Raya ekspres Mira Filzah


Walaupun zaman sekarang menawarkan banyak pilihan gaya baju raya, Mira masih setia dengan rekaan baju kurung tradisional kerana baginya, baju kurung mempunyai nostalgia tersendiri.

Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari. Pepatah itu mungkin sesuai bagi pendatang baharu, Nuramira Hafilzah, 24, atau lebih dikenali sebagai Mira Filzah bagi menggambarkan kesibukan jadual seninya tahun ini.

Menyifatkan 2016 sebagai tahun paling sibuk buat dirinya dalam karier seni, wanita ini langsung tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan raya seperti sambutan-sambutan sebelum ini.

Terbang ke tanah suci Mekah sejak awal Ramadan untuk menunaikan ibadah umrah hingga 18 Jun lalu, pelakon Cinta Si Wedding Planner ini terus berkejar ke set penggambaran di Terengganu tanpa sempat melepas lelah sebaik kaki menjejak tanah air.

“Memang penat kerana tahun ini jadual sangat padat sehingga saya serahkan sepenuhnya persiapan Syawal kepada ibu memandangkan saya tiada di rumah sehingga akhir Ramadan.

“Saya hanya akan selesai penggambaran di Kuala Terengganu dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri dan pastinya tiada masa untuk bersesak dengan orang ramai mencari persiapan akhir,” katanya yang pulang ke kampung halaman di Perak, pada malam raya.

Hanya diberi cuti empat hari untuk meraikan lebaran bersama yang tercinta, Mira menolak perasaan ralat dengan menganggap itu adalah tugasnya dalam mencari rezeki.

Kata graduan perniagaan antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, dia mahu melunaskan segala komitmen pada kerjaya sebelum pergi bercuti untuk berehat seketika daripada bekerja selepas hari raya.

“Saya sudah merancang untuk membawa keluarga pergi bercuti kerana sejak tiga bulan lalu, saya terlampau sibuk sehingga tiada masa untuk diluangkan untuk mereka.

“Jadual kerja selepas raya sengaja saya kosongkan kerana mahu berehat sambil menenangkan fikiran. Terlampau asyik bekerja pun tidak seronok juga,” ujarnya yang masih belum memutuskan ke mana dan berapa lama dia akan pergi bercuti.

Rai peminat

Bercerita tentang keseronokan beraya di Tapah dan Tronoh, Perak, Mira pasti ternanti-nanti ketibaan Syawal untuk berkumpul satu famili dan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Suka mengambil kesempatan raya menziarah sanak- saudara di kampung, ia juga satu alternatif bagi Mira merapatkan hubungan silaturrahim antara keluarga.

Tidak terlepas sebagai individu yang menggemari hidangan juadah istimewa raya, Mira yang menyukai kuih makmur dan tart nenas mempunyai pilihan tersendiri setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Saya pasti tidak sabar untuk menikmati hidangan rendang daging hitam resipi turun temurun keluarga ibu yang wajib ada setiap kali hari raya.

“Tahun ini juga merupakan tahun kedua saya memberi duit raya kepada adik-adik dan sepupu kecil, jadi terasa sangat dewasa bila mereka datang bersalaman sambil mencium tangan,”’ jelasnya sambil tertawa mesra.

Dalam keseronokan beraya bersama keluarga, ingatan Mira kepada peminat setia yang sering menyokong kerjayanya tidak pernah dilupakan.

Mempunyai hasrat membuat majlis rumah terbuka Syawal untuk meraikan peminat, dia masih mencari-cari tarikh sesuai untuk melaksanakan niat di hati.

“Oleh kerana saya akan menyambung penggambaran bermula raya kelima, jadi saya perlu menyemak jadual sebelum menetapkan tarikh rumah terbuka.

“Tetapi saya memang bercadang untuk meraikan lebaran dengan peminat, harap-harap ia akan terlaksana,” katanya yang turut menerima hadiah baju raya daripada peminat pada tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post