanggal 1 Syawal 1437H, terlakar garis permulaan baharu dalam hidupnya. Saat takbir beralun merdu menandakan lebaran singgah bertamu, jiwa besar lelaki berusia 47 tahun itu basah dengan rasa teruja, melampiaskan gelora gembira dan rindu yang melewati kedatangan hari raya.
Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih mesra disapa sebagai Ameng tersenyum sendirian. Lima tahun lalu, sambutan Hari Raya Aidilfitri vokalis kumpulan Spring itu sekadar butiran perkataan yang meluncur keluar daripada dua ulas bibirnya. Tiada persalinan baju Melayu baharu mahupun sampin berona sedondon untuk disarungkan, ketibaan bulan Syawal selalunya disambut bertemankan tembok batu tinggi dan gerigi besi, yang hanya berpapan tandakan nama Penjara Kluang, Johor.
Anak jati kelahiran Terengganu itu menjelaskan, biarpun menerima kunjungan keluarga tercinta pada bulan Syawal, perasaan dan pengalaman menyambut lebaran di sebalik balik tirai besi sungguh menyebalkan. Sungguhpun isterinya, Sabariah Zakaria, 46, dan anak mereka, Wan Ahmad Haizal, 9, realistik dengan situasi, Ameng tetap merasakan kekurangan tatkala tibanya Aidilfitri.
“Menyambut hari raya di dalam penjara tidak sama seperti sambutan di luar. Kami tidak dapat memakai baju baharu apatah lagi melawat sanak-saudara di kampung.
“Walaupun dibenarkan untuk bertemu dengan ahli keluarga, rasa teruja atau gembira untuk menyambut hari raya tidak ada,” tuturnya membuka bicara.
Episod suram dalam hidup Ameng bermula apabila dia dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah. Bagaimanapun, disebabkan berkelakuan baik, hukuman tersebut telah dipendekkan dan Ameng akhirnya dibebaskan pada 14 Jun lalu.
Menyifatkan tarikh pembebasannya itu sebagai ketentuan yang sangat indah, Ameng berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk melalui Ramadan dan seterusnya menyambut lebaran pada tahun ini bersama keluarga selepas setengah dekad menyandang status sebagai banduan.
“Saya berasa gembira kerana diberi kesempatan untuk berpuasa dan menyambut hari raya bersama keluarga.
“Sejujurnya, selepas tinggal dalam penjara, baru saya sedar tentang nikmat berpuasa dan meraikan Aidilfitri bersama orang tercinta,” katanya yang memilih untuk beraya di rumah ibu mertuanya di Kampung Lubok Cina, Melaka.
Sederhana
Lima tahun tidak merasai nikmat meraikan lebaran bersama keluarga bukan alasan untuk Ameng untuk berbelanja mewah sempena hari raya pada tahun ini.
Mengakui kehidupannya di penjara telah banyak mengubahnya menjadi insan yang lebih sederhana, Ameng berkata, dia kini lebih berjimat cermat dalam berbelanja dan sentiasa menghargai setiap rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan.
“Di penjara, saya diajar untuk tidak membazir. Jadi, apabila sudah dibebaskan, saya meneruskan apa yang telah dipraktikkan di sana.
“Untuk hari raya tahun ini, isteri saya yang menguruskan perbelanjaan baju raya. Tetapi, saya sudah berpesan supaya tidak membazir dan beli mengikut keperluan sahaja,” ujarnya.
Selain bersederhana dalam hidup, Ameng juga lebih menghargai ilmu apabila dia dibukakan hati untuk mempelajari al-Quran pada awal tahun kemasukannya ke Penjara Kluang.
“Sejak kecil, saya memang tidak tahu membaca al-Quran sehingga tahap menulis huruf alif dalam perkataan rumi. “Alhamdulillah, hanya dalam masa dua bulan, saya sudah mahir untuk mengenal huruf dan membaca al-Quran dengan lancar selepas belajar daripada beberapa banduan yang mahir dalam ilmu agama,” ujarnya yang turut menurunkan ilmu bacaan al-Quran kepada banduan lain.
Dosa
Melihat kembali perubahan yang dialaminya sepanjang menjalani hukuman, Ameng berkata, dia berasa bertuah kerana diberikan kesedaran sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam penjara.
Memasang nekad yang sangat kukuh, Ameng memberitahu, istiqamah hatinya juga dipasak kuat agar diri tidak terjerumus kembali ke dalam lautan noda yang pernah dilayarinya dahulu.
“Selepas keluar daripada penjara, memang ada rakan-rakan lama yang menghubungi saya dan menawarkan kerja untuk kembali terlibat dengan najis dadah.
“Saya langsung tidak terkejut dengan tawaran tersebut. Justeru, saya menolak permintaan mereka dengan cara baik dan memberitahu bahawa saya sudah insaf sepenuhnya,” ujar Ameng dalam nada sayu.
Meletakkan perit kehidupan menghuni penjara sebagai pengalaman tinggal dalam neraka dunia, Ameng berkata, apa yang dilaluinya selama ini telah banyak memberikan kesedaran untuk tidak terlibat dengan najis dadah.
“Saya sudah rasa bagaimana rasanya masuk ke dalam ‘neraka dunia’ dan menerima seksaan secara fizikal menerusi hukuman rotan.
“Sebab itu saya berjanji untuk berubah dan memperbanyakkan ibadat agar dapat menjauhkan diri daripada dimasukkan ke dalam neraka Allah di akhirat kelak,” luah Ameng lagi.
Karier
Bercakap mengenai kelangsungan keriernya sebagai penyanyi, Ameng berkata, dia kini merancang untuk menerbitkan kembali album Tiga Penjuru yang dirakamkan ketika masih menjalani hukuman penjara dua tahun lalu.
“Sewaktu album tersebut diedarkan di kedai-kedai muzik di seluruh Malaysia, berlaku sedikit masalah yang menyebabkan penjualannya ditarik semula.
“Jadi, saya berhasrat untuk menerbitkan semula album tersebut dalam masa terdekat ini,” katanya.
Mengakui laluan rezekinya semakin dimudahkan, Ameng berkata, dia tidak akan berhenti menyanyi dan akan menggunakan bidang muzik sebagai platform motivasi untuk masyarakat.
“Sepanjang berada dalam penjara, saya banyak mencipta lagu-lagu berunsurkan motivasi dan kerohanian.
“Jadi, saya berharap agar kerjaya saya ini dapat memberikan aura positif kepada khalayak, khususnya kepada peminat,” katanya yang enggan menyanyi di kelab atau tempat maksiat yang boleh menjerumuskan orang lain kepada perkara tidak elok.